Dari kemalapan malam itu kelihatan Iman dan keluarganya beserta Rusnanim muncul bersama hadiah cenderahati khas untuk Hasrina sempena kejayaannya memperoleh anugerah dekan pada tahun akhir dia menuntut di situ. Asrul menghampiri apabila menyedari kehadiran mereka.
“Jemputlah masuk. Amboi, hadiah besar-besar lagi. Kalah hadiah kahwin aku ya Man,”usik Asrul.
Datin Asiah, Datuk Ahmad dan Rusnanim hanya tersenyum. Iman terkulat-kulat bersendirian. Dia menggaru kepala. Asrul lantas bersalam dengan Mak Long dan Pak Longnya. Dan menghadiahkan senyuman kepada Rusnanim.
“Alah, sekali-sekala apa salahnya,”balas Iman ringkas.
“Bini kau mana Rul?,”tanya Datin Asiah pula. Lehernya panjang mencari isteri Asrul
“Ada kat sana Mak Long. Tolong-tolong buat kerja sikit”
“Tolong-tolong jugak. Bini kau tu berbadan dua. Sulung pulak tu. Kalau apa-apa terjadi, siapa yang susah?,”bebel datin lagi.
Asrul tersengih-sengih. Dia tidak tahu nak berkata apa lagi. Baginya apa yang dikatakan oleh Mak Longnya itu ada baiknya. Orang yang dah berpengalamanlah katakan. Sejak kematian ibunya 15 tahun lalu akibat barah payudara, Datin Asiah lah yang banyak memberi nasihat. Dia sudah menganggap Mak Longnya itu seperti ibu kandungnya sendiri.
“Abah mana?,”sampuk Datuk Ahmad di belakang.
“Ada kat dalam, Pak Long. Tunggu Pak Longlah agaknya tu,”jawab Asrul.
Datuk Ahmad berwajah serius. Dia segera meninggalkan mereka untuk masuk berjumpa adik iparnya. Rusnanim dan Datin Asiah pula memandang sesama sendiri.
“Mari masuk ke dalam sekali. Orang ramai kat dalam tu. Boleh makan-makan,”pelawa Asrul mesra.
Iman menolak perlahan bahu adik sepupunya itu. Datin menggelengkan kepala manakala Rusnanim tersenyum. Mereka bertiga segera mengikut jejak Datuk Ahmad sebentar tadi.
“Kak Long, Iman marilah masuk. Ajak kawan tu sekali,”pelawa Dr. Suffian di tengah-tengah pintu rumah.
Datuk Ahmad pula sudah lama tercegat di sebelah Dr. Suffian. Agaknya mereka berdua baru lepas berborak kosong.
“Mana si Hasrina nya, ngah?,”tanya datin kepada adik lelakinya itu. Lehernya panjang lagi.
“Tu. Sibuk dengan kawan-kawan dia,”Dr. Suffian memuncungkan bibir ke satu sudut rumah di mana Hasrina dan rakan-rakannya sedang gelak ketawa.
Datin Asiah memalingkan muka ke tempat yang di maksudkan tadi. Kelihatan tiga ke empat orang perempuan awal 20an sedang riang ketawa. Salah seorang daripada mereka Hasrina. Gadis kecil molek itu nampak gembira sekali bergurau dengan rakan-rakan. Rambutnya yang lurus diikat ekor kuda. Anak remaja yang lincah itu memandang ke arah Datin Asiah. Kemudian melemparkan senyuman manis. Dia segera meninggalkan rakan-rakannya yang masih gelak ketawa lantas menuju ke arah Mak Longnya.
“Hai Mak Long. Bila sampai,”sapa gadis itu lembut. Dia mencium tangan orang tua itu.
“Baru sekejap tadi,”jawab datin ringkas.
Datuk Ahmad dan Dr. Suffian telah lama menghilangkan diri. Barangkali sedang membelek apa-apa saja hidangan yang boleh dimakan dihadapan rumah. Yang tinggal cuma Iman, Rusnanim dan Datin Asiah sendiri. Mata Hasrina beralih pula pada Rusnanim. Dia memandang dengan pandangan yang pelik. Begitu juga Rusnanim. Mereka berdua saling pandang-memandang sekarang.
“Siapa ni Mak Long?,”tanya Hasrina manja.
“Setiausaha peribadi abang Iman kau”
Hasrina menjeling lagi. Kali ini lebih tajam dari tadi. Rusnanim pula mengalihkan anak matanya pada Iman. Iman cuma mengangkat bahu. Seolah-olah tidak mengerti apa-apa.
“Hai, setiausaha pun setiausaha jugak. Takkan nak berkepit sepanjang masa kot,”perlinya tajam.
Rusnanim terkedu seketika. Barangkali terasa benar dengan ayat pedih Hasrina. Walaupun perlahan nada suaranya, tapi masih lagi jelas kedengaran.
“Dia kawan Iman. Kawan masa kecil-kecil dulu,”Datin memberi penjelasan.
“Eh yeke Mak Long? tak sangka ya abang Iman ada kawan cantik macam ni. Budak kampung ke?,”ujarnya selamba. Air mata Rusnanim bertakung.
“Ada-ada je kamu ni. Dahlah, Mak Long nak pergi kat abah kamu sekejap kat luar nun. Kamu borak-boraklah dulu,”datin meminta diri.
Rusnanim masih lagi terkejut. Dia sungguh tak sangka budak mentah itu berani mengatanya depan-depan. Kalaulah budak di depannya itu adik kandungnya sendiri, sudah lama hinggap satu penampar di pipinya. Nasib baiklah itu bukan adiknya.
“Anim ni Hasrina. Hasrina ni pulak kak Rusnanim,”Iman memperkenalkan mereka berdua.
Rusnanim menguntum senyuman. Dia menghulurkan tangan. Namun tidak dibalas Hasrina. Sebaliknya satu jelingan yang lebih tajam daripada tadi.
“Hasrina…,”pujuk Iman.
Hasrina memandang Iman. Kemudian menjuihkan bibirnya. Dia menyambut salam tangan Rusnanim. Tapi seperti orang tak sudi nak bersalam.
“Tahniah. Berapa dapat hari tu?,”tanya Iman mengalihkan topik.
“3.87”
“Wah, hebat jugak. Patutlah dapat anugerah terbaik keseluruhan,”Iman memuji.
Rusnanim buat endah tak endah. Malah pandang mereka berdua pun tidak sekali. Setakat 3.87 itu apalah sangat bagi dia. Kalau 4.00 pointer, bolehlah juga dibanggakan. Rusnanim sekarang memandang ke luar rumah. Kelihatan Datuk Ahmad, Datin Salmah, Dr. Suffian dan tetamu yang lain sedang menjamu makanan.
“Lepas ni nak buat apa pulak?,”tanya Iman.
“Nak kerja dengan abang boleh tak?,”katanya mengada-ngada. Rusnanim memandang dengan meluat.
“Tak nak sambung belajar lagi?,”tanya Iman tidak berpuas hati dengan jawapan gadis remaja yang berada semeter darinya.
“Penatlah belajar. Lagipun kalau kerja boleh dapat duit. Kerja sebagai pembantu peribadi abang pun boleh,”ujarnya lagi.
Rusnanim semakin meluat dengan budak mentah itu. Dia teringin saja menarik rambut ekor kuda budak itu sekarang. Biar melalak tak tentu fasal. Tapi bila dikenangkan dia cuma tetamu, dia terus melupakan keinginan bodohnya tadi.
“Ish, takkan nak kerja kot. Tak nak ambil ijazah dulu ke? tak nak lawan abang Asrul ke? kalau dia setakat ijazah, Hasrina cubalah ambil sampai ke PhD pulak,”Iman tersengih panjang.
“PhD?. Nanti Hasrina tak sempat kahwin tau. Silap-silap jadi anak dara tua. Betul tak kak Rusnanim?,”perli Hasrina seraya memandang perempuan berbaju kurung di depannya.
Rusnanim sudah tidak tahan lagi. Dia segera meninggalkan Iman dan Hasrina berdua. Dia menuju ke luar rumah. Mencari ketenangan di luar. Belum sempat Iman mengejar Rusnanim, Hasrina cepat-cepat menarik tangan Iman.
“Mari kenal-kenal dengan kawan Hasrina. Diorang baik tau. Rugi tak kenal,”gedik budak perempuan itu.
Iman hanya mengikut kehendak Hasrina. Nak buat macam mana lagi. Kenalah juga dia melayan karenahnya. Samada suka ataupun tidak, dia terpaksa menurutinya juga. Dia tidak tahu bagaimana perasaan Rusnanim sekarang.
“Mana Iman? Tak nampak pun?,”tanya Datin Asiah pelik setelah terlihat Rusnanim keseorangan di sudut halaman rumah.
“Ada kat dalam auntie. Dengan Hasrina. Nampaknya dia tengah bersuka-ria,”jawab Rusnanim dengan hati yang membara.
Datin mengerutkan muka. Nampak gayanya Rusnanim seolah-olah sedang merajuk. Apa yang dirajuknya dia sendiri pun tak pasti. Setahunya, sejak mula-mula datang tadi mood budak itu memang baik. Tak ada sekalipun nampak macam kena paksa datang ke majlis itu.
“Kenapa tak joint sekali?”
“Tak mahulah, auntie. Tak biasa dengan diorang. Malulah. Lagipun kat dalam tu panas,”balas Rusnanim cuba untuk menyembunyikan perkara sebenar.
“Panas apanya kat dalam tu. Kan ada aircond,”
Barangkali datin tidak mengerti maksud sebenar panas yang ingin Rusnanim sampaikan. Dia bukannya panas kerana bahang cuaca. Sebaliknya panas dengan perangai gedik santai Hasrina.
“Tak apalah auntie. Kat luar ni lebih dingin. Semulajadi lagi. Lagipun Anim tak mahulah kacau diorang,”bicaranya seperti merajuk.
Datin menarik nafas panjang. Susah dia hendak meramal perangai anak kepada kawannya itu. Kejap elok, sekejap lagi nanti berubah. Entahlah.
“Itu sapa auntie,”Rusnanim berborak fasal hal lain.
Perempuan bersanggul itu menoleh ke arah yang dimaksudkan Rusnanim sebentar tadi. Kemudian memandang perempuan muda itu semula.
“Adik auntie. Abah kepada si Asrul dan Hasrina. Kenapa?,”tanya datin kehairanan.
“Tak ada. Saja tanya. Nampak macam saudara dekat dengan auntie. Rupa-rupanya adik ya,”balas Rusnanim.
Dia malas hendak berkata lebih lanjut tentang Dr. Suffian lagi. Lebih-lebih lagi gegendang telinganya menangkap bunyi ‘Hasrina’ dari mulut Datin Asiah. Padahal dia anti mendengar nama itu. Bukannya dia tak suka dengan Harina tapi dia cuma tak berkenan dengan perangai manjanya. Kalau nak ikutkan, dia sendiri taklah semanja begitu ketika sebayanya. Malah dia anak tunggal lagi.
“Mama dan papa Anim macam mana? lama tak datang rumah,”mulut datin ramah bertanya. Seolah wujud daya kimia perbualan antara mereka.
“Alhamdulillah, sihat. Cuma papa demam sikit jer. Itupun rasanya dah kebah,”balasnya manis berbicara.
Rusnanim menghirup sisa air yang tertinggal. Pandangannya tertancap pada jendela kaca rumah Dr. Suffian. Tertembus aksi Iman dan Hasrina sedang bergembira di dalam rumah. Mereka sedang bergelak ketawa. Entah apa agaknya yang kelakar sangat di dalam sana. Hatinya sakit lalu bertindak memandang Datin Asiah segera.
“Demam apanya pulak. Sejak bila papa kamu demam?,”soal datin lagi.
“Demam biasa je auntie”
Kedudukan anak mata Rusnanim tidak duduk diam. Dia asyik menjeling ke jendela rumah itu. Setiap kali dia pandang, setiap kali itulah hatinya sakit. Perasaan geram yang menguasai dirinya sekarang. Semakin mesra Iman dan Hasrina. Dia sendiri tak tahu kenapa tiba-tiba hatinya panas membara melihat kemesraan mereka berdua. Dia betul-betul tidak berpuas hati.
Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 33, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 33, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan