Ahad, 20 Mac 2011

Cinta Semalam Episod 22

           
              Mentari masih bercahaya muda.  Cahayanya yang kemerahan berserak banyak apabila menembusi pepohonan di halaman rumah.  Kicauan burung masih lagi kedengaran walaupun sesekali berlawan dengan bunyi kokokan ayam jantan.  Embun pagi bergemerlapan di hujung rumput di kala sang jingga itu membiaskan cahayanya.  Di halaman rumah kelihatan Iman, Nek Tomah dan Mak Su berdiri terpacak.  Ketiga-tiga anak beranak itu sedang berkata sesuatu.
      “Tinggallah sini beberapa hari lagi, Man.  Kojap sangat rasonya,”pujuk Mak Su.
      “Tak apalah Mak Su.  Lagipun dah lama Iman kat sini. Nanti habis pulak beras nenek,”Iman cuba berjenaka. Nek Tomah pantas menampar bahu cucunya. Iman tersengih-sengih.
      Mata Nek Tomah sudah lama merah.  Kalau diikutkan sudah lama dia ingin melalak di situ.  Namun bila difikirkan Iman ada hal yang lebih mustahak lagi di kota sana, dia segera melupakan kesedihan yang datang.  Walaubagaimanapun hatinya masih tetap pilu. Entah bila pula masanya Iman akan kembali ke kampung lagi.
      “Kalau betul, Maksu nak buat macam mana lagikan.  Tak apalah, kalau ada cuti panjang  jangan lupa balik sini lagi,”bicara maksu lagi.
      Perasaannya juga sedih.  Tidak sampai seminggu pun anak saudaranya itu berada di sini.  Baru semalam rasanya Iman pulang ke kampung.  Belumpun puas bersok sek kisah anak-beranak. Hendak buat macam mana lagi, Iman sudah ada kehidupannya sendiri.  Siapalah dia hendak menghalang anak buahnya itu balik ke kota semula.
      “Boto tu Man. Selalu-selalulah balik kampung.  Koba kat omak ngan ayah kau sekali.  Lamo tak jumpo diorang,”akhirnya Nek Tomah mampu untuk bersuara. Tapi tersekat-sekat.
      Air mata nenek bergenang di kelopak matanya.  Dia masih lagi dapat menahan sebak.  Apa sekalipun bila-bila masa saja air matanya akan berjuraian menyembah bumi.  Dia memegang tangan Iman erat-erat.
      “InsyaAllah nek.  Suatu hari nanti Iman, mak dan ayah akan baliklah sini.  Kami datang sama-sama.  Nenek tunggu jelah,”sayup-sayup suaranya kedengaran. Iman pun berasa sedikit sayu.
      Ayam-ayam nenek semakin banyak mengelilingi mereka bertiga.  Mungkin turut sedih dengan pemergian Iman.  Ataupun barangkali seolah mengerti dengan perpisahan yang bakal terjadi itu.  Ayam-ayam itu juga seakan jinak dengan Iman sejak kebelakangan ini.
      “Nek tunggu yo.  Jangan tipu nenek.  Nenek takut sangat kalau tak sompek tengok korang anak beranak.  Nenek tunggu ajal datang menjomput jo,”kata Nek Tomah sayu.
      Seperti diduga perempuan tua itu menitiskan air matanya.  Berlumba-lumba air mutiara itu jatuh berjuraian.  Dia mengesat dengan baju lusuh yang dipakainya sekarang.  Tangisannya teresak-esak.  Ayam-ayam tadi memandang tuan mereka dengan pelik.  Kalaulah ayam-ayam itu boleh berkata-kata mungkin dia memujuk perempuan itu supaya tak menangis lagi.
      “Apo omak ni? cakap bondo-bondo tak elok pulak.  Nanti Iman sekeluarga datanglah melawat kito satu hari nanti.  Omak toksah risaulah,”Mak Su memujuk.  Dia sebenarnya juga berasa sebak.
      Dia memeluk emaknya erat.  Nek Tomah membalas pelukan itu.  Perbuatan mereka berdua menyentuh hati sanubari Iman.  Hatinya berat untuk balik semula ke Kuala Lumpur.  Dia merapati maksu dan Nek Tomah.  Teringin saja dia berbisik dengan Nek Tomah dan Mak Su sekarang yang dia tak jadi balik.  Dia nak sangat tinggal di kampung.  Tinggal buat selama-lamanya.  Mungkin kedua-dua perempuan itu akan melonjak riang.
      “Pogilah copek Man.  Karang jalan kat KL tu sibuk pulak.  Toksah risaukan nenek ni.  Tahulah Mak Su jago,”kata Mak Su lagi.
      Niatnya sebentar tadi dilupakan.  Mungkin orang di sana lebih memerlukan dia.  Kakinya berhenti melangkah.  Muka Mak Su ditatapnya.  Kemudian muka Nek Tomah pula.  Cepat-cepat dia mencapai tangan kedut Nek Tomah.
       “Yelah.  Iman balik dulu nek,”Iman mencium tangan neneknya.  Nek Tomah pantas memeluk Iman.  Air matanya jatuh berjuraian.  Lagi banyak dari tadi.
      “Sampai sano nanti ,tipon nenek.  Kirim salam kat mak ayah.  Jangan lupo datang sini lagi, cu”
      “Iman janji.  Maksu Iman balik dulu,”giliran Mak Su pula tangannya dicium.
      “Bawak keto tu baik-baik,”nasihat Mak Su pula.
      Iman melepaskan tangan adik perempuan emaknya.  Nek Tomah pula sudah berhenti menangis.  Namun masih ada lagi sisa-sisa baki air mata yang tertinggal.  Hari semakin meninggi.  Bahang mentari semakin terasa.  Kokokan ayam jantan yang bersahutan tadi digantikan dengan kicauan merdu burung pula.
      “Baiklah.  Iman nak pergi ni.  Assalammualaikum”
      “Waalaikumsalam,”jawab Mak Su dan Nek Tomah serentak.
      Iman memecutkan keretanya di atas tambakan tanah merah membelah sawah yang terbentang.  Hatinya menjadi sayu.  Dia melihat cermin pandang sisi keretanya.  Kelihatan Nek Tomah menangis lagi sambil dipujuk Mak Su.  Mak Su dan Nek Tomah melambai sayu.
      “InsyaAllah Iman akan kembali lagi....Dengan mak dan ayah…,”Iman berbisik dalam hatinya.  Dia meneruskan pemanduannya pulang ke kota setelah hampir seminggu bercuti di kampung.  Dia akan meninggalkan memori yang telah memberikan ketenangan sebenar pada dirinya.  Kereta Perdana V6 itu melintasi rumah Lazan, Hakimi dan akhir sekali rumah peninggalan Sufia.  Dia memecutkan keretanya tanpa menoleh ke belakang lagi.


Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 21, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]

4 ulasan:

faiz berkata...

sedih plak bace..teringat arwah wan esei..

KUREKURE COMEL berkata...

knape iman nak balik kl.....kena tgu lg....heeee

Suhami Ahmad berkata...

faiz : Alolo...sedekahkan Al-fatihah ek

Suhami Ahmad berkata...

KUREKURE COMEL : Dio kono kojo....aritu balik kojap nak jumpo nenek jap

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih