Memaparkan catatan dengan label Sedih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sedih. Papar semua catatan

Khamis, 4 Ogos 2011

Untungnya Kita Di Malaysia

Situasi di Malaysia


"Hari ni dah masuk hari ke empat aku berpuasa. Baguslah. Masuk hari ke sepuluh, aku rasa badan aku dah fit. Cun! Raya nanti bolehlah pakai baju raya sendat-sendat kasi nampak body sikit. Tak sia-sialah aku melabur beratus-ratus kat kedai apek tu tempah baju melayu fesyen terkini tahun ni. Petang ni nak beli apa ek kat bazaar. Jap aku nak buat listing dulu. Rasanya nak makan kebab, murtabak. Haish, murtabak ni wajib! Susah nak dapat time hari biasa. Kebab, murtabak, air tebu, kuih lopez, cucur udang, popia basah, laksa penang, ayam goreng! Kena beli lebih untuk stok lepas buka puasa. Kasi layan nafsu makan kaw kaw malam ni sambil layan pesbook dan games online. Nyummi! Seronoknya. Sebagai bonus, mesti kat bazaar tu nanti ada ehem-ehem yang boleh bikin aku cair! Kalau ehem-ehem berniaga muka sweet, aku sanggup beli walaupun kuih dia tak rupa juadah pun. Oh, nikmatnya. Eh! tapi kena beli lauk jugak untuk sahur nanti. Kang tak bersahur mampus pulak aku melepet sepanjang hari, "rungut seorang insan yang hidup dalam kemewahan.



Situasi di Palestin

"Adik, hari ni masuk hari keempat kita berpuasa kan. Alhamdulillah. Mudah-mudahan kita sekeluarga dapat mengharungi ibadah puasa ni sehingga ke penghujungnya walaupun tanpa mak dan ayah. Tahun ni kita akan hias pondok kita ni cantik-cantik. Nanti mesti adik tak malu dengan kawan-kawan kan sebab kita pun masih mampu mempunyai kediaman walaupun rumah dah hancur. Baju raya kamu, kita guna yang tahun-tahun sudah punya ya. Jangan risau, nanti kakak akan basuh baju tu bersih-bersih kasi wangi dan akak akan jahit semula mana yang dah terkoyak tu. Em, nanti masa berbuka, kita makan saja apa yang ada ya. Akak rasa kita masih ada lagi buah kurma kiriman jiran sebelah rumah. Nanti sore, kakak perahkan susu kambing kita kat belakang tu. Cukuplah sekadar kita adik beradik berbuka puasa dan bersahur. Allahamdulillah, syukur nikmatnya. Lepas berbuka kita sama-sama solat terawikh tau. Moga ramadan kali ini melimpah ruahkah keberkatan pada kita. InsyaAllah,"kata si kakak pada adiknya sambil tersenyum dengan linangan air mata.





"Bersyukur dengan apa yang ada dik. Hidup itu adalah nikmat dari Allah"



Pesan Atok : Idea entry sedih ini muncul setelah melihat wall sahabat di facebook tempoh hari.

Khamis, 14 Julai 2011

Sajak Bersih 2.0

Salahkah kami?
Kalau kami mengikut kata hati
Bahawa perjuangan itu perlu bagi kami
Untuk memastikan generasi kami mendatang tidak terus ditipu?
Untuk memastikan golongan bawahan seperti kami tidak terus diperalatkan?

Salahkah kami?
Kalau kami mengikut kata hati
Bahawa mereka yang tidak gentar di luar sana
Yang tuanya
Yang muda belianya
Yang cacatnya
Yang golongan atasannya
Yang golongan bawahannya 
Juga mempunyai perasaan seperti kami
Sanggup disembur gas pemedih mata atau bahan-bahan kimia yang lainnya yang kami sendiri tak tahu
Hanya untuk menjernihkan sedikit "demokrasi" itu

Salahkah kami?
Jika cuma ingin berkumpul secara aman
Ingin menunjukkan kepada dunia
Bahawa kami juga mempunyai hak yang sama
Untuk memastikan kuasa kami harus terus terpelihara

Kenapa kau mesti takut?
Kenapa perlunya kekerasan?
Kenapa orang yang patutnya menjaga keamanan sebaliknya
"You hurt your own citizens!?"
Berani kerana benar,
Takut kerana salah,
Kau pun tahu apa maknanya itu bukan?

Siapa yang lakukan kekerasan?
Siapa yang lakukan penindasan?
Siapa yang mencetuskan kekecohan?
Siapa yang memutarbelitkan kebenaran?
Siapa???

SIAPA????
Tepuk dada....tanyalah diri masing-masing....















































this is OUR land!!!

Sajak Palestina

Karya Habiburrahman El Syirazy 
(Penulis novel Ayat-Ayat Cinta)



TANTANGAN SI KECIL MUHAMMAD AL DORRAH KEPADA SELURUH TENTARA ISRAIL SEDETIK SEBELUM AJALNYA DATANG MENJELANG


Dengan membusungkan dada
Dada yang merah menyala
Dengan mengepalkan tangan kanannya
Tangan yang merah menyala
Ia teriakkan sebuah tantangan
Tantangan yang merah menyala
Kepada seluruh tentara Israil yang durjana
“Ayo, tembakkan seluruh peluru kalian

Pada dadaku dan dada seluruh anak palestina 
Maka kalian akan kalah bersama keputusasaan
Dan kami akan menang bersama keyakinan!”


DOA SI KECIL MUHAMMAD AL DORRAH UNTUK ARIEL SHARON SANG JAGAL MANUSIA SEDETIK MENJELANG AJALNYA DATANG

Dengan bibir bergetar menahan derita, derita anak-anak Palestina
Ia berdo’a untuk Ariel Sharon sang Jagal Manusia
Aku doakan kau Sharon semoga berumur panjang
Agar kau dapat terus menyalurkan hobi gilamu
Membunuh anak-anak kecil tanpa dosa
Di palestina dan di mana saja
Sejarah akan menulismu sebagai musuh manusia
Batu-batu akan merajammu serta-merta
Dan tuhan akan membinasakanmu dengan penuh murka
Dan mengutukmu dengan sejadi-jadinya
Kelak di neraka!


CARA ORANG PALESTINA BERBUKA PUASA

Orang-orang Islam sedunia berbuka puasa
Dengan kurma dan makanan yang lezat lainnya
Tapi orang-orang Palestina berbuka puasa
Dengan batu-batu dan luka-luka menganga


CARA ORANG PALESTINA BERHARI RAYA

Tiap hari orang Palestina berhari raya
Merayakan gugurnya pahlawan mereka
Bunga-bunga surga
Menemani hari-hari mereka


dan di bacakan pada malam Peduli Umat: Poso dan Palestina, yang diadakan oleh KKS dan SINAI di Auditorium Wisma Nusantara, Nasr City, Cairo. Pada hari selasa, 19 Oktober 2000.

Rabu, 22 Jun 2011

Aku Sebatang Pensil

Namaku pensil. Aku dilahirkan dalam keluarga yang agak berada. Adik-beradik se uri ku seramai 12 batang. Selepas dilahirkan, kami telah dihantar ke sebuah kedai runcit di pinggir pedalaman. Kami tak sabar-sabar untuk berkhidmat untuk tuan baru kami.


Suatu hari, ada seorang lelaki tua datang dengan pakaian yang lusuh. Barangkali pak cik tua itu seorang petani. Pak cik itu membelek kami dan kemudian terus memilih aku lalu membawa ke kaunter pembayaran. Aku berasa sedih dan gembira dalam masa yang sama. Sedih kerana terpaksa meninggalkan adik-beradikku yang lain. Namun gembira kerana bakal berjumpa dengan tuan baruku.

Akhirnya aku tiba di sebuah rumah yang usang. Di ruang tamu kelihatan seorang budak lelaki sedang kusyuk menelaah pelajaran. Kemudian pak cik tua ini tadi terus menghadiahkan ku kepada anak lelakinya. Aku dapat menangkap sebaris ayat yang keluar dari pak cik tua itu.

"Semoga menjawab dengan baik peperiksaan esok,"kata pakcik tua. Budak lelaki itu kelihatan gembira dan mengangguk laju.

Hari berganti hari. Akhirnya keputusan peperiksaan UPSR diumumkan. Tuanku telah berjaya mendapatkan semua A dalam semua subjek yang diambil. Pakcik tua menangis kerana terharu. Aku tahu, itu bukanlah kerana aku tetapi usaha keras budak itu sendiri yang ingin mengubah nasib keluarga.

Mulai saat itu, aku dijadikan sahabat karib tuanku. Aku hanya akan digunakan apabila tiba peperiksaan besar. Keakraban kami berlanjutan sehingga ke Universiti. Akhirnya setelah bertahun berlalu tuanku telah berjaya menjadi seorang yang berjaya.

Aku tahu, tugasku sudah tiba ke penghujungnya. Aku sudah tidak mampu lagi untuk berkhidmat untuk tuanku. Aku sudah bersedia untuk dicampakkan ke tong sampah sejak dari dulu lagi. Suatu hari, perkara yang ditakuti telah berlaku. Tuanku telah membawaku ke satu tempat. Aku sudah bersedia. Aku sudah tua! Aku sudah tidak berguna! Aku paham perjalanan hidupku itu. Aku pasrah.

Namun sangkaanku meleset. Aku telah di tempatkan di tempat yang amat selesa sekali. Aku telah ditayangkan di ruang tamunya yang serba mewah. Aku merasa terharu dan bangga. Rupa-rupanya tuanku itu bukanlah seperti yang disangka. Hatinya begitu mulia kerana tidak pernah melupakan satu-satunya sahabat baiknya ini. Terima kasih tuanku!

p/s : Cuba letakkan ibu bapa kita sebagai pensel tersebut. Hargailah mereka kerana mereka telah banyak berjasa pada kita. Cubalah membahagiakan mereka selagi mereka masih bernafas di dunia ini.   =')





Khamis, 2 Jun 2011

Dengan kasihku kepadamu……IBUMU…

Ini kisah sedih seorang ibu. Takkan ada seseorang lain yang akan dapat menggantikan tempat seseorang ibu di dunia ini. Dapat cerita ni masa malam kebudayaan kem kepimpinan jabatan masa belajar dulu. Dan kebetulan terjumpa di blog Ilatomey.

Cerita ni dalam bentuk luahan hati seorang anak yang kesedihan akibat kelalaian atau dengan kata lain kederhakaannya kepada seorang ibu!

Cerita si anak.....

Ibuku buta sebelah mata! Aku benci ibuku… Dia amat memalukanku! Tugas harian dia ialah memasak untuk pelajar dan guru untuk menyara keluarga kami.

Pada suatu hari semasa di sekolah rendah, ibuku datang ke sekolah untuk bertanya khabar. Aku sungguh malu. Mengapa dia sanggup melakukan ini kepadaku?! Aku tidak pedulikan dia dengan menunjukkan wajah benci kepadanya dan terus lari.

Keesokan harinya salah seorang rakan darjah berkata, “EEEE, ibumu hanya ada satu mata!" Ketika itu aku hanya ingin membenamkan diriku. Aku juga mahu ibuku hilang dari hidupku! Oleh itu aku berjumpa dengannya dan berkata, “Jika engkau hanya mahu menjadikan diriku bahan ketawa, alangkah baiknya kalau kau mati saja?!!!”  
Ibuku hanya berdiam diri!!! Sedikitpun dia tak marah sebaliknya hanya tersenyum padaku.

Aku tidak pun sejenak berhenti dan berfikir akan apa yang telah aku katakan kepadanya kerana aku tengah marah ketika itu.. Aku langsung tidak peduli akan perasaannya… Aku ingin keluar dari rumah itu…Oleh itu aku belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya dapat melanjutkan pelajaran ke Singapura. Kemudian aku berkahwin. Aku membeli rumah sendiri dan mendapat anak. Aku amat gembira dengan kehidupanku.

Suatu hari ibuku datang menziarahiku. Sudah lama dia tidak berjumpa denganku dan tidak pernah berjumpa cucunya!. Bila dia berdiri di depan pintu rumahku, anakku mentertawakannya...Aku menjerit kepadanya, “Sanggup engkau datang ke sini dan menakutkan anakku!"KELUAR DARI SINI SEKARANG!!! 
Dengan pantas ibuku menjawab
 “Maaf, Saya tersilap alamat” dan terus menghilangkan diri.

Satu hari surat jemputan untuk perjumpaan pelajar-pelajar lama sampai ke rumahku..Oleh itu aku telah memberitahu isteriku yang aku akan pergi untuk urusan perniagaan…

Selepas perjumpaan itu, aku telah pergi ke rumah usang ibuku hanya untuk ingin tahu!!!.Jiran memberitahuku yang ibuku telah meninggal…Aku tidak menitiskansetitik airmata pun!! Jiran itu telah menyerahkan kepadaku sepucuk surat yang ibuku ingin aku membacanya…

“Anakku yang dikasihi, Ibu selalu teringatkan kamu setiap masa…Ibu minta maaf kerana datang ke Singapura dan telah menakutkan anakmu. Ibu gembira kerana kamu akan dating ke perjumpaan pelajar-pelajar lama…Tetapi ibu mungkin tidak dapat bangun untuk berjumpa denganmu. Ibu minta maaf kerana sentiasa memalukan kamu semasa kamu sedang membesar. Kamu mungkin tidak tahu…. Semasa kamu masih kecil, kamu telah mendapat kemalangan dan hilang satu mata........Sebagai ibu, aku tidak sanggup melihat anaknya membesar dengan satu mata...Oleh itu… Aku memberi salah satu mataku kepada kamu…Aku amat berbangga kerana anak lelakiku dapat melihat dunia ini dengan mata ibumu ini……

Dengan kasihku kepadamu……IBUMU…

Astaghfirullahalzahim…subhanallah….jatuhlah status anak derhaka padanya........Sahabatku yang disayangi, peluklah ibumu sementara dia masih ada.....sementara dia masih bernyawa......sayangilah sepenuh jiwa.....  =’(


Sabda Rasullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Dia memberitahu kamu supaya taat kepada Allah dan RasulNya sentiasa. Selepas itu taatlah kepada ibumu kemudian ibumu kemudian ibumu kemudian ayahmu!
  

Khamis, 5 Mei 2011

Besyukurlah dengan apa yang ada

[entry serius]


Aku menekan-nekan keyboard dengan geram. Sakit hati aku! tengah hari tadi Ibu Pejabat hantar task force, esok nak. TANPA GAGAL. Panas telinga aku dengar perkataan TANPA GAGAL tu. Aku tak ada mood nak bekerja! Aku campakkan keyboard tu jauh-jauh. Aku terus capai henset aku. Tengok-tengok kalau ada orang mesej.

Panas! Apa gile air cond ni? Dah tekan suhu 21 darjah celsius pun masih lagi macam kat gurun sahara. Tak selesalah! Kerja bertimbun. Air cond rosak! Bosan! Hari-hari mengadap benda yang sama. Akaun usang! Hampeh! Orang dulu buat taik, aku kena sapu! Aku tensenlah! TENSEN!

Aku terus ke tingkap di belakang meja aku. Terus buka kasi angin segar masuk ke pejabat. Dalam melayan kealphaan itu, mata aku tertancap pada satu susuk wanita kecil. Wanita itu barangkali seorang ibu memandangkan usianya lingkungan lewat 30 an. Aku amati betul-betul perilaku wanita itu.

Aku gosok-gosok bijik mata. Tak salah! Wanita itu sedang menyelongkar tempat pembuangan sampah kat belakang opis aku. Aku terus perhatikan tanpa kelip. Mula-mula wanita itu selongkar beg plastik kecil. Ada macam-macam dalam tu. Ada kotak polistrene makanan tu. Wanita tu buka. Jika ada isi dia masukkan dalam plastik lain. Jika tak ada dia campakkan semula ke tong sampah besar tadi.

Kemudian datang pekerja Majlis Perbandaran campak satu lagi plastik besar. Wanita itu terus mencampakkan plastik kecil tadi kemudian dengan rakus mendapatkan plastik yang lebih besar di depannya.
Wah! Kali ni lagi banyak benda terbuang. Ada permainan! Ada pistol. Ada gitar permainan. Tapi gitar tu talinya dah putus. Wanita tu campakkan semula ke tong sampah. Mata wanita itu terus terpegun melihat anak patung di depannya. Tapi kepalanya tak ada. Tangannya terus ligat menyelongkar isi dalam plastik besar tadi. Kemudian terjumpa pulak kepala anak patung tu. Dia segera memasang semula kepala anak patung. Nah, cantik pun. Mesti anaknya dirumah suka!. Wanita itu tersenyum seorang diri. Dia segera mengasingkan barang-barang yang elok tadi ke dalam plastik lain. 

Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku terpana seketika. Darah terus naik ke muka. Astagfirullah.....Ya Allah. Kau ampunkanlah dosa hambuMu ini. Aku memang tak bersyukur dengan apa yang ada. Kalau aku fikirkan aku susah, masih ramai lagi kat luar sana yang merana. Kat dunia jugak Tuhan nak tunjukkan, apa erti SYUKUR!




Selasa, 12 April 2011

Budak Kecil Itu

Budak kecil itu berhenti bertani,

Lirik matanya mengekor langkahan manusia sebayanya,
Berlenggang gembira menuju ke sekolah,
Bergelak-tawa gurau senda sesama mereka,
Penuh semangat memikul ilmu sebeban di belakangnya

Tapi dia?
Hanya mampu memandang dengan hati sayu,
Hatinya pilu menahan sebu dan cemburu,
Jika manusia sebayanya sedang menggenggam sebatang pensel,
Dia hanya mampu menggengam sebatang cangkul,
Membelah perut bumi untuk menyemai benih padi setiap hari,
Supaya bebanan ayahnya berkurang,
Supaya ibunya mampu membeli susu,
Supaya adik-adiknya terus bertatih riang.


Bukan kehendaknya dilahirkan sebegitu,
Miskin. Tidak berharta. Papa kedana,
Tapi itu adalah suratan takdir,
Yang sudah tertulis untuknya sejak azali lagi.

Jauh sekali budak kecil itu menyalahkanNya,
Apatahlagi membenciNya,
Mungkin budak kecil itu,
Antara insan terpilih,
Terpilih menerima dugaan maha hebat,
Dari Pencipta alam ini.

Supaya hidupnya sentiasa diberkati,
Sentiasa bersyukur dengan segala yang dinikmati,
Sentiasa berdoa dan berharap dari Illahi,
Supaya hidupnya akan berubah,
Satu hari nanti.

Ayuh,
Bangkitlah adik-adikku yang lain,
Marakan semangatmu,
Perjuangkan cita-citamu,
Tekadkan hala tujumu!

Kamu sungguh beruntung dilahirkan mewah,
Semua serba-serbi mencukupi,
Tidakkah pernah kamu mensyukuri
Nikmat yang Tuhan berikan dan limpahkan,
Melebihi insan lain,
Tidak seperti Budak Kecil Itu.....




Khamis, 24 Mac 2011

Surat untukMu

Mataku tersentak!

Jam menginjak ke angka 3 pagi. 
Tiba-tiba hati ini sayu. Sejuk. Muram tak beremosi.
Minda kosong serta-merta,
Dunia seakan berhenti berputar,
Cengkerik seolah terus membisu,
Angin bayu menyapu malas kulit pipiku
Kemudian terdetik di hati berbicara!

Ya Allah Ya Tuhanku,
Apakah cukup bekalan untuk aku ke sana?
Adakah benar dosaku sedang bermaharajalela menghimpit amalan baikku?
Betulkah landasan yang sedang aku lalui ini?
Apakah benar tubuhku ini nanti menikmati alam syurgaMu,
atau
Menjadi hambatan api panas nerakaMu!

Jika benar ajal selangkah sedang menghampiri diriku,
Kau izinkanlah aku beribu jejak untuk mendekati diriMu,
Jika benar aku sedang enak dibuai pujuk rayu syaitanirojim,
Kau sedarkanlah aku dari mimpi ngeri itu,
Jika benar aku hidup dengan penuh lubuk dosa,
Kau hulurkanlah tanganMu semoga aku dapat keluar dari selutnya.

Astaghfirullah al Azhim....
Terlalu banyak aku berdosa padaMu,
Terlalu miskin aku dimataMu,
Terlalu hina ku rasakan diriku ini disampingMu,
Banyak musibah dan bencana yang pernah aku lakukan,
Tak terkira. Tak terhitung. 

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akhbar.
Hati yang kerdil lagi hina ini,
Begitu berharap keredhaan dariMu, Allah
Tunjukkanlah aku jalan yang benar,
Suluhilah aku jalan yang lurus,

Jika benar aku sudah jauh tersesat di persimpangan durjana,
Aku merayu Kau mencuit bahuku untuk kembali,
Kembali ke persimpangan asal di mana aku bermula,
Aku sanggup untuk meniti semula liku-liku itu,
Semoga setiap permulaan itu,
Akan berakhir dengan jalan yang diredhai




Selasa, 22 Februari 2011

Bebaskan Palestin

Anak kecil itu tidak mengerti apa-apa,
Baginya semuanya indah berlaka,
Kereta perang, bangunan runtuh,  kerosakan ada di mana-mana,
Baginya semua itu mainan seharian.

Namun hakikatnya wajah yang suci murni itu tidak sedar,
Bumi yang didudukinya sekarang sedang bergolak,
Tanah yang dipijaknya sekarang sedang menangis, 
Langit yang dijungjungnya sekarang sedang tenat,
Banyak nyawa dan jiwa yang terkorban,
Di bumi para anbia itu.
 
Aku tahu,
Kau pun tahu,
Bumi yang dulunya indah bagaikan syurga dunia,
Kini hancur tak ubah seperti neraka,
Kerana kerakusan satu bangsa yang ego,
Kerana kekejaman satu bangsa yang sombong,
Penganiayaan  bangsa yang bongkak terhadap bangsa yang lain,
Telah merobek keindahan itu,

Peluru tidak bermata di mana-mana,
Roket pemusnah bagaikan berlumba seperti hujan,
Yang memenuhi ruang angkasa Palestin,
Kereta kebal dengan sombong dan gagah,
Menghentam apa saja yang ada di depan mata,
Askar-askar pengecutnya,
Sanggup mengacukan senjata,
Pada wanita lemah dan anak yang masih mentah

Anak kecil itu tidak sedikitpun menitiskan mutiara jernihnya,
Kerana tiada siapa yang sudi menyerahkan pundaknya untuk ditangisi,
Tiada siapa yang sudi memujuknya,
Tiada siapa yang sudi menyeka air matanya,
Kerana dia hanyalah anak yatim piatu,
Emak, ayah, abang, kakak,
Semuanya telah di rampas oleh bangsa yang kejam itu.

Begitulah apabila  manusia hilang kewarasannya,
Sanggup membunuh anak-anak yang baru merangkak,
Sanggup menghunus senjata pada ibu yang sedang mengandung,
Sanggup merogol anak-anak dara sunti yang lemah,
Sanggup memenggal nyawa warga emas penghuninya,

Tubuh yang lemah itu hanya tersembam ke lantai bumi,
Dengan air mata yang serik untuk luruh lagi,
Entah apalah dosanya,
Sehingga sanggup melakukan demikian,
Pada spesis yang sama lahiriah sepertinya
 

Wahai anak muda,
Apakah yang kita lakukan?
Kita hanya diam membisu,
Kita sedang enak dibuai keindahan,
Kita sedang seronok bergurau-senda,
Walhal hakikatnya saudara kita,
Sedang meringkuk seksa di luar sana,
Yang sehari-hari sentiasa berdoa mengharapkan bantuan,
Dari kita yang masih leka.

Ayuh jiwa muda,
Kita semua bersaudara,
Bangkitkanlah jiwa syahidmu,
Ayuh kita berjuang bersama-sama,
Walaupun bukan dengan mengangkat senjata,
Ataupun berperang dengan cara pengecut mereka,
Cukuplah sekadar berjihad,
Dengan mendoakan kesejahteraan mereka.

Bebaskan Palestin!

Allahu Akhbar!
Allahu Akhbar!
Allahu Akhbar!




Suhami Ahmad 22.2.2011 0233am






Khamis, 27 Januari 2011

Muhamad Hairuman Miskon

Alhamdulillah, pagi ini aku masih bernafas lagi. Seawal pagi lagi aku bingkas menjalankan rutin harian seperti biasa. Aku akan ke ladang untuk membantu abang mengait buah kelapa sawit. Hanya itu yang mampu aku lakukan untuk membantu meringankan beban abang dan kakak. Ayah telah lama kembali ke rahmatullah pada tahun 1995. Mak pula pada tahun 2005. Dua orang kakakku pula Orang Kelainan Upaya. Kami hidup tidak semewah keluarga yang lain.

Mungkin rakan sebayaku sedang enak diulit mimpi sekarang. Mungkin juga mereka sedang ketawa berdekah-dekah bersenda gurauan. Atau barangkali menunggang motosikal mengelilingi kampung mengusik anak dara di kampungku. Namun bagi aku, aku lebih seronok membantu abang dan kakak. Sekurang-kurangnya dengan hasil sumbangan tenaga aku itu dapatlah membantu abang dan kakak membeli keperluan dapur. Aku tidak mahu menjadi beban kepada mereka yang telah banyak berkorban sejak kematian emak dan ayah lagi.

Pagi-pagi buta lagi aku sudah menghidupkan enjin motor untuk ke ladang.  Sampainya di sana aku akan bertegur sapa dengan rakan di ladang dahulu. Orang kata, ambil mood dulu. Hehe. Aku mula mengait buah kelapa sawit dari satu pohon ke satu pohon  yang lain. Aku cukup seronok dengan kerjaku.  Yalah, kerjanya tidaklah leceh sangat, namun upahnya agak lumayan. Aku seronok dengan pekerjaanku. Syukurlah walaupun pekerjaanku tidak sepopular mana, tapi itu masih rezeki dari Allah. Masih lagi dari sumber yang halal. Walaupun mungkin hasilnya sikit bagi kalian, tapi ia sangat besar bagiku. Lebih-lebih lagi jika hasil dari air tanganku itu sendiri akan menyuap segenggam nasi ke mulut adik-beradikku yang lain.

Namun,entah dimana silapnya. Sedang aku leka mengait buah kelapa sawit tiba-tiba aku terasa badanku  panas yang amat sangat. Panas!!! Pedihhhh! Gerakan aku kaku serta-merta. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Aku tercampak jauh. Aku pengsan di situ juga!

Rabu, 5 Januari 2011

Habis madu sepah dibuang

Mungkin perumpaan itu kebiasaannya jelas terpakai bagi seorang wanita yang kehilangan maruah dan kemudian ditinggalkan begitu saja. Tapi maksudnya mungkin lebih menyeluruh dan tidak tertumpu pada satu maksud saja.

Contohnya tiga tahun lepas, aku akan selalu balik ke kampung jika ada cuti panjang. Alah, dua hari cuti pun consider cuti panjang bagi aku. Maksudnya, setiap hujung minggu mesti balik kampung. Syukurlah, tempat belajar pun dekat dengan kampung. Masa tu belum beli kereta lagi. Dalam perjalanan menunggang motosikal, macam biasalah kita kadang-kadang selalu berangan dan berkhayal. Itupun nak kasi hilang bosan atas motor. 

Sehinggalah tiba di satu pekan itu, aku berhenti berkhayal. Aku ternampak sepasang suami isteri lingkungan 50 an barangkali duduk melepak di kaki lima di deretan bangunan lama di sebuah pekan. Entah mengapa aksi pasangan itu menarik perhatian aku sedangkan ramai lagi yang berpusu-pusu di situ. Aku memperlahankan motorsikal. Aku sempat mengerling keadaan pakcik dan makcik tu.

Pakaian pakcik dan makcik tu agak lusuh dan nampak macam orang susah. Suaminya sedang berbual sesuatu dengan si isteri. Nak kata tengah membeli-belah, tak pulak aku nampak macam nak membeli-belah. Nak kata balik kampung, tak ada pulak beg besar-besar. Yang ada cuma sebungkus kain yang dalamnya mungkin pakaian. Pakcik dan makcik tu hanya duduk di kaki lima bangunan selang beberapa baris dari kedai makan. Aku memang betul-betul tersentuh.

Sampai kat kampung, aku terus baring kejap dan terbayang-bayang pakcik dan makcik tu. Entah ke mana arah tujuannya. Dah makan ke belum. Macam-macam aku fikir. Lusanya aku balik ke rumah sewa balik. Isnin dah ada kelas. Aku sempat perlahankan motor kat deretan bangunan kelmarin. Dengan harapan pakcik dan makcik tu ada. Tapi bayangnya pun tak ada. Ah! mungkin aku je yang fikir macam-macam. Entah-entah pasangan tu tengah tunggu anak dia jemput haritu tak!

Peperiksaan akhir dah habis. Cuti sem pun dah bermula. Macam biasalah, family aku akan datang untuk punggah barang apa yang patut. Kemudian mereka balik dulu, aku akan menyusul kemudian. Masih lagi tak boleh hilang tabiat berangan atas motor. Aku mesti akan berangan. Berangan punya berangan, gerimis halus turun dari langit pulak. Aku cuba memecutkan motor. Hujan makin lama semakin lebat. Alang-alang dah basah tu, aku terus jugak bawak motor.

Kali ini aku nampak lagi pasangan suami isteri tua tu! Dia bukan duduk di kaki lima menunggu anak ke apa ke, bukan sedang makan kat restoren ke, bukan sedang membeli-belah dan sebagainya. Tapi sedang kesejukan kat bus stop! Perhentian bas! ya, perhentian bas yang 3 kaki x 10 kaki tu. Hanya si suami dan isteri.itu saja ada kat situ Tak dapat aku nak gambarkan dengan kata-kata macam mana tersentuhnya hati aku melihat pasangan itu kesejukan. Mungkin orang lain tengah tidur atas katil empuk. Takpun tengah makan pisang goreng panas sambil menonton TV bersama famili. Tapi pasangan tu? 

Si suami memeluk tubuh. Si isteri pulak cuba menumpang kehangatan badan suami sambil memeluk beg bungkusannya. Aku mula berfikir lagi, haritu jumpa kat pekan sana. Sekarang ni ada kat sini pulak. Apa yang pakcik dan makcik ni buat kat sini? Takkan tak ada rumah? Ke baru dihalau anak menantu? Ataupun, kena halau dari rumah sebab tak bayar sewa atau sebagainya? macam-macam aku dok pikir.

Aku ingin saja berhenti dan memberikan pertolongan apa yang patut. Tapi...apa yang boleh aku bantu? Menyediakan tempat berteduh untuk pakcik dan makcik tu? Aku pun tengah basah kuyup masa tu! Memberi duit tambang bas? Tambang bas dia nak ke mana? Lagipun budak tak kerja macam aku ni, mana ada duit? Akhirnya dengan berat hati dan penuh persoalan aku tinggalkan pasangan tu. Aku sempat mencuri pandang melalui cermin sisi motor. Si isteri terus memeluk suaminya mungkin kerana kesejukan!  Suami pulak mencium dahi isteri. Aku nampak dia lap mukanya beberapa kali. Tak pasti lap kena tempias air hujan atau air matanya!

Sejak dari hari itu, aku langsung tak jumpa pasangan itu lagi. Entah apalah khabarnya mereka. Apalah pengakhiran kisah hidup mereka. Aku tak tahu langsung.  Itulah kali terakhir aku berjumpa dengan mereka.

Kepada kawan-kawanku kat luar sana dan diri aku sendiri, aku mohon....aku mohon sangat-sangat. Jagalah mak ayah kalian sebaiknya. Jangan sikit pun kalian lukakan perasaannya. Sebab balasan Tuhan tu cash kat dunia! bila-bila masa jika kita menderhaka. Mak ayah kita tu saja yang ada. Sayangilah mereka seperti mana mereka sayangi kita semasa kecil.

p/s : Tiba-tiba teringat kes perempuan gemuk memarahi emaknya dan kemudian tinggalkan orang tua itu terkontang-kanting seorang diri. Menggigil mak tu menangis melihat perlakuan anaknya. Dari kecik dijaga dengan baik, tak kasi satu nyamuk pun hinggap kat badan kita, tapi bila dah besar......orang tua tu ditinggalkan. Kenapa mesti macam tu?

Oleh : Suhami Ahmad

Rabu, 15 Disember 2010

Maafkan kakak sayang...

Namaku Susanti. Tapi adik-adik ku lebih senang memanggilku kak Yanti. Berumur 23 tahun dan berasal dari Surabaya, Indonesia.  Aku ada dua orang adik lagi. Adikku yang pertama Farid. Umurnya baru 17 tahun. Adikku paling bongsu namanya Suria. Comel budaknya seperti suria pagi. Suria baru berumur 6 tahun. Ibu dan bapa kami baru meninggal tahun lepas akibat kecelakaan jalan raya. Kini hanya aku saja yang menjadi ibu dan ayah untuk adik-adikku.

Kami memang hidup susah sejak dari dulu lagi. Dan bertambah susah sejak ibu dan bapa pergi meninggalkan kami. Aku nekad. Aku harus keluar dari kepompong kemiskinan ini segera. Aku tidak mahu adik-adikku ini mengikut jejak langkah kakaknya. Hanya kenal ABC 123. Aku tidak bersekolah tinggi. Tapi aku mahu adik-adikku semua berjaya hingga ke universitas. Aku memandang muka adik bongsu ku. Harus lembut saja hati aku bila menatap wajahnya. Tapi kesian pada adik-adikku. Selalu saja ditindas orang kampung kerana kemiskinan kami. Harapkan saudara-mara, bayang mereka entah di mana. Aku tak pernah menatap wajah mereka sejak kecil lagi.

Malam tu hujan turun renyai-renyai. Kesian Suria. Adik bongsuku menggigil kesejukan. Aku nekad. Aku harus mengubah nasib keluarga kami. Aku memanggil Farid dan Suria berkumpul di ruang tamu. Di tengah-tengahnya hanya ada lampu gasolin saja yang menerangi malam-malam kami seperti biasa. Aku menatap wajah adikku satu persatu. Pedih rasanya hati ini untuk meluahkan kata-kataku. Aku tak sampai hati. Tapi.....aku harus kuat. Aku kena tabah untuk keluarga kami juga. Aku tidak tahan di hina!

Rabu, 1 Disember 2010

Kakak dalam kenangan

Esok genap tiga minggu kakak pergi meninggalkan kami.  Usianya muda sangat.  Tak sampai pun setahun. Kakak baru sekali menyambut hari raya puasa bersama-sama pada tahun ni.  Aku masih ingat lagi kakak makan lemang! Suka sangat dia dengan lemang.  Tapi itu semua sudah menjadi kenangan.  Kakak tiada di dunia lagi.  Mungkin ajal kakak sudah tiba. Kami pasrah dengan pemergiannya.

Kakak memang istimewa. Aksinya yang manja. Keletah yang comel. Rupanya seperti kartun Tom and Jerry.  Jari kakak ada cincin semulajadi! Bulunya hitam tetapi di sekeliling jarinya ada bentuk seakan cincin bewarna putih.  Kami sekeluarga pasti tergelak melihat aksinya bermain.  Malah cara kakak merehatkan dirinya pun macam manusia! Duduk bersimpuh.  Kakak selalu tidur bersama Mak Su.  Mak Su gemar memeluk kakak. Tiap-tiap malam Mak Su mesti mencari kakak. Kemudian barulah dia masuk tidur. Mak Su dan kakak memang rapat sejak dari dulu lagi.

Entah macam mana seminggu sebelum pemergian kakak, aku rasa rapat sangat dengannya. Jika sebelum ini, hendak merapatkan dengan kakak, kakak pasti akan lari menjauhkan diri. Mungkin kakak takut dengan aku. Sebabnya aku tidak selalu bermanja dengannya. Aku hanya melebihkan adik kakak yang bewarna putih. Ondok. Kakak berwarna hitam. Bulu dia bersih dan cantik. Bulu adiknya pun cantik. Gebu. dan putih.  Masa kakak nak menjilat bulunya, ia pasti duduk seakan manusia. Kadang-kadang aku tergelak melihat aksi kakak. Sejak itu, aku dan kakak makin rapat. Dia pun tidak melarikan diri lagi. Kalau aku usap kepalanya, dia akan tunduk dan kemudian berdengkur.

Sebulan sebelum pemergian kakak, Ondok sakit. Ondok adik kakak. Mereka hanya dua beradik sahaja.  Dia tidak boleh berjalan langsung! Kakinya seakan lumpuh. Aku syak dia mesti terkena sengatan serangga berbisa.  Sejak dari itu, kami adik-beradik bergilir-gilir memberikan susu pada Ondok. Ondok terberak dan terkencing di situ juga. Kami juga yang bersihkan. Dan yang paling mengharukan, sepanjang Ondok sakit kakaklah yang setia menemaninya. Kadang-kadang Kakak cuba mencuit-cuit hidung Ondok ajak bermain. Tetapi Ondok hanya kaku ditempatnya. Hanya matanya saja mampu berkelip.  Seluruh anggota badannya hanya kaku terbaring di lantai.

Alhamdulillah masuk minggu kedua, Ondok semakin pulih. Ia sudah boleh bangun dan makan sendiri. Walaupun jalannya tidak lancar dan tertempang-tempang tetapi Ondok cuba gagahi juga langkahannya jika ingin terberak atau terkencing. Ia seolah-olah tidak mahu menyusahkan kami lagi. 

Ondok dan Kakak boleh bermain semula. Ondok masih lagi tempang tetapi dia mampu mengejar kakak keliling rumah! Apabila sudah dapat menangkap kakak, kini giliran kakak pula yang mengejar Ondok. Mereka berdua bermain sampai ke petang.  Kadang-kadang mereka berdua akan melepak di atas jaring bangsal cendawan. Seakan duduk bersantai di dalam buaian di tepi pantai.  Terbuai-buai jaring tu jika mereka bergurau-senda. Kakaklah sumber kekuatan Ondok untuk kembali pulih.

Dua hari sebelum pemergian kakak, kakak tak balik-balik rumah. Kami risau. Entah sudah makan ataupun belum. Esoknya kakak balik ke rumah juga. Tetapi kakak mengiau-ngiau nyaring. Suaranya seakan menahan kesakitan. Kami lihat mulut kakak berbuih.  Kakak pula sakit! Ondok cuba bermain dengan kakaknya, tetapi kakak hanya mampu memandang dengan pandangan menahan kesakitan. 

Kami cuba kenal pasti sakit kakak. Tiada kesan tulang tersangkut. Ataupun terminum racun. Kini kakak pula yang terlantar sakit. Tetapi kini Ondok pula setia menemani kakaknya.  Mata Ondok seakan berair melihat penderitaan kakak. Jika boleh, dia mahu berkongsi sama penderitaan tu. Ia tak mahu kakaknya tanggung seorang diri. Ondok hanya merenung saja muka kakak sepanjang malam.

Akhirnya pada tanggal 11.11.2010, kakak telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.  Tiada lagi kucing yang mempunyai cincin dijari. Tiada lagi kucing yang boleh duduk bersimpuh seperti manusia. Tiada lagi kucing yang comel seperti kartun tu.  Kakak sudah tiada!  Aku kesal sebab tidak dapat melihat kakak buat kali terakhir memandangkan aku tidak berada di kampung masa tu. Kesian Ondok. Tiap-tiap malam dia mengiau mencari kakak. Puas cari kat dapur, dia cari kat jaring bangsal. Puas kat jaring bangsal, dia cari kat halaman rumah. Ia berlegar keliling rumah mencari kakak untuk ajak bermain sama.  Tetapi kakak tetap tidak ada.  Kini Ondok tidak lagi seaktif dulu. Dia tidak banyak bergerak lagi.  Jalannya pun semakin tempang. Malah makin teruk. Mukanya cengkung.  Mungkinkah Ondok rindukan kakak....

Walaupun mereka hanyalah kucing, tetapi tidak perasankah kalian dengan keakraban dan kasih-sayang mereka yang Tuhan hendak tunjukkan pada kita? Tetapi kenapa kita yang bergelar manusia ciptaan terhebat , yang mempunyai akal dan fikiran ini masih membuang ibu ayah? anak? berbunuh adik-beradik? bermasam muka? tidak bertegur sapa hanya kerana masalah yang kecil. Fikirkanlah wahai mahkluk yang hebat.



 
Untuk kakak, semoga kau aman di sana...
:'-(







 
oleh,
Suhami Ahmad


Isnin, 4 Oktober 2010

Kerana dia


Masa kejap je berlalu kan bang.  Sedar tak sedar hidup ni terasa cepat je berlalu.  Abang ingat lagi tak saat pertama saya mengandung Syafiq dulu? Saya termuntah depan meja makan. Masa tu abang tengak sedap menjamah nasi berlauk sambal petai. Abang terus berhenti makan lepas tu tenung muka Ina tanda tak puas hati.  Ina masih ingat lagi.

Awak tu. Kalau ye pun nak termuntah, janganlah muntah depan saya. Masa saya tengah makan pulak tu. Tapi, abang tetap risaukan awak. Abang ingatkan lauk yang abang masak tu masin atau tak sedap. Yelah, kali pertama abang tolong awak masak.
Hehe. Rupa-rupanya kan bang, selepas saja abang bawa Ina pergi klinik desa, Ina telah disahkan mengandung. Ina suka sangat. Itulah kali pertama Ina tengok air mata abang bergenang. Ina tahu abang menunggu saat-saat bahagia itu. Hampir 7 tahun perkahwinan kita, akhirnya kali ini terlekat pulak.

Masa berlalu terlalu pantas. Bila tiba masanya Ina nak bersalin, abang cemas sangat. Abang tak tahu nak buat apa. Abang terus  pergi ke rumah Mak Tam. Nasib baik Mak Tam ada. Ina telah lahirkan seorang anak lelaki yang comel untuk abang. Kulitnya macam Ina. Putih melepak. Mukanya pun banyak ikut Ina. Cuma ehem je ikut abang. Hehe. Abang namakan anak kita itu Syafiq.

Ish, nakal abang ni. Ke situ pulak.  Walaupun kita hidup susah, kita tak pernah hampakan kehendak anak kita kan. Apa yang dia nak, kita sedaya upaya cuba dapatkan. Permainan baru? basikal? baju baru? kasut baru?semua kita sediakan. Itulah anak tunggal kita yang ada. Bila Syafiq gembira, kita akan gembira. Biarlah pada hari itu kita terpaksa mengikat perut membeli makanan kerana Syafiq beriya-iya nak kan permainan. Yang penting, Syafiq suka.

Betul kata awak tu Ina. Tak salah rasanya kita berbelanja untuk anak kita itu. Lagipun Syafiq anak yang cerdik. Dalam kelas selalu dapat nombor satu. Syafiq pun aktif bersukan. Awak ingat lagi dia pernah masuk perlawanan Hoki Sekolah Rendah sehingga peringkat negeri?

Ingatlah bang. Masa tu Ina yang masakkan lauk-lauk sedap untuk dia. Ina bekalkan siap-siap untuk Syafiq. Dia dan kumpulan hokinya makan sama-sama.  Mungkin sebab itu dia bersemangat sehingga kumpulannya merangkul gelaran juara negeri. Hehe. Prestasi akademik bagus, ko-kurikulum pun bagus. Cikgu-cikgu Syafiq selalu puji kecemerlangan anak kita. Tuh, kalau kat rumah tu, semua hadiah-hadiah dan trofi yang tergantung, semuanya hasil kejayaan Syafiq. Ina bangga dapat anak macam Syafiq tu.

Bila naik je sekolah menengah. Anak kita bertambah bagus. Wakil sekolah dalam pertandingan pidato, deklemasi sajak, syarahan, tadarus. Syafiq tu pun ketua pengawas menengah rendah. Abang selalu berangan. Mungkin Tuhan sudah mengirimkan anak bertuah seperti Syafiq ini untuk mengubah nasib kita sekeluarga. Mungkin lepas ni, kita tak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang lagi. Lepas ni, merasalah kita duduk rumah besar-besar. Pakai mewah-mewah. Tak perlulah kita mengikat perut lagi.
..................................

Kenapa awak terdiam?

Tapi bang. Tapi semua itu hanya angan-angan kita sahaja. Impian kita untuk melihat Syafiq berjaya musnah sekelip mata. Prestasi Syafiq makin merudum bila meningkat ke menengah atas. Cikgu selalu datang ke rumah , bagitahu anak kita tu bergaduh di sekolah. Balik rumah, bajunya kotor, koyak-rabak.  Remuk hati saya bang. Hancur. Pedih macam di hiris-hiris. Anak yang kita tatang bagai minyak penuh tu, sanggup buat kita macam ni.

Entahlah Ina. Mungkin itu nasib kita suami isteri. Sudah lah hidup susah, ditimpa lagi pelbagai musibah. Abang benar-benar kecewa bila polis datang ke rumah kita mencari Syafiq. Abang katakan, anak kita tu sudah tiga hari tidak pulang ke rumah. Sekolah entah ke mana. Makan minum entah apalah cerita. Bayang pun lama dah tak nampak.  Abang tak tahu kenapa Syafiq jadi macam tu.

Itu semua kerana dia bang! kerana dialah yang memusnahkan hidup anak kita! kerana dialah kita sekeluarga porak-poranda. Kerana dialah impian kita untuk hidup senang sedikit terus hancur.  Itu semua kerana DADAH!!!!!
Tak apalah Ina. Mungkin itu nasib kita. Marilah kita masuk. Awak tu pun bukannya sihat sangat.  Hari pun dah nak gelap. Tak guna kita menyesali perkara yang sudah. Syafiq pun sudah tiada. Biarlah kita biarkan Tuhan saja aturkan hidup kita yang masih berbaki senja ni. Marilah........


PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih