“Iman! bangun copek. Matohari dah meninggi. Meh solat subuh sesamo. Lopeh tu buleh sarapan samo-samo,”suara Nek Tomah jelas kedengaran dari dapur. Bingit sampai satu rumah boleh dengar. Iman mengesat kelopak mata dengan kedua-dua telapak tangannya. Dia menjeling jam loceng yang terletak di atas meja solek. Baru pukul 6.00 pagi. Dia segera bangun untuk menunaikan kewajiban sebagai seorang Islam.
“Apo lagi terngeliat-liat tu. Meh copek, solat sesamo. Pastu lopehkan ayam kat roban,”jerit Nek Tomah lagi ketika bayang cucunya itu pun tak keluar-keluar dari bilik dari tadi.
“Yelah yelah. Nanti Iman ambil air sembahyang dulu”katanya. Kepalanya masih mamai.
Nek Tomah memandang cucunya yang berambut mengerbang sedang menuju ke bilik air. Dia hanya menggelengkan kepala melihat karenah cucu kesayangannya itu.
“Anak bujang Asiah ni. Macam omak dio jugak maso kocik-kocik. Liat nak bangun,”bebelnya lagi bersendirian. Dia mengikat kain telekungnya erat-erat. Bersedia untuk menunaikan solat subuh,
Setelah selesai bersolat, Iman dan Nek Tomah turun ke dapur untuk bersarapan. Jam baru menunjukkan pukul 6.30 pagi. Jika di bandar, Iman akan turun sarapan lebih kurang pukul 7.30 pagi. Lewat satu jam jika dibandingkan di kampung. Biasalah, orang kampung sudah biasa bangun awal untuk mengerjakan sawah padi ataupun binatang ternakan seawal itu.
“Maksu mana nek? tak nampak pun dari tadi,”ujarnya sambil menyenduk mi goreng ke dalam piring Nek Tomah. Kemudian menyenduk ke piringnya pula.
“Dio pegi surau hujung kampung tu ha. Nenek pun, selalu gak solat kat surau tu sebelum ni. Tapi kalau nek pegi karang, ekau tu terlajak subuh pulak. Nek dah paham bonar perangai kau Man,”Nek Tomah menuangkan air teh ke dalam gelas Iman.
Iman tersengih-sengih. Mulutnya terkumat-kamit merungut. Masih teringat lagi orang tua itu dengan perangai buruknya. Dia selalu ponteng solat semasa tinggal di sini dulu.
“Assalammualaikum,”suara orang memberi salam dari luar. Iman memandang neneknya.
“Waalaikummussalam, Maksu…Marilah sarapan sama-sama,”pelawanya. Perempuan yang masih lengkap bertelekung itu hanya mengangguk. Mak Su sempat menoleh ke arah emak dan anak buahnya yang sedang enak bersarapan.
“Mari Su. Samo-samo kito sarapan. Wan Joyah kau ado tak kat surau tadi?,”air teh di depannya diteguk perlahan-lahan.
“Ado. Dio koba tadi kenapo omak tak datang. Su cakap cucu kesayangan dio datang. Dio kirim salam,”balas Mak su. Jam di dinding menarik perhatian matanya. Jam sudah menginjak ke angka 6.45 pagi.
“Waalaikumsalam,”balas Nek Tomah. Mulutnya terkumam-kumam mengunyah mi goreng. Nasib baik Su tempahkan untuknya gigi palsu. Kalau tidak, susah bagi orang tua itu untuk makan.
“Wan Joyah?, mak Lazan ke nek?,”Iman mencelah. Nek Tomah menjeling cucunya.
“Ish dio ni. Nyampuk pulak cakap orang tuo-tuo. A’ah, yolah tu. Mak kawan baik kau kat sini dulu,”kata nenek lagi. Iman mengangguk perlahan.
“Nek, Iman keluar kejap. Nak lepaskan ayam-ayam kat reban tu,”katanya meminta izin. Piring dan gelasnya diletakkan ke dalam sinki. Nak dibasuh nanti neneknya bising. Dibiarkan saja begitu.
“Iyolah, jagung ado kat sobolah roban ayam. Bebaik bukak pintu roban tu. Karang kat muko kau bersalut taik ayam pulak,”seloroh nenek. Maksu yang baru keluar dari biliknya tersengih mendengar celoteh emaknya.
“Kurrrrr,”mulut Iman muncung-muncung. Ayam-ayam yang baru dilepaskan tadi berkejaran ke arahnya.
Banyak jugak ayam nek ni. Ini semua mesti cucu cicit ayam yang aku bela dulu. Entah-entah dah berpiut kot. Kalau dulu sebelum ke sekolah, akulah yang buat kerja semua ni. Sekali kalau aku terlupa nak lepaskan ayam, nenek mesti membebel sampai ke malam. Hai, cukuplah. Aku dah taubat. Tak mahu lupa-lupa lagi.
“Ish, tak ke bendang ke orang tua ni? Matahari dah naik ni,”Iman bermonolog lagi. Ayam-ayam yang mengelilinginya semakin ganas mematuk tangan. Dia menarik tangan cepat-cepat. Tidak tahan dengan patukan ayam tadi.
“Tak payah dimanjokan sangat ayam tu Man. Campakkan ajo jagung tu ke tanah,”Maksu bercakap dari jauh. Mak Su sekarang sudah lengkap berpakaian baju kurung dan beg disisinya.
“Nenek tak ke bendang ke maksu?,”matanya mengecil menahan cahaya anak mentari dari masuk ke dalam retinanya.
“Orang tuo tu nak ke bendang? buatnya pengsan kat tongah sawah tu cam mano? Nenek kau dah bersaralah Man. Maksu upahkan kat Abang Padil kau yo,”Maksu melangkah turun dari anak tangga. Jam sekarang sudah dekat pukul 7.00 pagi. Takut tak sempat sampai ke sekolah nanti.
1 ulasan:
lama menunggu baru ada....hehehe
Catat Ulasan