Memaparkan catatan dengan label Novel Cinta Semalam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Novel Cinta Semalam. Papar semua catatan

Ahad, 17 Julai 2011

Cinta Semalam Episod 38

     

 Pada masa yang sama Sutina sedang menangisi nasib malang yang menimpa dirinya.  Dia membelek luka-luka dan lebam akibat didera majikannya kelmarin.  Tanpa diduga air matanya gugur membasahi bantalnya.
      “Adi, kakak akan teruskan hidup walau apapun yang terjadi.  Kakak akan terus bekerja ya dik.  Kakak nak kamu berjaya,”katanya bermonolog sendirian.
      Sutina menatap kembali gambar bersama adiknya yang tunggal.  Itulah satu-satunya adik lelaki yang dia ada.  Lebih 10 tahun dia tidak pulang ke Indonesia.  Mungkin wajah dan fizikal adiknya sudah berubah sekarang.
       Dia meninggalkan Adi bersama Mak ciknya sejak umurnya lebih kurang 13 tahun.  Mungkin sekarang umurnya sudah mencecah 23 tahun.  Cuma beberapa bulan saja Adi akan menamatkan pengajian.  Lepas itu bolehlah dia pulang ke Indonesia semula.  Hidup bersama adiknya seperti dulu.  Tambahan pula tahun depan premitnya akan tamat.
      Masih jelas tergambar dalam fikirannya lagi masa mula-mula dia memberitahu mak ciknya tentang pemergiannya ke Kuala Lumpur.  Dia ingin bekerja sebagai pembantu rumah di sana.  Sambil-sambil itu dapatlah dia meringankan beban mak ciknya yang menanggung mereka berdua sejak kecil.  Mak ciknya pun orang susah.  Seorang janda.  Itulah ayah dan ibu kepada mereka.
      “Mak cik, Sutina mahu pergi bekerja di Kuala Lumpur ya.  Kawan-kawan Sutina kata, tempatnya mewah.  Senang cari duit.  Sebelum tu, Sutina akan ikuti kursus.  Apa kata mak cik,”tanya anak gadis yang berusia 18 tahun itu.
      “Kenapa mahu ke sana sayang? di sini pun kerjanya banyak.  Tak usah kamu pergi jauh-jauh ya,”mak ciknya membantah.
      “Tapi, di sana lebih mewah.  Kalau Sutina dapat kerja di sana nanti, tiap-tiap bulan Sutina akan kirimkan wang.  Nanti kita senang,”Sutina cuba memujuk lagi.
      Mak ciknya berhenti melipat baju.  Dia memandang wajah manis Sutina di sebalik kesamaran pelita yang malap.  Wajah anak gadis itu beriya-iya benar.  Dia sungguh-sungguh mahu membantu keluarganya keluar dari belengu kemiskinan.
      “Tapi kita bahagia sayang.  Walaupun kita susah sekarang, tapi semuanya cukup.  Kita ada kasih-sayang.  Kalau Sutina pergi, macam mana dengan Adi?,”kata mak ciknya membuatkan Sutina tersentak.
      Sutina memandang muka adiknya yang sedang nyenyak tidur.  Betul juga kata mak ciknya.  Kalau dia pergi ke Kuala Lumpur, dengan siapa lagi Adi hendak bermanja.  Dia tahu Adi memang rapat dengannya.
       Tapi semua itu untuk kepentingan masa depannya juga.  Dia mahu Adi berjaya dalam hidup.  Dia tak mahu Adi tercicir sepertinya.  Dia sendiri tak sempat menghabiskan persekolahan.
      “Adi budak bijak mak cik.  Su tak mahu persia-siakan kelebihannya.  Su mahu dia jadi orang yang berguna.  Orang yang akan ubah hidup kita mak cik,”ujarnya bersungguh-sungguh.  Kata-katanya sarat dengan harapan.
      Mak ciknya terdiam sebentar.  Suara cengkerik dan makhluk malam sesekali memintas percakapan mereka.  Di teratak yang buruk itu mereka bertiga tinggal bersama.  Tidak ada ruang bilik, tidak ada ruang tamu, tidak ada ruang dapur.  Semuanya hanya satu.
      “Kalau itu keputusan Su, apa lagi yang boleh Mak cik katakan.  Mak cik izinkan.  Tapi mak cik takut kalau Adi tak boleh terima semua ni,”ada riak kerisauan diwajahnya.
      “Itu tak perlulah mak cik risaukan.  Sutina akan cuba bincangkan hal ni dengan Adi.  InsyaAllah, dia mengerti,”Sutina memujuk.
      Guruh di luar berdentum lagi.  Kali ini disertai kilat.  Nampaknya malam itu mereka bertiga akan tidur dalam kesejukan lagi.
      “Kak, mahu pergi ke mana kamu?,”Suhadi terjaga dari tidur.  Budak itu mengosok-gosok biji matanya.
      “Kakak mahu ke kota dik,”Sutina mengusap kepala adiknya.
      “Kota mana? Adi mahu ikut sekali,”kata budak lelaki itu lagi.
      “Kakak mahu ke Kuala Lumpur.  Mahu bekerja di sana,”Sutina memberikan penjelasan.
      “Buat apa di sana? di sinikan ada pekerjaan juga,”Suhadi bijak berkata-kata.    Kehidupan mereka yang susah menjadikan mereka lebih matang.
      “Di sini tidak cukup dik.  Nanti kalau kakak dapat kerja di sana, kak akan belikan kereta mainan untuk Adi.  Mahu tak?,”pujuk Sutina lagi.  Mak ciknya memandang dari jauh sambil mengesat air mata yang sudah meluruh.
      “Adi tak perlukan itu kak.  Adi cuma perlukan kakak.  Macam mana Adi nak hidup tanpa kakak?,”suara budak itu lemah.  Matanya masih kuyu seperti tadi.  Sutina menitiskan air mata setelah mendengar kata-kata adiknya.  Jiwanya seakan rabak mendengar pengakuan adiknya.
      “Kakak ke sana bukannya suka-suka dik.  Bukannya pergi melancong.  Kakak pergi untuk masa depan kita.  Fahamilah kakak,”Sutina cuba meyakinkan adik lelakinya.
      Mak cik mereka hanya diam.  Dia memandang dari jauh sambil mengesat matanya lagi.  Dia tidak mahu masuk campur urusan mereka adik-beradik.  Biarlah mereka yang selesaikan sendiri.
      “Adi faham.  Tak apalah, Adi izinkan kakak pergi.  Adi harap kak berhati-hati di sana.  Tapi jangan lupakan kami di sini,”kata akhir dari anak muda itu.
      Sutina memeluk erat adiknya.  Air matanya semakin banyak berjuraian.  Mak cik mereka pun berpelukan sekali.  Tanpa diduga air hujan turun membasahi bumi.  Air hujan sudah mula membolosi pondok buruk itu. Air hujan malam itu juga menjadi saksi keakraban kasih-sayang mereka bertiga.
      “Kenapa menangis Sutina,”kata-kata seseorang melupuskan khayalannya.
      Sutina cepat-cepat mengesat sisa-sisa air mata yang tertinggal.  Dia lantas menyorokkan gambar dia dan Adi di belakangnya.  Sutina membetulkan duduknya di birai katil.
      “Er…Tuan.  Tidak ada apa-apa.  Saja duduk-duduk,”balas Sutina tersekat-sekat.  Tetapi bekas air matanya tidak menipu.
      “Jangan  nak tipu saya.  Saya tahu awak baru lepas menangis.  Cuba cakap apa masalah awak sebenarnya?,”tanya orang tua itu lagi.
      Perasaan hairannya datang bertimpa-timpa.  Sejak bila pula tuannya itu cuba berbaik-baik dengan dirinya.  Selama ini dia dilayan tidak ubah seperti seorang tahanan.  Teruk didera.  Puas dicaci.  Sutina pantas menutup betisnya yang terdedah apabila menyedari tuannya memandang tepat ke arah itu.

Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 37, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]

Ahad, 10 Julai 2011

Cinta Semalam Episod 37

“Abang cakap betul-betul.  Jangan tipu saya!,”amuk Datin Asiah sepuas-puasnya.
      Datuk Ahmad tidak berkata sepatah sekalipun.  Dia malas hendak bertengkar dengan isterinya lagi.  Baginya pertengkaran seperti itu tidak akan membawa apa-apa faedah.  Lebih baik dia mendiamkan diri daripada memburukkan keadaan.
      “Saya cakap dengan abang ni.  Jangan buat bisu pulak.  Siapa perempuan tu?,”paksa datin lagi.
      Namun seperti tadi tiada sebarang kata yang keluar dari mulut suaminya.  Sebaliknya lelaki itu keluar dari bilik tidur mereka dan menuju ke ruang tamu.  Datin tetap tidak berpuas hati.  Dia mengikuti buntut Datuk Ahmad.
      “Abang! janganlah buat saya macam ni.  Makan minum abang, saya jaga.  Semuanya saya jaga.  Apalagi yang tak cukup bang?,”air mata perempuan itu jatuh berjujuran.  Datuk Ahmad berhenti menapak.  Dia merenung tajam isterinya.
      “Awak boleh diam tak? awak jangan tuduh saya tak tentu pasal.  Kalau naik tangan saya nanti, baru awak tahu!,”tiba-tiba datuk bersuara garau.
      Datin Asiah terkejut.  Air matanya lagi banyak gugur daripada tadi.  Dia memegang lengan suaminya sekemas yang mungkin.
      “Isteri mana yang tak cemburu bang.  Saya sendiri nampak awak dengan perempuan tu.  Siapa dia bang?,”perempuan itu merayu lagi.
      Datuk Ahmad   tidak mempedulikan isterinya lagi.  Dia melabuhkan punggungnya di atas sofa.  Tangannya menekan punat alat kawalan jauh televisyen.  Ibu jarinya menekan punat siaran berita.  Matanya tertumpu pada kaca TV sekarang.
      “Abang sudah-sudahlah tu.  Awak tu bukannya muda lagi.  Anak pun dah besar.  Janganlah buat perangai lagi.  Saya rayu abang,”tangis Datin Asiah tetap tidak puas hati.
      “Saya nak tengok TV.  Awak diam sekejap boleh tak!.  Tak malu ke kat jiran-jiran sebelah.  Hari-hari nak cari salah saya.  Hari-hari nak bergaduh.  Awak tak malu ke?,”bebel Datuk Ahmad pula.
      “Saya tak suka nak gaduh.  Saya sendiripun tak nak cari kesalahan awak,”Datin Asiah tetap berdegil.
      “Dah tu, awak buat apa bising-bising kat sini lagi.  Lebih baik awak buat kerja lain.  Jangan asyik nak cari marah saya je.  Saya dah bosan tau tak!,”tengking Datuk Ahmad lantang.
      Perempuan pertengahan umur itu mengesat air matanya.  Namun semakin dikesat,  semakin banyak air mata yang keluar.  Dia bertindak mengambil alat kawalan jauh di atas meja.  Datin pantas menutup siaran yang sedang ditonton oleh suaminya.  Datuk Ahmad menjelingnya dengan pandangan yang tajam.
      “Abang, kalau selama ni apa yang saya berikan tak cukup, abang kahwinlah lain.  Walaupun susah untuk saya terima semua ni tapi saya terpaksa bang. Saya tak mahu abang menanggung dosa kelak.  Saya tak mahu bersubahat.,”perempuan itu menagis teresak-esak.  Datuk menjeling geram.
      “Apa yang awak cakap ni? kenapa emosional sangat? siapa kata saya nak kahwin lain?,”bertalu-talu soalan keluar dari mulut datuk.
      Datin Asiah menggenggam erat kedua-dua tangan suaminya.  Dia merenung masuk ke dalam anak mata Datuk Ahmad.
      “Saya tak kisah bang.  Saya akan cuba menerimanya.  Mungkin itu takdir saya,”katanya pasrah walaupun berat untuk hatinya mengizinkannya.
      Datuk Ahmad menarik tangannya daripada genggaman datin.  Perempuan itu terkejut.
      “Awak dah salah faham.  Itu client saya,”jawab Datuk Ahmad lagi.  Puas dia beritahu hal yang sebenar tetapi isterinya tetap tidak percaya.
      “Tidak bang.  Saya tahu.  Awak mesra sangat makan dengan perempuan tu.  Perempuan muda bang.  Cantik orangnya.  Saya tahu saya dah tak cantik macam dulu lagi.Saya sedar saya dah tua.Kalau abang nak perempuan cantik tu,abang kahwinlah.  Saya tak mahu bersubahat bang,”rintih Datin Asiah sungguh-sungguh.
      “Saya rasa lebih elok awak tenangkan diri dulu.  Awak tak tahu apa yang awak cakapkan sekarang.  Saya tak ada niat nak kahwin dengan perempuan tu”
      Datin Asiah tetap tidak berpuas hati.  Kata-kata suaminya tidak boleh dipercayai.  Entah-entah mereka berdua sudah berkahwinpun.  Sebab itulah suaminya itu mengelak apabila menyebut soal kahwin.
      “Agaknya awak dah kahwin dulu.  Tapi sekurang-kurangnya biarlah saya kenal dengan madu saya tu bang,”hati datin sayu.
      Datuk Ahmad menghentakkan alat kawalan jauh dengan kuat.  Bateri 3A yang sekian lama tersembunyi di dalamnya terpelanting keluar.  Datin Asiah tersentak.  Tingkah laku suaminya seperti harimau lapar sekarang.
      “Asal saya duduk rumah, awak mesti nak membebel.  Tak boleh saya nak berehat langsung.  Saya dah penat melayan karenah awak tahu tak? saya dah bosan!”
      Lelaki tua itu mencapai kunci keretanya.  Dia bergegas keluar dari rumah yang dianggapnya tidak memberi ketenangan langsung pada dirinya.  Datuk segera menghidupkan enjin kereta dan memecutkan kenderaan keluar dari perkarangan rumah.  Datin terkesima seorang diri di tepi pintu.  Dia mengesat lagi air matanya yang tidak henti-henti mengalir.




Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 36, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]

Ahad, 26 Jun 2011

Cinta Semalam Episod 36



      “Apa awak buat ni.  Nanti awak demam.  Dahlah, kita masuk dalam je,”rungut Rusnanim.
      Iman terkebil-kebil memandang perempuan disebelahnya.  Memang betul juga katanya.  Nanti tak tentu fasal dia pula yang demam.  Namun kerana ego seorang lelaki itu kuat dalam dirinya, dia tetap berkeras tidak mahu masuk ke dalam.
      “Tak apalah Anim.  Kat sini lagi romantik,”Iman menahan kesejukan malam.
      Dia mengetap bibir takut kalau Rusnanim ternampak mulutnya yang menggigil menahan kedinginan malam.  Dia mahu kelihatan macho!
      “Kalau tak mahu masuk, awak pakai semula baju ni.  Biar kita sama-sama sejuk.  Setuju?,”ujarnya mendapatkan kepastian.
      “Okeylah.  saya setuju,”jawab Iman tersengih.
      Padahal hatinya berbunga riang dengan kata-kata Rusnanim tadi.  Bukannya apa, dia cuma takut macam-macam penyakit yang muncul nanti.  Dia hanya harapkan badan saja tegap tapi antibodi badan tak kuat.
      “Anim, saya nak tanya sikit boleh? dari dulu lagi saya nak tanya tau,”katanya memulakan perbualan yang terhenti seminit yang lalu.
      Anim mengemaskan duduknya.  Gelas yang jadi pemisah mereka berdua tadi dipegangnya   erat-erat.  Kini belakang bahu Rusnanim bertindih bahu Iman yang tegap.  Rusnanim dapat merasakan kehangatan badan lelaki itu.
      “Awak nak tanya apa?,”soalnya sudah bersedia.
      “Janji, awak jawab dengan ikhlas okey.  Tak mahu tipu-tipu,”Iman membuat perjanjian.  Rusnanim ketawa kecil.  Lelaki itu masih kebudak-budakan.
      “Baiklah.  Anim janji.  Cakaplah apa dia?”
      “Dulu masa kat rumah saya, Anim ada cakap kenal dengan Sufia.  Macam mana Anim kenal dia?,”Iman memandang anak mata Rusnanim yang hanya beberapa inci dari matanya.  Mata mereka menyatu.
      “Kenapa tiba-tiba awak tanya?,”Rusnanim tidak menjawab soalan tadi sebaliknya dia bertanya.
      “Saja tanya.  Manalah tahu Anim pernah jumpa dia ke, Anim tahu dia kat mana sekarang ke,”kata Iman seperti mengelak soalan cepumas tadi.
      Rusnanim mengangkat bahunya ke depan.  Bahunya dengan bahu Iman tidak bertemu lagi.  Dia diam seketika.  Kemudian menyedut sedalam-dalamnya udara malam yang segar.  Dan menghembusnya perlahan-lahan.
      “Dari Mak Jah.  Itu kisah dululah.  Anim ada tanya yang awak dah ada kekasih ke tidak.  Mak Jah cakap ada.  Kat kampung.  Masa tu awak sekolah kat sana,”jawab Rusnanim terang dan jelas.  Tidak ada apa yang perlu disembunyikan.
      Iman membisu.  Dia kehilangan kata-kata sekejap.  Rupa-rupanya Rusnanim sudah tahu kisah cintanya dengan Sufia.
      “Sekarang Anim nak tanya awak pulak.  Boleh?,”tiba-tiba Rusnanim bersuara semula.
      “Er…boleh.  Boleh”
      “Awak masih contack lagi dengan dia?”
      Iman terperangkap.  Dia sudah berjanji satu masa dulu malas untuk memikirkan hal Sufia lagi.  Dia sudah menerima hakikat tentang ketiadaan Sufia.  Baginya tiada lagi nama Sufia dalam kamus hidupnya.
      “Tak.  Kenapa?,”soal Iman pendek.
      “Saja tanya.  Manalah tahu kalau-kalau Iman masih lagi menghubungi dia”
      “Kalau masih contack sekalipun, kenapa? oo..Anim cemburu ya,”usik Iman.
      Kali ini Rusnanim pula yang terperangkap.  Dia cuba berlakon buat-buat tak tahu.  Iman mengusiknya lagi.  Tetapi lelaki itu berhenti bergurau tatkala ternampak Rusnanim mengeluarkan sepit berbisanya.
      “Eh, awak dengan si Hasrina tu macam mana?,”tanyanya mengalihkan topik perbualan.  Suara riuh tetamu yang hadir semakin pupus.  Bilangan mereka juga semakin kurang.  Hanya tinggal beberapa kerat sahaja.
      “Macam mana pula.  Dia tu kan adik sepupu saya.  Lagipun saya anggap dia macam adiklah.  Hei, ni kenapa tanya macam gini? cemburu ye,”Iman tersengih memanjang.  Rusnanim menjeling geram.
      “Janganlah usik Anim lagi.  Penatlah”
      “Eleh, merajuk konon.  Kalau Anim nak tahu, bila saya dekat dengan Anim, saya rasa bahagia sangat tau.  Tak tahulah kenapa.  Anim tahu kenapa?,”soal Iman sungguh-sungguh.  Mukanya berseri-seri.
      “Manalah Anim tahu,”balas wanita itu buat-buat tak mengerti.
      “Ceh, buat tak tahulah tu,”Iman bergurau lagi.
      “Mana ada”
      Perbualan mereka terhenti seketika.  Seorang gadis menghampiri tempat persinggahan mereka berdua.  Iman dan Rusnanim menoleh ke belakang serentak.  Kemudian Rusnanim memandang ke tempat lain.
      “Hei, abang kat sini rupanya.  Puas As cari.  Merata-rata tau.  Jom ikut As sekarang,”kata Hasrina manja dan gedik-gedik.
      “Ikut ke mana?,”dahi Iman mencerut.
      “Alah ikut jelah.  Kitorang ada buat surprise untuk abang tau.  Ikut okey,”Hasrina mempamerkan aksi manjanya lagi.  Badannya terliuk-lentok.
      “Kalau tak bagitahu, abang tak mahu ikut,”balas Iman semula.  Rusnanim semakin meluat.
      “Dah tentu surprise.  Mana boleh bagitahu.  Alah, jomlah.  Kak Rusnanim boleh duduk sorang-sorang.  Tak lari ke mana kakak tu,”dia menjeling Rusnanim dengan penuh makna.
      Telinga Rusnanim terasa panas.  Entah apalah salahnya sampai gadis remaja itu membenci dirinya.  Dia cuba memekakkan telinga.  Dan yang paling penting menahan rasa amarahnya!
      “Kak  Anim ikut sekali boleh?,”tanya Iman menjeling ke arah Rusnanim.  Tetapi Rusnanim tidak memandang mereka berdua.  Dia lebih rela memandang ke tempat lain.
      “Alah, surprise ni untuk abang je.  Bukan untuk dia,”rengek Hasrina.
      “Tak apalah.  Awak pergi je.  Lagipun Anim tak berminat nak bermain permainan bodoh tu.  Anim dah cukup dewasa untuk mengedik-gedik.  Awak pergi jelah,”tiba-tiba mulut Rusnanim ringan berkata.  Hatinya terasa puas teramat sangat!
      “Eii, sedapnya bahasa.  Kata orang gedik.  Tak sopan langsung.  Kat kampung tak belajar ke?,”Hasrina membalas semula.
      “Tidak ada siapapun di sini yang mengata awak gedik.  Saya cuma berkatakan tentang diri saya.  Tak tahulah kalau ayat yang keluar dari mulut saya tadi turut buat awak terasa.  Orang kata kalau makan cili, dia yang terasa pedas,”Rusnanim menikam semula.
      “Eii, geramnya.  Abang tengok perempuan ni.  Tak ada adap langsung,”adu Hasrina manja.
      “Sudah.  Baiklah abang akan ikut.  Jangan nak bising-bising lagi kat sini.  Jom masuk,”Iman  meleraikan pergaduhan.
      Hati Rusnanim pedih.  Dia terasa ingin menangis sekarang.  Namun dia tidak ada sebab yang kukuh untuk berbuat demikian.  Rusnanim melupakan niat asalnya.  Dia bukannya perempuan yang murah dengan air mata.
      “Berlagak punya perempuan,”kata Hasrina setelah berlalu dari situ bersama Iman.  Namun Rusnanim masih dapat mendengarnya.  Geramnya membuak-buak sekarang.  Dia hanya berdoa agar Tuhan memberinya kesabaran.


Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 35, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]


Ahad, 19 Jun 2011

Cinta Semalam Episod 35

    


  “Janganlah usik Hasrina lagi.  Abang ni jahat tau.  Perangai tak ubah,”suara Hasrina manja.  Kawan-kawannya yang lain tergelak melihat aksi mereka.
      “Apa pulak.  Betullah tu.  Kalau adik semua nak tahu, dia ni degil masa  kecik dulu tau.  Ada sekali tu, dia pecahkan jam dinding kesayangan abahnya sebab merajuk dengan abahnya dulu.  Masa tu tak silap dia darjah 3 atau 4 kot.  Manja sangat.  Kalau abanglah buat macam tu, dah lama makan penerajang ayah abang.  Eh, ayah abang garang tau,”kata-kata Iman disertai hilai tawa rakan Hasrina yang lain.
      “Eh, betul ke As?,”tanya salah seorang rakan Hasrina.
      “Mana ada.  Korang dengarlah cakap abang tu.  Penipu besar tau,”Hasrina tersipu-sipu.
      “Nak tipu apa.  Dah itu hakikatnya.  Anak manjalah katakan,”usik Iman lagi.
      “Abang jahat tau.  Ambik ni!”
      Hasrina mencubit pangkal lengan Iman.  Iman mengelak sepantas kilat.  Hasrina cuba mencubit lagi.  Iman berlari keliling ruang tamu.  Hasrina cuba mengejar Iman pula.  Di luar rumah ada mata yang memerhatikan gelagat mereka.  Dia semakin tidak duduk diam.  Rusnanim rasa cemburu yang amat sangat.  Entah kenapalah tiba-tiba perasaan itu menyelubungi dirinya sekarang.  Dia bertindak meninggalkan tempat itu segera.  Barangkali ingin ke tandas.
      “Tak mahulah cakap pasal As lagi.  Malu tau,”Hasrina merayu simpati.
      “Abang cakap betullah.  Nak malu buat apa.  Itulah sapa suruh buat perangai”
      “Eh, korang semua nak tahu tak, sebenarnya abang Iman ada adik dulu tau.  Hensem sangat.  Lagi hensem dari abang ni,”Hasrina mengalihkan topik perbualan.
      “Ye ke? kenalkanlah kat aku.  Kalau abang hensem, mesti adiknya hensem jugak,”kata seorang kawan Hasrina.
      “Eii…gatalnya.  Please lah,”kata seorang lagi.
      “Apa pulak.  Aku single lagi tau,”balasnya.
      “Stop.  Jangan nak bergaduh kat sini.  Tapi korang kena tahu, itu bekas pakwe aku tau,”Hasrina memotong cakap mereka berdua.
      “Ye ke.  Alah, melepas aku,”jawab seorang gadis.
      “Tapi dia dah lama meninggal.  Kemalangan jalan raya,”kata Hasrina lagi.
      Riak muka Iman sedikit berubah.  Tiba-tiba dia teringatkan Amir.  Namun cepat-cepat dia menepis segala kesedihan itu.  Yang berlalu biarlah berlalu.  Kita yang masih hidup perlu meneruskan perjalanan yang masih lagi jauh.
      “Ah, kesiannya.  Tapi takpe.  Abangnya kan ada.  Hensem apa.  Ala-ala mat saleh lagi,”usik seorang rakan Hasrina yang lain.
      “Hei, jangan nak menggatal.  Balak kau nak campak kat mana,”kata Hasrina.
      “Alah, dia buat spepat pun boleh.  Kan bang kan?,”gedik budak itu.
      Iman tersengih.  Menampakkan barisan giginya yang putih berseri.  Kekadang seronok juga dia melayan kerenah mereka semua.  Masih lagi bersifat kebudak-budakan.
      “Ooo…buat spepat.  Ni playgirl la ni ya.  Tak baik buat macam tu dik.  Setialah pada yang satu,”Iman berceloteh.
      “Entahnya kau ni.  Teruk tau.  Tengok macam aku ni.  Single lagi.  Tak mainlah cintan-cintun ni.  Jiwanglah.  Aku tak suka jiwang-jiwang,”kata Hasrina pula.
      “Ceh.  Blahlah.  Aku tengok kau lah jadi kepala kitorang ngorat budak jantan kat poli tau,”budak tadi tidak berpuas hati.
      Iman menggelengkan kepalanya.  Rupa-rupanya adik sepupunya itu kaki jantan.  Tapi gatal macam mana sekalipun, tak pernah lagi dia mendengar Hasrina buat perangai di poli.  Apa yang dia tahu, adik sepupunya itu antara pelajar yang pandai di situ.
      “Ye ke? wah dah pandai main cinta ya.  Siapa nama budak tu?,”tanya Iman.
      “Mana ada.  Diorang tipu lah.  As tak suka bercinta.  Bazir masa je.  Tunggulah satu hari nanti.  Tapi setakat ni As memang betul-betul single,”Asrina cuba menafikan kata-kata kawannya.
      “Betul tak girls…?”
      “Betul,”sokong kawan-kawannya yang lain.
      “Yelah tu,”Iman antara percaya dan tidak.
      Hasrina memuncungkan bibirnya.  Kalau ada tali, bolehlah diikat reben.  Di luar rumah, kelihatan Rusnanim duduk berseorangan.  Tanpa ditemani sesiapa.  Tidak ada Datin Asiah lagi yang menjadi teman bual sebelum ini.  Tidak ada lagi Iman disisinya.  Tidak ada semua itu.
      “Hi, sorang ke?,”sapa seorang lelaki.  Rusnanim tersentak.  Kemudian dia melemparkan semula pandangannya ke halaman rumah Dr. Suffian.
      “Hi.  Nampak gayanya macam tulah,”balasnya seperti hilang semangat.
      Rusnanim membetulkan silang kakinya.  Pemandangan di rumah Dr. Suffian begitu cantik sekali.  Orang ramai semakin kurang.  Ada antara mereka yang telah pulang ke rumah masing-masing.  Yang tinggal cuma saudara mara yang terdekat sahaja.
      “Mana Iman? dia tak ada dengan awak ke?,”tanya pemuda itu lagi.  Rusnanim menggeleng malas.
      “Ada kat dalam sana.  Biarlah dia nak berseronok sikit,”balasnya lagi. 
      Terang bulan semakin menerangi alam.  Wajah Rusnanim yang manis jelas kelihatan dalam kesamaran malam.  Rambutnya yang lembut bergerak mengikut rentak angin malam yang misteri.
      “Kenapa tak ikut sekali?”
      “Ish.  Tak mahulah.  Saya pun bukannya biasa sangat dengan tempat ni.  Seganlah,”ujarnya dengan hati yang berkeronyok.
      Tanpa disuruh, pemuda itu duduk di sebelahnya.  Rusnanim mengensotkan sedikit punggungnya ke hujung kerusi yang panjang.  Dia menghirup lagi baki air sehingga tinggal separuh.  Air laici yang sejuk itu tidak langsung terasa menggelongsor ke dalam  tekaknya.
      “Masa memang kejap berlalukan.  Sedar-sedar je kita semua dah besar.  Singkat sangat hidup ni,”pemuda itu berbasa-basi.  Rusnanim tidak menumpukan sangat apa yang dikatakannya.
      “So?,”tanya Rusnanim ringkas.
      “So, macam tak puas sangat.  Belum sempat lagi nak buat sesuatu perkara tu, dah tak sempat.  Awak setuju tak?,”ramah lelaki itu.
      Rusnanim menghembuskan nafasnya.  Kemudian membetulkan kedudukan punggung yang hampir jatuh akibat tak cukup ruang untuk duduk.  Bahu kanannya kini menyentuh bahu kiri lelaki itu.  Dia cepat-cepat bergerak seinci dari tempat asalnya tadi.
      “Kenapa awak cakap macam tu.  Sepatutnya kita sebagai hamba perlu bersyukur dalam setiap perkara.  Tak baik kita mempersoalkan ketentuan Tuhan.  Mesti ada hikmahnya di sebalik kejadian sesuatu perkara.  Jadi, kalau dah tahu hidup tu singkat sangat, jangan sesekali kita lepaskan setiap peluang.  Baru hidup kita bahagia,”balas nya panjang lebar.  Apa yang dikatakan itu seolah mengena ke batang hidungnya sendiri.
      Lelaki itu mengangguk setuju.  Mereka berdua terdiam seketika.  Yang terdengar cuma suara manusia yang makan-makan jauhnya lebih kurang 10 meter dari mereka.
      “Hi Anim.  Borak pasal apa tu.  Rancak nampak,”Iman tiba-tiba muncul di belakang mereka.  Rusnanim cepat-cepat menoleh ke belakang.  Senyuman yang dihadiahinya tidak bergula.
      “Tak ada apa-apa.  Borak kosong je.  Macam mana kat dalam, dah habis bersuka-ria?,”soalnya seakan merajuk.
      “Ish.  Kenapa cakap gitu? Ha Asrul, kau pulak buat apa sini? Kau cuba nak tackle si Anim ni ke? Eh, tadi aku nampak bini kau tau.  Kalau tak silap dia baru nak keluar rumah tadi,”gertak Iman.
      “Kau ni.  Mana ada aku nak ngorat.  Tadi, aku nampak Anim duduk sorang-sorang.  Kesian pulak aku tengok.  Kitorang pun borak kosong je.  Kau ni kenapa? cemburu ke?,”guraunya sambil tersengih kerang busuk.
      Rusnanim menundukkan muka.  Dia malas hendak mendengar lawak bodoh mereka berdua.  Hatinya sudah tawar.
      “Jangan nak menyibuk.  Eh, cepat!.  Bini kau nampak karang”
      “Eh, ye ke? alahai, sebelum apa-apa terjadi aku cabut dulu,”kata Asrul lantas meninggalkan mereka berdua.
      Rusnanim masih seperti tadi.  Tunduk  memandang lantai  bumi.  Tidak  menoleh sekalipun arah  Iman.  Dia menggeleng kepala sejurus selepas mengukir senyuman.
      “Boleh duduk?,”tanya Iman seakan memujuk.
      “Siapalah saya untuk  melarang”perlahan suaranya.
      “Hai,  bunyi macam merajuk je?,”usik Iman lagi.
      Rusnanim mendiamkan diri.  Dia malas lagi hendak menyusun kata.  Gelas yang setia ditangannya tadi diletakkan di tengah-tengah kerusi panjang.  Menjadi jarak  pemisah antara mereka berdua.  Biarlah sekarang punggungnya perit menampung badan dengan ruang yang sikit saja.  Biarkan.
      “Buat apa nak merajuk.  Tak ada sebab nak merajuklah,”kata Anim lagi setelah agak lama mereka berdua membisu.
      “Iye ke ni?”
      “Ya,”jawab Rusnanim sepatah.
      “Eleh-eleh.Betul?,”usik Iman.
      “Betullah,”Rusnanim tersenyum.Dia mencubit pinggang Iman yang padu.
      Iman mengaduh kesakitan.  Rusnanim ketawa kuat-kuat.  Namun masih lagi tidak di dengari oleh orang lain.  Iman segera menangkap tangan Rusnanim yang lembut.  Dia menggengam erat tangan itu.  Rusnanim berhenti ketawa.  Matanya memandang tepat pada mata Iman.  Iman  merenungnya tajam.  Matanya yang bundar menggoda Rusnanim.  Tiba-tiba degupan jantung Rusnanim sudah tidak beritma lagi.  Degupan itu semakin laju.  Semakin lama semakin laju.  Rusnanim cepat-cepat  menarik tangannya.  Lalu memandang ke tempat lain.
      “Maaf,”Iman menyesali perbuatannya.
      “Tak apa”
      Mereka berdua diam seketika.  Masing-masing melayan perasaan sendiri.  Angin malam semakin menusuk hingga ke tulang.  Rusnanim berpeluk tubuh.
      “Kita masuk dalamlah,”Iman memberi cadangan.  Rusnanim menjeling lelaki itu.
      “Tak mahulah.  Orang ramai.  Anim lagi selesa kat sini,”Rusnanim memberi alasan.
      Padahal dia sendiri tidak mahu berjumpa lagi dengan Hasrina.  Daripada dia tidak dapat menahan perasaan geram nanti lebih baik dia menahan kedinginan malam di luar.  Iman menanggalkan baju lengan panjang yang membalut tubuhnya.  Rusnanim hanya memerhatikan tindakan lelaki di sebelahnya itu.  Tubuh lelaki itu yang sasa jelas kelihatan di sebalik baju nipis berwarna putih yang dipakai.  Iman meletakkan baju yang ditanggalnya tadi pada badan Rusnanim.  Perempuan itu terkesima.


Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 34, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]


PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih