Ahad, 5 Jun 2011

Cinta Semalam Episod 33

  


    “Assalammualaikum mak,”Iman mencium tangan emaknya.
      Rusnanim di sebelahnya turut berbuat perkara yang sama.  Seketika itu dia sempat memerhatikan pesakit yang terbaring tanpa sedarkan diri di atas katil.  Rusnanim tidak mengenali wajah pesakit itu. 
      “Apa ceritanya mak?,”tanya Iman bimbang.
      “Pagi tadi doktor bagitahu, dia dah mula sedar dari koma.  Perkembangan yang memberangsangkan.  Sekarang ni, mereka nak uruskan pembedahan tu secepat mungkin,”bagitahu Datin Asiah ada sedikit riak kegembiraan di wajahnya.
      Rusnanim masih lagi memerhatikan lelaki yang terbaring di atas katil itu.  Dia sendiri tidak pernah melihat wajah lelaki itu sebelum ini.  Ini adalah kali pertama baginya.  Tapi apakah hubungannya dengan Datin dan Iman? Dia sendiri ligat membuat andaian.  Mungkin lelaki yang sedang tidur itu adalah saudara-mara Iman.
      “Bila nak bedah?,”tanya Iman lagi mendapatkan kepastian.
      “Secepat mungkin.  Tarikh sebenar mak tak pasti.  Tapi mak dah maklumkan pada nenek Hakimi di kampung.  Dia sendiri sudah jangka benda macam ni berlaku.  InsyaAllah, peluang untuk selamat itu tetap ada walaupun selepas itu dia tidak sempurna seperti dulu,”ada sinar harapan dalam tiap bait kata-katanya.
      Iman menganggukkan kepala.  Jari tangan kanannya menggosok janggutnya yang sejemput.  Dia kemudiannya menjeling pada Rusnanim.  Perempuan itu masih lagi sibuk menatap wajah lelaki yang terbaring sakit dihadapannya sekarang.  Agaknya dia tidak mengenali lagi siapa Hakimi sebenarnya.
      “Anim, itu Hakimi.  Pekerja mak.  Kawan masa saya sekolah dulu,”Iman memberi penjelasan.
      Rusnanim mengalihkan tatapannya sebentar tadi pada Iman.  Keningnya berlaga.  Sah dia memang tidak kenal lelaki itu.  Datin Asiah tersenyum melihat telatah anak muda tersebut.
      “Betul tu Anim.  Hakimi ni pekerja kanan auntie.  Auntie dah anggap macam anak sendiri dah,”datin menyampuk pula.
      Iman merenung Rusnanim.  Dia suka melihat riak wajah Rusnanim yang tertanya-tanya.  Nampak semulajadi.  Rusnanim perasan dirinya ditenung orang.  Cepat-cepat dia meletakkan bunga yang baru dibeli tadi di dalam pasu kecil.  Aksinya tidak keruan sekarang.
      “Macam mana Anim tahu mak cik kat sini? Iman ajak ya?,”soal datin dengan lembut.  Rusnanim membelek-belek bunga yang baru digubahnya tadi.
      “Taklah.  Bukan ke auntie yang suruh Anim datang sekali.  Abang Iman yang bagitahu kat Anim pagi tadi,”katanya berwajah manis memandang bunga mawar yang seolah-olah tersenyum padanya.
      Iman tersedak.  Tembelangnya pecah.  Dia tidak tahu apa lagi yang ingin dijelaskan kepada kedua-dua wanita di hadapannya sekarang.  Dia tidak tahu bagaimana hendak meleraikan perselisihan yang baru terungkap itu.  Bibirnya membeku, lidahnya kelu.
      “Abang tipu Anim ya.  Abang kata auntie yang suruh Anim datang sekali,”katanya separa berbisik. Rusnanim mengetap bibir.  Baru dia perasan dengan kelakuan Iman sebentar tadi.
      Iman sudah menjauhkan diri dari Rusnanim.  Dia takut cubitan Rusnanim yang paling berbisa di dunia itu terkena badannya.  Datin pula tersengih.  Perempuan melepasi setengah abad itu menghenyakkan punggungnya di atas kerusi di sebelah katil yang menempatkan Hakimi.
      “Eh, tu tengok tu..,”mulut Iman memuncung ke katil pesakit.
      “Tengok apa? abang nak tipu Anim lagi ya.  Abang jahat tau,”Rusnanim tidak mempedulikan kata-kata jejaka itu.  Dia cuba mengejar Iman.
      “Sungguh! betul.  Abang tak tipu.  Tangan Im bergerak,”katanya bersungguh-sungguh.
      Datin Asiah dan Rusnanim memandang Hakimi serentak.  Memang betul kata Iman.  Jari-jemari Hakimi bergerak.  Matanya seakan-akan berkerut seperti perit menahan silauan cahaya matahari yang menyinar.
      “Kan dah bangun budak tu.  Mak cakap jangan buat bising.  Budak tu bukannya sihat lagi,”bebel datin.
      Kali ini seolah-olah status anak itu telah dianugerahkan kepada Hakimi.  Iman pula seperti orang luar.  Tetapi dia faham perangai emaknya.  Dia tidak ambil kisah sedikitpun.  Sekarang dia dan Rusnanim saling tuduh-menuduh antara satu sama lain, siapa yang buat bising.  Datin pula menggelengkan kepala.  Silap hari bulan dengan dia sekali terbaring di katil hospital melihat karenah budak berdua tersebut.
      “Saya kat mana sekarang,”tiba-tiba ayat itu terpacul dari mulut pesakit yang terbaring tersebut.  Mereka bertiga memandang sesama sendiri.  Barangkali mereka bertiga agak terkejut dengan suara yang telah lama tidak didengarinya itu.  Tapi yang pasti buat pertama kali bagi Rusnanim.
      “Im.  Kau dah sedar ya.  Kau kat hospital sekarang.  Rehatlah.  Kaupun bukannya sihat sangat,”ujar Iman  perlahan.
     Rusnanim dan Datin Asiah memandang tepat Hakimi.  Hakimi masih lagi seperti tadi.  Lesu dan tidak bermaya.  Dia masih lagi keliru dengan suasana yang baru baginya mungkin.
      “Kenapa saya ada kat sini, umi?,”tanya Hakimi kepada datin tanpa memandang Iman.
      Iman perasan dengan tingkah laku Hakimi.  Agaknya dia masih lagi menyimpan perasaan sejak peristiwa dulu.  Memang salah dia menuduh Hakimi tanpa usul periksa.  Menengking kawan sejak zaman remajanya itu tak tentu fasal.
      “Im rehatlah dulu.  Tak perlu nak fikir banyak-banyak.  Yang penting sekarang Im dah sedar dari koma,”kata datin cuba menenangkan bekas pekerjanya itu.
      “Betul tu Im.  Kau rehatlah dulu,”sampuk Iman lagi.
      Dia berharap sangat Hakimi membalas perbualannya walaupun sepatah.  Dia berasa amat bersalah atas tindakannya tempoh hari.  Namun Hakimi tidak menjawab sebarang kata sebaliknya menolehkan matanya kepada Rusnanim.
      “Siapa ni, umi?,”tanya Hakimi lagi memandang gadis di sebelahnya.
      Rusnanim tersenyum manis.  Namun riak muka Hakimi tidak berubah.  Masih seperti tadi.  Iman pula sudah hanyut dengan penyesalannya.  Bukan saja tidak berbual dengan dirinya malah pandang pun tidak sekali.  Tinggi sungguh ego Hakimi.
      “Kawan aku Im.  Nama dia Rusnanim,”bukan datin yang menjawab sebaliknya Iman.  Dia tetap tidak berputus asa.
      “Umi, terima kasih kerana sudi datang.  Saya nak rehat kejap, boleh tak?,”ujar Hakimi sopan.
      Seperti kucing kurap kena halau, Iman akur dengan kenyataan Hakimi tadi.  Walaupun Hakimi berkata sedemikian, namun dirinya faham benar.  Dia tak mahu tengok muka aku lagi!
      “Umi balik dulu ya.  Makan ubat dan ikut nasihat doktor okey,”nasihat majikannya.
      Datin Asiah dan Rusnanim telah lama melangkah keluar dari  bilik tersebut.  Cuma Iman dan Hakimi saja yang berada di dalam bilik kelas pertama itu sekarang.  Iman masih lagi cuba meraih simpati.  Memang salah dia juga menuduh tanpa usul periksa.
      “Im, please maafkan aku.  Aku tak tahu kau ada penyakit.  Dan pasal Sufia, aku tak patut…,”kata Iman terhenti melihat isyarat tangan Hakimi.
      “Cukuplah.  Aku faham masalah kau.  Sekarang boleh tak tinggalkan aku sorang.  Aku nak berehat,”Hakimi menyampuk.
      “Im…janganlah buat aku macam ni,”pujuknya lagi.
      “Kau faham bahasa melayu tak?please….,”Hakimi menoleh ke luar tingkap.
      Iman akur dengan keegoan rakan sekolah dan pekerja emaknya dulu.  Tanpa berlengah lagi dia segera meninggalkan Hakimi keseorangan.  Dia sendiri tidak pasti sampai bila Hakimi akan berperangai sedemikian.  Mungkin sementara dan mungkin juga buat selama-lamanya!
          **************************************************************************************

      Sinaran rembulan mengambang terang menggantikan tugas mentari pada siangnya.  Bayu malam yang dingin menghempas lembut penghuni malam.  Kemerduan suara sang cengkerik pula telah lama pupus ditelan arus kemodenan.  Sinaran lampu neon di rumah Dr. Suffian membantu menyingkirkan kemalapan rembulan yang kian terhalang dek awan putih.
       Orang ramai semakin ramai mengunjungi rumah Dr. Suffian.  Lebih-lebih lagi rakan seperjuangan Hasrina yang menuntut di Politeknik Malaysia.  


Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 32, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]

2 ulasan:

Mohamadazhan.com berkata...

pandai atok tulis novel ni..dah siap siri elok terbitkan ya =)

Unknown berkata...

Mohamadazhan hjDesa : Atok memang dah siap citer ni. Tapi tak berani nak publish..huhu

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih