Ahad, 17 Julai 2011

Cinta Semalam Episod 38

     

 Pada masa yang sama Sutina sedang menangisi nasib malang yang menimpa dirinya.  Dia membelek luka-luka dan lebam akibat didera majikannya kelmarin.  Tanpa diduga air matanya gugur membasahi bantalnya.
      “Adi, kakak akan teruskan hidup walau apapun yang terjadi.  Kakak akan terus bekerja ya dik.  Kakak nak kamu berjaya,”katanya bermonolog sendirian.
      Sutina menatap kembali gambar bersama adiknya yang tunggal.  Itulah satu-satunya adik lelaki yang dia ada.  Lebih 10 tahun dia tidak pulang ke Indonesia.  Mungkin wajah dan fizikal adiknya sudah berubah sekarang.
       Dia meninggalkan Adi bersama Mak ciknya sejak umurnya lebih kurang 13 tahun.  Mungkin sekarang umurnya sudah mencecah 23 tahun.  Cuma beberapa bulan saja Adi akan menamatkan pengajian.  Lepas itu bolehlah dia pulang ke Indonesia semula.  Hidup bersama adiknya seperti dulu.  Tambahan pula tahun depan premitnya akan tamat.
      Masih jelas tergambar dalam fikirannya lagi masa mula-mula dia memberitahu mak ciknya tentang pemergiannya ke Kuala Lumpur.  Dia ingin bekerja sebagai pembantu rumah di sana.  Sambil-sambil itu dapatlah dia meringankan beban mak ciknya yang menanggung mereka berdua sejak kecil.  Mak ciknya pun orang susah.  Seorang janda.  Itulah ayah dan ibu kepada mereka.
      “Mak cik, Sutina mahu pergi bekerja di Kuala Lumpur ya.  Kawan-kawan Sutina kata, tempatnya mewah.  Senang cari duit.  Sebelum tu, Sutina akan ikuti kursus.  Apa kata mak cik,”tanya anak gadis yang berusia 18 tahun itu.
      “Kenapa mahu ke sana sayang? di sini pun kerjanya banyak.  Tak usah kamu pergi jauh-jauh ya,”mak ciknya membantah.
      “Tapi, di sana lebih mewah.  Kalau Sutina dapat kerja di sana nanti, tiap-tiap bulan Sutina akan kirimkan wang.  Nanti kita senang,”Sutina cuba memujuk lagi.
      Mak ciknya berhenti melipat baju.  Dia memandang wajah manis Sutina di sebalik kesamaran pelita yang malap.  Wajah anak gadis itu beriya-iya benar.  Dia sungguh-sungguh mahu membantu keluarganya keluar dari belengu kemiskinan.
      “Tapi kita bahagia sayang.  Walaupun kita susah sekarang, tapi semuanya cukup.  Kita ada kasih-sayang.  Kalau Sutina pergi, macam mana dengan Adi?,”kata mak ciknya membuatkan Sutina tersentak.
      Sutina memandang muka adiknya yang sedang nyenyak tidur.  Betul juga kata mak ciknya.  Kalau dia pergi ke Kuala Lumpur, dengan siapa lagi Adi hendak bermanja.  Dia tahu Adi memang rapat dengannya.
       Tapi semua itu untuk kepentingan masa depannya juga.  Dia mahu Adi berjaya dalam hidup.  Dia tak mahu Adi tercicir sepertinya.  Dia sendiri tak sempat menghabiskan persekolahan.
      “Adi budak bijak mak cik.  Su tak mahu persia-siakan kelebihannya.  Su mahu dia jadi orang yang berguna.  Orang yang akan ubah hidup kita mak cik,”ujarnya bersungguh-sungguh.  Kata-katanya sarat dengan harapan.
      Mak ciknya terdiam sebentar.  Suara cengkerik dan makhluk malam sesekali memintas percakapan mereka.  Di teratak yang buruk itu mereka bertiga tinggal bersama.  Tidak ada ruang bilik, tidak ada ruang tamu, tidak ada ruang dapur.  Semuanya hanya satu.
      “Kalau itu keputusan Su, apa lagi yang boleh Mak cik katakan.  Mak cik izinkan.  Tapi mak cik takut kalau Adi tak boleh terima semua ni,”ada riak kerisauan diwajahnya.
      “Itu tak perlulah mak cik risaukan.  Sutina akan cuba bincangkan hal ni dengan Adi.  InsyaAllah, dia mengerti,”Sutina memujuk.
      Guruh di luar berdentum lagi.  Kali ini disertai kilat.  Nampaknya malam itu mereka bertiga akan tidur dalam kesejukan lagi.
      “Kak, mahu pergi ke mana kamu?,”Suhadi terjaga dari tidur.  Budak itu mengosok-gosok biji matanya.
      “Kakak mahu ke kota dik,”Sutina mengusap kepala adiknya.
      “Kota mana? Adi mahu ikut sekali,”kata budak lelaki itu lagi.
      “Kakak mahu ke Kuala Lumpur.  Mahu bekerja di sana,”Sutina memberikan penjelasan.
      “Buat apa di sana? di sinikan ada pekerjaan juga,”Suhadi bijak berkata-kata.    Kehidupan mereka yang susah menjadikan mereka lebih matang.
      “Di sini tidak cukup dik.  Nanti kalau kakak dapat kerja di sana, kak akan belikan kereta mainan untuk Adi.  Mahu tak?,”pujuk Sutina lagi.  Mak ciknya memandang dari jauh sambil mengesat air mata yang sudah meluruh.
      “Adi tak perlukan itu kak.  Adi cuma perlukan kakak.  Macam mana Adi nak hidup tanpa kakak?,”suara budak itu lemah.  Matanya masih kuyu seperti tadi.  Sutina menitiskan air mata setelah mendengar kata-kata adiknya.  Jiwanya seakan rabak mendengar pengakuan adiknya.
      “Kakak ke sana bukannya suka-suka dik.  Bukannya pergi melancong.  Kakak pergi untuk masa depan kita.  Fahamilah kakak,”Sutina cuba meyakinkan adik lelakinya.
      Mak cik mereka hanya diam.  Dia memandang dari jauh sambil mengesat matanya lagi.  Dia tidak mahu masuk campur urusan mereka adik-beradik.  Biarlah mereka yang selesaikan sendiri.
      “Adi faham.  Tak apalah, Adi izinkan kakak pergi.  Adi harap kak berhati-hati di sana.  Tapi jangan lupakan kami di sini,”kata akhir dari anak muda itu.
      Sutina memeluk erat adiknya.  Air matanya semakin banyak berjuraian.  Mak cik mereka pun berpelukan sekali.  Tanpa diduga air hujan turun membasahi bumi.  Air hujan sudah mula membolosi pondok buruk itu. Air hujan malam itu juga menjadi saksi keakraban kasih-sayang mereka bertiga.
      “Kenapa menangis Sutina,”kata-kata seseorang melupuskan khayalannya.
      Sutina cepat-cepat mengesat sisa-sisa air mata yang tertinggal.  Dia lantas menyorokkan gambar dia dan Adi di belakangnya.  Sutina membetulkan duduknya di birai katil.
      “Er…Tuan.  Tidak ada apa-apa.  Saja duduk-duduk,”balas Sutina tersekat-sekat.  Tetapi bekas air matanya tidak menipu.
      “Jangan  nak tipu saya.  Saya tahu awak baru lepas menangis.  Cuba cakap apa masalah awak sebenarnya?,”tanya orang tua itu lagi.
      Perasaan hairannya datang bertimpa-timpa.  Sejak bila pula tuannya itu cuba berbaik-baik dengan dirinya.  Selama ini dia dilayan tidak ubah seperti seorang tahanan.  Teruk didera.  Puas dicaci.  Sutina pantas menutup betisnya yang terdedah apabila menyedari tuannya memandang tepat ke arah itu.

Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 37, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]

2 ulasan:

EzayHadry berkata...

dh episod 38??? huhu lame tak jenguk ni..tapi memang nice laa...Sebak2...agak2 nape la bos tu baik2 ngan die...haaaa

Unknown berkata...

Ezay Hadry : Ha...tungguuuuu episod minggu depan...hihi

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih