“Abang cakap betul-betul. Jangan tipu saya!,”amuk Datin Asiah sepuas-puasnya.
Datuk Ahmad tidak berkata sepatah sekalipun. Dia malas hendak bertengkar dengan isterinya lagi. Baginya pertengkaran seperti itu tidak akan membawa apa-apa faedah. Lebih baik dia mendiamkan diri daripada memburukkan keadaan.
“Saya cakap dengan abang ni. Jangan buat bisu pulak. Siapa perempuan tu?,”paksa datin lagi.
Namun seperti tadi tiada sebarang kata yang keluar dari mulut suaminya. Sebaliknya lelaki itu keluar dari bilik tidur mereka dan menuju ke ruang tamu. Datin tetap tidak berpuas hati. Dia mengikuti buntut Datuk Ahmad.
“Abang! janganlah buat saya macam ni. Makan minum abang, saya jaga. Semuanya saya jaga. Apalagi yang tak cukup bang?,”air mata perempuan itu jatuh berjujuran. Datuk Ahmad berhenti menapak. Dia merenung tajam isterinya.
“Awak boleh diam tak? awak jangan tuduh saya tak tentu pasal. Kalau naik tangan saya nanti, baru awak tahu!,”tiba-tiba datuk bersuara garau.
Datin Asiah terkejut. Air matanya lagi banyak gugur daripada tadi. Dia memegang lengan suaminya sekemas yang mungkin.
“Isteri mana yang tak cemburu bang. Saya sendiri nampak awak dengan perempuan tu. Siapa dia bang?,”perempuan itu merayu lagi.
Datuk Ahmad tidak mempedulikan isterinya lagi. Dia melabuhkan punggungnya di atas sofa. Tangannya menekan punat alat kawalan jauh televisyen. Ibu jarinya menekan punat siaran berita. Matanya tertumpu pada kaca TV sekarang.
“Abang sudah-sudahlah tu. Awak tu bukannya muda lagi. Anak pun dah besar. Janganlah buat perangai lagi. Saya rayu abang,”tangis Datin Asiah tetap tidak puas hati.
“Saya nak tengok TV. Awak diam sekejap boleh tak!. Tak malu ke kat jiran-jiran sebelah. Hari-hari nak cari salah saya. Hari-hari nak bergaduh. Awak tak malu ke?,”bebel Datuk Ahmad pula.
“Saya tak suka nak gaduh. Saya sendiripun tak nak cari kesalahan awak,”Datin Asiah tetap berdegil.
“Dah tu, awak buat apa bising-bising kat sini lagi. Lebih baik awak buat kerja lain. Jangan asyik nak cari marah saya je. Saya dah bosan tau tak!,”tengking Datuk Ahmad lantang.
Perempuan pertengahan umur itu mengesat air matanya. Namun semakin dikesat, semakin banyak air mata yang keluar. Dia bertindak mengambil alat kawalan jauh di atas meja. Datin pantas menutup siaran yang sedang ditonton oleh suaminya. Datuk Ahmad menjelingnya dengan pandangan yang tajam.
“Abang, kalau selama ni apa yang saya berikan tak cukup, abang kahwinlah lain. Walaupun susah untuk saya terima semua ni tapi saya terpaksa bang. Saya tak mahu abang menanggung dosa kelak. Saya tak mahu bersubahat.,”perempuan itu menagis teresak-esak. Datuk menjeling geram.
“Apa yang awak cakap ni? kenapa emosional sangat? siapa kata saya nak kahwin lain?,”bertalu-talu soalan keluar dari mulut datuk.
Datin Asiah menggenggam erat kedua-dua tangan suaminya. Dia merenung masuk ke dalam anak mata Datuk Ahmad.
“Saya tak kisah bang. Saya akan cuba menerimanya. Mungkin itu takdir saya,”katanya pasrah walaupun berat untuk hatinya mengizinkannya.
Datuk Ahmad menarik tangannya daripada genggaman datin. Perempuan itu terkejut.
“Awak dah salah faham. Itu client saya,”jawab Datuk Ahmad lagi. Puas dia beritahu hal yang sebenar tetapi isterinya tetap tidak percaya.
“Tidak bang. Saya tahu. Awak mesra sangat makan dengan perempuan tu. Perempuan muda bang. Cantik orangnya. Saya tahu saya dah tak cantik macam dulu lagi.Saya sedar saya dah tua.Kalau abang nak perempuan cantik tu,abang kahwinlah. Saya tak mahu bersubahat bang,”rintih Datin Asiah sungguh-sungguh.
“Saya rasa lebih elok awak tenangkan diri dulu. Awak tak tahu apa yang awak cakapkan sekarang. Saya tak ada niat nak kahwin dengan perempuan tu”
Datin Asiah tetap tidak berpuas hati. Kata-kata suaminya tidak boleh dipercayai. Entah-entah mereka berdua sudah berkahwinpun. Sebab itulah suaminya itu mengelak apabila menyebut soal kahwin.
“Agaknya awak dah kahwin dulu. Tapi sekurang-kurangnya biarlah saya kenal dengan madu saya tu bang,”hati datin sayu.
Datuk Ahmad menghentakkan alat kawalan jauh dengan kuat. Bateri 3A yang sekian lama tersembunyi di dalamnya terpelanting keluar. Datin Asiah tersentak. Tingkah laku suaminya seperti harimau lapar sekarang.
“Asal saya duduk rumah, awak mesti nak membebel. Tak boleh saya nak berehat langsung. Saya dah penat melayan karenah awak tahu tak? saya dah bosan!”
Lelaki tua itu mencapai kunci keretanya. Dia bergegas keluar dari rumah yang dianggapnya tidak memberi ketenangan langsung pada dirinya. Datuk segera menghidupkan enjin kereta dan memecutkan kenderaan keluar dari perkarangan rumah. Datin terkesima seorang diri di tepi pintu. Dia mengesat lagi air matanya yang tidak henti-henti mengalir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan