Kami memang hidup susah sejak dari dulu lagi. Dan bertambah susah sejak ibu dan bapa pergi meninggalkan kami. Aku nekad. Aku harus keluar dari kepompong kemiskinan ini segera. Aku tidak mahu adik-adikku ini mengikut jejak langkah kakaknya. Hanya kenal ABC 123. Aku tidak bersekolah tinggi. Tapi aku mahu adik-adikku semua berjaya hingga ke universitas. Aku memandang muka adik bongsu ku. Harus lembut saja hati aku bila menatap wajahnya. Tapi kesian pada adik-adikku. Selalu saja ditindas orang kampung kerana kemiskinan kami. Harapkan saudara-mara, bayang mereka entah di mana. Aku tak pernah menatap wajah mereka sejak kecil lagi.
Malam tu hujan turun renyai-renyai. Kesian Suria. Adik bongsuku menggigil kesejukan. Aku nekad. Aku harus mengubah nasib keluarga kami. Aku memanggil Farid dan Suria berkumpul di ruang tamu. Di tengah-tengahnya hanya ada lampu gasolin saja yang menerangi malam-malam kami seperti biasa. Aku menatap wajah adikku satu persatu. Pedih rasanya hati ini untuk meluahkan kata-kataku. Aku tak sampai hati. Tapi.....aku harus kuat. Aku kena tabah untuk keluarga kami juga. Aku tidak tahan di hina!
"Farid, kakak mau bincang sama kamu berdua,"kataku pada malam itu.
"Apa dia kak Yanti? Kak Yanti mau aku berhenti sekolah? Aku sanggup kak. Biarlah aku berhenti sekolah untuk menyara keluarga kita,"kata adik lelakiku.
Hancur lebur hatiku bila adikku berkata sedemikian. Aku seorang kakak, kini seorang ibu dan bapa yang harus berkorban. Bukannya kau dik. Hatiku berkata-kata.
"Bukan, kakak ingat kakak mahu ikut kak Susan mencari kerja di Malaysia. Dia kan baru pulang bercuti. Kakak mahu merngubah hidup kita dik,"kataku tersekat-sekat. Aku amat berharap sangat tiada bantahan dari Farid dan Suria.
"Jangan tinggalin aku kok, kak. Macam mana dengan kami?,"kata adik bongsuku. Aku memegang dagunya dan tenung dalam-dalam ke anak mata. Air mataku seperti mahu mengalir. Kesian Suria. Wajahnya memang comel. Tetapi kecomelannya itu sudah berdaki dek hidup kami yang serik. Kecil-kecil lagi Suria sudah menolong aku mengutip daun teh di ladang. Dia masih belum bersekolah.
"Kakak kena pergi merantau sayang. Kakak tak tahan dihina lagi oleh orang kampung kerana kemiskinan kita. Kakak malu meraih simpati lagi. Izinkan kakak pergi ya,"air mata aku sudah mengalir. Pedih hatiku mengucapkan kata-kata sedemikian. Jiwaku lemah. Tetapi aku cuba sedaya upaya untuk menunjukkan kekuatan aku depan mereka.
"Bila berangkatnya kak?,"soal Farid. Alhamdulillah. Adik lelakiku itu faham juga. Aku tahu, sepanjang ketiadaan aku nanti, Farid boleh menjadi ketua keluarga kami. Farid rajin budaknya. Siang ke sekolah. Petang menjala ikan. Malam mengulangkaji pelajaran. Beruntung aku dapat adik seperti Farid.
"Susan akan pulang ke Malaysia lusa"
Suria terus memelukku. Dia seakan tidak mahu melepaskanku dari pelukannya.
"Nanti kakak belikan aku permainan ya!,"katanya berbisik di telingaku. Air mataku terus laju mengalir. Malam itu, alam juga seakan-akan turut menangisi nasib kami tiga beradik.
*******
Ini merupakan kali pertama aku berada di Malaysia. Cantik. Moden. Aku tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Hari pertama Susan hanya membiarkan aku rehat saja di rumah. Tetapi malam itu juga aku melihat Susan berpakaian cantik dan keluar dari rumah. Aku hanya membiarkan saja. Mungkin dia ingin berjumpa rakan rasanya. Pujuk hatiku.
Malam keduanya dia memberikan aku sepasang baju yang cantik sekali. Aku gembira dengan pemberian itu. Mesti harganya agak mahal. Aku tidak pernah memakai pakaian secantik itu. Aku menolak dengan baik kerana aku tidak layak menerima pemberian itu. Tetapi Susan beriya-iya menyuruh aku memakainya. Setelah bersiap, aku ingatkan Susan akan membawaku ke rumah majikan yang baru, rupa-rupanya dia telah membawaku ke sebuah pusat hiburan. Aku tergamam. Bukan ini yang aku bayangkan. Aku ingin pulang ke rumah tetapi Susan merentap tanganku. Sampainya hati kau Susan!
Aku dibiarkan sendirian di sebuah bilik. Jantungku berdebar-debar. Tidak lama kemudian seorang lelaki berbangsa eropah masuk ke bilik dan memandangku dengan pandangan bernafsu. Dia tersenyum. Aku berasa takut. Dalam fikiranku hanya ada wajah-wajah adikku dengan harapan mereka dapat membantuku di saat itu. Lelaki eropah itu terus menolak badanku ke atas katil. Aku cuba meronta. Dengan kekuatan yang ada, aku menghentak kepalanya dengan pasu bunga dan cuba menolak lelaki itu sekuat hati. Aku cepat-cepat melarikan diri dari tempat menjijikkan itu.
Aku berlari sekuat hati tanpa arah. Tidak semena-mena sebuah kereta muncul dari hadapan. Dunia aku terus hitam. Aku tidak ingat apa-apa. Sedar-sedar saja, aku berada di sebuah rumah besar. Aku diselamatkan oleh sepasang suami isteri yang baik hati. Mereka berdua masih muda dan mempunyai dua orang anak. Aku menceritakan pengalamanku ketika berada di Malaysia. Mereka berasa simpati.
Mulai saat itu, aku telah diambil bekerja sebagai pembantu rumah. Aku dilayan dengan baik. Anak-anaknya pun sukakan aku. Hidupku amat bahagia sekarang. Tiap-tiap hujung bulan aku akan kirimkan semua duit gajiku pada adik-adik di kampung. Aku berasa lega sedikit. Mungkin kehidupan adik-adiku sedikit senang sekarang.
Namun, panas diharapkan sampai ke petang, hujan turun di tengah hari. Majikan lelakiku buat perangai. Dia selalu pulang ke rumah dalam keadaan mabuk-mabuk. Dia selalu memukul isterinya. Rumah tangga itu sudah tidak tenteram macam dulu lagi.
Jika aku sedang menghidangkan makanan pada keluarga itu, aku perasan majikan lelakiku sedang menjeling melihat susuk tubuhku. Kemudian dia menjilat bibirnya. Tetapi aku cuba buat tidak endah kerana dalam firasatku mungkin itu hanya permainan perasaan aku sahaja. Mana mungkin insan yang pernah menyelamatkan hidup aku itu mempunya niat yang jahat terhadapku.
Sehinggalah pada satu hari itu. Majikan lelakiku pulang dalam keadaan mabuk lagi. Aku melihat jam didinding sudah pukul 2 pagi. Aku terus segera membuka pintu kerana takut dimarahi.
"Baru pulang ya pak!,"kataku ringkas.
Majikan lelakiku tidak menjawab sebaliknya dia menjelingku dengan biji matanya yang merah itu. Aku terus membiarkannya sendirian dan masuk ke dapur menghabiskan kerja-kerja tertangguh tadi.
Majikan memelukku dari belakang. Aku terkejut. Aku minta dilepaskan tetapi tidak dipedulikan. Majikan perempuan tiada di rumah kerana outstation. Hanya tinggal aku, suaminya serta dua orang anaknya yang masih kecil sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing. Majikan lelaki terus mengheretku masuk ke dalam bilik utama. Aku meronta-ronta. Tetapi badanku yang kecil ini tidak mampu sedikitpun menggugat kekuatan tenaganya yang lebih dua kali ganda dariku. Aku cuba merayu. Aku menangis teresak-esak. Tidak ada sesiapa pun yang mendengar! Jiran-jiran sudah biasa dengan pergaduhan di rumah itu. Mungkin mereka menyangkakan itu adalah pergaduhan pasangan itu.
Badanku diseret kuat ke bilik atas. Apabila aku cuba meronta lagi, dia menumbuk perutku sekuat hati. Aku berasa senak yang amat sangat. Tanganku yang kecil itu dilipat ke belakang seperti polis menahan seorang penjenayah. Aku berasa amat sakit diperlakukan sedemikian. Aku hanya mampu menangis teresak-esak. Majikan menampar pipiku berkali-kali suruh senyap. Aku semakin lemah. Aku tahu tidak ada sesiapun yang mampu menolong aku saat itu. Anak majikanku pula masih kecil dan tidak mengerti apa-apa.
Wajah Farid dan Suria muncul dalam kepala. Tolonglah kakakmu ni sayang. Tolong! Ya Allah, berilah pertolonganMu ya Allah. Aku terus mendapat kekuatan. Aku menggigit lengannya yang besar itu sekuat hati. Majikan lelakiku terus menjerit lalu menolak aku ke bawah.
"Allahu Akhbar!!!,"jeritku.
Badanku berpusing-pusing banyak kali. Dan........di bawah anak tangga paling akhir sekali, kepalaku terhentak pada pasu perhiasan. Kepalaku pening amat sangat. Aku meraba kepalaku. Terasa cecair panas mengalir deras dari kepala.
Mataku berpinar-pinar. Dalam fikiranku sekarang hanya terbayangkan adik-adikku sahaja. Aku sudah tidak bisa menahan lagi. Begini berat dugaan yang hambaMu ini tanggung ya Allah. HambaMu ini hanya ingin mencari sedikit saja rezeki di celah-celah kekayaan orang ini. Hanya sedikit saja.
Kemudian sepertinya satu tolakan kuat ingin keluar dari bawah kaki bawa ke kepala. Aku tahu ajalku hampir tiba. Nafasku tersekat-sekat. Hanya air mata saja mampu mengalir deras. Mulutku mengucap banyak-banyak mengingati Allah. Dadaku berombak kencang. Mataku terasa semakin berat untuk dibuka. Jantungku semakin lemah.
"Nanti kakak belikan aku permainan ya!,"hanya kata-kata itu saja bermain dalam benak fikiran yang pernah diucapkan Suria.
Dan.....hanya satu saja yang mampu terluah dari mulutku....
"maafkan kakak sayang......Allah................."
2 ulasan:
terkezuttt
ingat atokk dah betukar jantina jadi
'KAKAK' lak tadi
kahkahkah
zazaw : Ha...ni mosti tak dapek nak feel an?
Bukan watak atok yanti tu
:P
Catat Ulasan