“Assalammualaikum mak, Iman ni. Buat apa tu?”
“Waalaikummussalam, baru ingat nak telefon ke?,”suara Datin Asiah memerli di hujung talian sana.
“Mana ada. Lagipun line kat kampung nenek tak clear sangat. Ni pun kat pekan ni,”jawabnya memberi alasan. Bunyi bising di pekan mengganggu sedikit perbualan mereka anak-beranak. Iman merapatkan telefon bimbit betul-betul ke telinga.
“Yelah tu. Macamlah telefon kat rumah nenek kau tu tak ada. Bila balik sini?”soal datin lagi.
“Dua tiga hari lagi baliklah. Maybe lagi empat hari kot. Lama tak balik kampunglah mak,”Iman terpandangkan sepasang budak sekolah sedang membeli buku di kedai seberang jalan sana. Kenangannya masih terimbau semasa zaman remaja dulu. Dia dan Sufia selalu singgah di kedai itu untuk membeli komik atau buku sekolah. Iman mengukir senyuman sendirian.
“Ha elok sangatlah tu. Dah tak ingat lagi nak balik KL ke?,”bebel datin di hujung sana.
“Ala mak. Bagilah orang peluang duduk lama sikit kat sini. Lagipun bukan selalu datang sini. Buat apa tadi?,”Iman mematikan enjin keretanya. Sepasang budak tadi masih lagi memilih buku di depan perkarangan kedai. Seperti dulu juga ada seorang nyonya tua sedang mengawasi mereka dari jauh. Nyonya yang sama pernah mengawasinya membelek buku semasa alam persekolahannya dulu. Cuma nyonya itu nampaknya semakin tua.
“Ada-ada je alasan. Mak kat taman orkid ni. Hakimi tak datang bantu mak hari ni. Busy sikitlah,”datin mengadu domba. Ada terdengar keluhan kecil di hujung sana.
“Kenapa dia tak datang?,”tanyanya pelik. Langkahnya sedang menuju ke Medan Selera Kuala Pilah.
“Entahlah. Dah dua hari masuk hari ni. Tak sihatlah agaknya tu”
“Mak sihat?”
“Sihat”
“Ayah sihat?”
“Sihat jugak”
“Okeylah mak. Nanti orang call lagi. Jangan lupa kirim salam kat ayah”
“Kirim salam kat nenek sekali ya. Assalammualaikum"
“Waalaikummussalam,”Iman mematikan panggilan. Kakinya masih melangkah ke restoran Mak Mah. Serentak itu juga, dia terasa belakangnya ditepuk orang.
“Kalau tak silap, Iman kan?,”tanya seorang pemuda dari belakangnya. Senyumannya meleret sampai ke telinga.
“Ya saya. Tapi ni…?,”jarinya menunjuk pemuda tadi. Dahi Iman berkedut seribu mencari jawapan.
“Hei akulah. Lazan!,”pemuda tadi berkata lagi. Iman terdiam sekejap. Dia cuba mengambil masa untuk mengingati semula nama yang seperti pernah didengarnya sebelum ini.
“Lazan!”
“Akulah! Kau memang Iman kan?,”Lazan memegang bahu Iman dan mengurut-urut manja. Lazan cuma menanti pengesahan daripada kawan lamanya itu.
“Astagfirullah. Aku nyaris tak cam muka kau. Kau kerja mana sekarang?,”Iman berjabat salam dengan Lazan. Mereka bergoncang tangan.
“Aku masih kat sini Man. Kerjakan sawah orang tua aku. Budak nakal macam aku ni manalah nak dapat kerja senang. Kau kerja mana?,”Lazan memandang kereta Iman. Penampilan kawannya itu sudah banyak berubah.
“Kerja dengan ayah aku. Kontraktor. Hai sejak bila bela jambang ni?Aku ingat bangla mana tadi,”usik Iman. Lazan pula tersengih-sengih. Sudah faham benar dengan perangai loyar buruk teman remajanya dulu.
“Aku AJK surau kat kampung ni. Ala, ikut bapak mentua aku”
“Kita ke restoran sana. Boleh borak panjang,”pelawa Iman. Lazan mengangguk setuju. Mereka berdua berjalan kaki ke restoren Mak Mah di Medan Selera Kuala Pilah yang terletak di seberang jalan sana.
“Pesanlah makanan,”kata Iman.
“Tak apalah. Cuma bagi teh o panas je,”Lazan mengibas-ngibas towel good morning ke mukanya. Lelaki itu mengeluh kepanasan.
“Bagi saya Horlicks panas dan nasi patayya,”Iman memesan makanan pada pekerja restoran. Kemudian dia merenung tepat pada muka Lazan semula.
“Apa?”
“Tak ada apa-apa. Aku cuma terkejut sikit je. Kau memang dah betul-betul berubah Zan. Sekali tengok macam Tok Mudim,”kacau Iman lagi. Semasa zaman persekolahan mereka dulu Iman memang suka mengusik kawan karibnya itu. Lazan pun jenis orang yang tidak ambil kisah.
“Merepeklah kau Man. Kau pun sama jugak, macam Tuan Pengetua sekolah kita yang dulu,”katanya ketawa terbahak-bahak. Iman pun turut ketawa sakan.
“Ish, aku lagi hensem tau. Gagah perkasa lagi. Eh, kau dah kahwin ke?,”soalnya lagi.
“Sudah. Dah dekat 6 tahun,”jawab Lazan selamba. Iman menelan air liur.
“Eh ye ke? dengan Latifah?,”soalan cepumas dari Iman. Lazan menepuk dahi.
“Latifah mana pulak ni? kau ni pandai-pandai je,”katanya seolah-olah tidak mengerti.
“Girlfriend kau masa kita sekolah sama-sama dulu,”jelas Iman. Seorang pelayan lelaki meletakkan air di atas meja. Iman mengucapkan terima kasih.
“Latifah Mansur? kau ni tak habis-habis merepeklah Man. Kitorang kawanlah. Isteri aku Masshidah. Kau tak kenal dia. Dia sekolah Zaaba dulu. Jiran sekolah kita!”
“Patutlah kau jadi ustaz, isteri sekolah aliran agama rupanya. Ustazah ke?,”Iman berseloroh lagi. Nasi goreng patayya yang dipesan tadi sudah sampai.
“A’ah. Ustazah kat sekolah kita belajar dulu jugak, TMS,”Lazan mengibas-ngibas mukanya semula.
“Eh, Mak su aku ada jugak mengajar kat sana. Maybe dia kenal isteri kau,” duga Iman.
“Agaknyalah tu. Kau apa cerita? dah kahwin? dengan Sufia ke? kau kahwin tak ajak aku pun kan,”Lazan menghirup air teh o panasnya yang baru sampai tadi. Iman tidak jadi menyumbat nasi ke mulutnya. Kerongkongnya menelan air liur.
“Sedapnya mulut. Aku bujang lagi lah Zan. Aku dengan Sufia dah lama lost contack. Aku tak tahu dia kat mana sekarang. Yang kau pulak, nak juga turun ke sawah. Masa sekolah dulu, liat sangat kau nak tolong bapak kau,”Iman cepat-cepat menukar topik perbualan. Tiba-tiba Lazan tersenyum tawar.
“Bapak aku dah meninggal Man. Sekarang ni akulah yang ambil alih tanah sawah dia. Selain tu juga, aku ada kolam ikan. Aku sahut seruan kerajaan. Jadi petani moden katakan,”kata Lazan. Iman menggangguk faham.
“Baguslah tu. Aku sokong kau. Tapikan Lazan, aku masih tak caya lagi kau jadi macam ni. Dulu kau ni kaki ponteng sekolah. Lepak kedai snooker,”usiknya lagi. Sudah lama dia tidak bergurau dengan kawannya itu. Kali terakhir mereka bergurau-senda semasa hari terakhir peperiksaan SPM. Selepas itu masing-masing membawa haluan sendiri.
“Itu dulu Man. Tapi alhamdulillah aku dah berubah. Walaupun tak dapat kerja yang baik-baik sekalipun tapi aku tetap bahagia dengan kehidupan aku sekarang,”ujarnya tenang.
“Berapa anak kau sekarang,”Amar menyuapkan nasi patayya ke mulutnya semula
“Nak masuk tiga. Yang sulung dah 5 tahun,”katanya selamba. Iman hampir tersedak. Dia cepat-cepat mencapai air horlikcs di depannya.
“Li…lima tahun? Wah, dah besar anak-anak kau. Kiranya kau ni bapa muda lah ni,”bibirnya memanjang ke pipi.
“Standart lah dengan umur aku sekarang. Anak aku semuanya lelaki. Yang lagi satu ni tinggal sebulan lebih lagi nak keluar. Harap-harap dapatlah anak perempuan”
“InsyaAllah, ada rezeki kau tu. Kau buat apa kat pekan ni?,”tanyanya lagi.
“Jemput isteri aku kat sekolah. Kejap lagi waktu sekolah tamat”
“Alang-alang tu aku nak ikut sekali. Nak tengok sekolah lama kita,”kata Iman. Dia memandang Lazan. Mereka berdua tersenyum lebar.
2 ulasan:
ala....nk kena tgu ahad dpan lg....hihihi...
KUREKURE COMEL : Ala, Mina kono tunggu minggu dopan yo. Atok ingatkan nak siapkan buku dalam bentuk digital tapi tak cukup maso
Catat Ulasan