Ahad, 13 Februari 2011

Cinta Semalam Episod 17

suasana senja di kampung itu sungguh indah sekali
   
   “Assalammualaikum nek...Iman ni!,”jerit anak muda itu di halaman rumah tua.  Lehernya panjang mengintai isi rumah yang pintunya sedikit terkuak.  Bunyi derapan kaki dari dalam rumah semakin hampir.
      Rumah nenek masih seperti dulu lagi.  Tak ubah sedikit pun.  Cuma beberapa bahagian telah ditambah di bahagian dapur.  Reban ayam Nek Tomah pun semakin besar.  Mungkin jumlah ayam nenek semakin banyak.  Seketika kemudian keluar seorang tua membetulkan rambutnya yang mengerbang di beranda rumah.
       “Waalaikumsalam.  Sapolah datang sonjo-sonjo ni? Tak nampak kat den do...Sapo tu Su?,”tanya orang tua itu terpisat-pisat pada anak dara tuanya.  Barangkali matanya tidak terang lagi pada usia sebegitu. Anak daranya menyusul dari belakang.
      “Sapo pulak ni? Lailah haillallah….Iman balik ni mak!,”jerit Maksu. 
      “Astagfirullah.  Ekau ko tu,Man?. Tak perasan kat nenek. Meh la masuk dalam.  Tak baik dok luar sonjo-sonjo ni,”pelawa Nek Tomah riang.  Orang tua itu beriya-iya menghampiri cucunya yang sudah terpacak di anak tangga bongsu.
      “Apa khabar nek,”Iman mencium tangan neneknya.  Nek Tomah mengusap kepala cucu sulungnya itu.
      “Baik.  Masuklah,”ujar Nek Tomah lagi.
      Nampak suka sekali orang tua itu apabila dapat tahu cucunya datang melawat.  Kalau tidak silap sudah lama cucunya itu tidak pulang ke kampung.  Barangkali hampir dua tahun. Ya dua tahun itu jugalah dia tidak berjumpa anak perempuan sulungnya, Asiah.
      “Cuti berapa hari?,”tanya Maksu melemparkan senyuman.
      Anak dara tua itu memang setia menjaga emaknya.  Dialah yang mencari nafkah untuk menyara emak tuanya.  Dialah yang memberi kasih sayang semenjak ketiadaan ayahnya bertahun-tahun dulu.  Dialah yang menggantikan tugas kakak dan abangnya yang sudah berhijrah ke bandar.
      “Seminggu Maksu.  Lepas tu baliklah KL,”katanya lagi.  Dia menghulurkan buah tangan yang diberikan oleh emaknya petang tadi.  Mak Su segera mencapai mana yang termampu diangkatnya.
      “Masuklah rumah dulu.  Tak sompek-sompek nak berborak.  Punggah beg tu masuk copek.  Setan merayau waktu-waktu cam ni,”nenek membebel di tepi pintu.  Mak Su tersengih memandang Iman.
      “Bawak masuk beg tu dulu Man.  Pergi mandi.  Lepas tu kita boleh solat sama-sama,”arah Maksu pula.  Iman mengangguk perlahan.
      Bunyi cengkerik menyanyi merdu di tepi bendang.  Kekadang kedengaran mergastua itu  seperti sedang berorkestra sesama mereka. Limpahan lampu jalan di tepi rumah Nek Tomah mampu menerangi sebahagian besar kawasan rumah papan tersebut.  Suasana di kampung itu begitu tenteram.  Angin bendang yang sejuk menyusuk hingga ke tulang.  Tiada lagi suara kanak-kanak yang riang bermain pada waktu begitu.  Tiada lagi tangisan anak kecil.  Tidak seperti dulu.  Mereka semua sudah besar semuanya. Masing-masing kebanyakannya sudah mempunyai keluarga sendiri.
      “Mak kirim salam,”beritahu Iman memecah kesunyian malam.
      “Waalaikumsalam.  Dia tak ikut sekali ko?,”tanya Nek Tomah.  Kusyen buruk di depan rumah Nek Tomah menjadi persinggahan duduk mereka.
      “Lain kali katanya.  Dia memang banyak kerja kat KL tu,”balas Iman.  Lampu neon yang terang tergantung di beranda rumah mampu menelanjangi garis-garis kedut yang terdapat pada kulit Nek Tomah.  Iman mencuri pandang.  Sungguh cepat masa berlalu. Nek Tomah semakin dimamah usia.
      Mereka masih lagi menikmati suasana malam di kampung yang sungguh tenteram.  Tidak ada bunyi enjin kenderaan lalu-lalang sekalipun.  Tidak ada suara anak remaja yang terkinja-kinja seperti beruk kena belacan.  Dan tiada lagi suara amukan ayah dan emaknya di kota yang selalu memberikan tekanan.
      “Tempat ni tak banyak berubahkan nek?,”katanya manja.  Zaman remajanya dibesarkan di kampung.  Di rumah nek Tomah.  Disitulah dia menghabiskan zaman remajanya. Dan orang tua itulah yang memanja, mendidik dan mengherdiknya supaya menjadi insan yang berguna seperti sekarang.
      “Camtu ajo.  Tapi adolah jugak pembangunan sikit.  Salah kaulah, dah lamo tak balik kampung.  Ingatkan dah lupo kat nenek”katanya seperti merajuk.  Iman tersenyum lucu melihat telatah nenek kesayangannya.
      “Ish takkanlah nek.  Mana boleh Iman lupakan nek dan maksu.  Tak adalah,”katanya cuba memujuk Nek Tomah.  Mak Su baru muncul dari dalam rumah.
      “Nenek kau memang gini Man.  Sojak duo monjak ni, sensitip sangat,”Maksunya menyampuk.
      Perempuan pertengahan 30an itu menghidangkan minuman panas dan pisang goreng sekembalinya dari dapur.  Kemudian duduk di atas kusyen di beranda bersama-sama mak dan anak buah sulungnya.
      “Sensitif? hai sejak bila pulak nek jadi cam ni?”dahinya terentang garis-garis halus.
      “Ekau dongarlah cakap maksu kau tu.  Pembohong bosar,"Nek Tomah menjeling.
      “Nenek kau memang macam ni Man.  Takkanlah kau tak kenal lagi dengan perangai dia.  Sikit-sikit merajuk,”  Mak Su mengusik.  Nek Tomah sempat mencubit peha gebu anak bongsunya. Mak Su mengensot ke belakang.
      “Aduih!!”
    “Nek bukannya apo, korang ni dah lamo tak balik kampung.  Hari rayo pun susah nak nampak batang hidung.  Busy sangat ko?,"Nenek Tomah kelihatan sugul. Dia sempat mencicip air panas yang terhidang dihadapannya.
      “Wah..nek dah pandai speaking dah.  Sapa ajar?,”gurau Iman.  Nenek menjeling geram.  Sudah lama juga dia tidak menghambat budak tu. Sesekali kalau aku hambat si Iman nih dengan batang paip, bagus jugak! Tempelak Nek Tomah dalam hati.
      Iman mencapai pisang goreng panas yang di buat oleh maksu sebentar tadi.  Sedap juga makan benda-benda yang panas di kala waktu sejuk mencengkam tulang itu.  Rahangnya bergerak perlahan mengunyah makanan.
      “Itulah dio.  Den koba lain,  kau jawab lain.  Haritu, nek ado pi kelas bahaso Inggeris kat balai rayo.  Sajo suko-suko,”Nek Tomah tertawa pula. Iman dan Maksu serentak memandang sesama mereka.
      Gusi tuanya jelas kelihatan.  Kulit pipinya menegang apabila perempuan itu tertawa dengan lawaknya sendiri.  Sudahnya maksu dan Iman pun tertawa sama.
      “Nek masuk persatuan ke?,”usik Iman.  Sisa tawanya masih ada.
      “Ish, ekau ni.  Persatuan apo pulak.  Dah tuo-tuo cam ni tak dayo nek.  Persatuan orang tuo pulak takdo.  Kalau ado buleh nek join.  Siap offer jadi Pengerusi lagi,”guraunya terkekeh-kekeh.
      Kali ini,Iman pula tergelak besar.  Maksu dan Nek Tomah senyap.  Mereka memandang sesama sendiri pula.  Kemudian Iman berhenti tertawa.  Sudahnya maksu dan Nek Tomah tergelakkan telatah Iman.  Dia pun tergelak sekali kemudiannya.
      “Jangan kau layan sangat nenek ni Man.  Nanti melarat pulak orang tua ni.  Malam karang bisinglah sakit sana sakit sini,”seloroh maksu.  Mereka bertiga ketawa lagi.  Nek Tomah menutup mulut takut gelaknya terkekeh-kekeh lagi. Buruk sangat agaknya kalau dia tergelak tak ingat dunia malam-malam begitu.
      Iman rasa bahagia sekali.  Sudah lama dia tak tergelak besar macam sekarang. Kalaulah arwah atuknya masih hidup, tentu lagi gamat suasana malam itu.  Nenek kalau jumpa datuk, makin menjadi-jadi kelakarnya.  Dia amat rindukan suasana itu.  
      Nek Tomah dengan maksu sudah lama berhenti tertawa. Sekarang mereka memandang sawah padi yang masih lagi menghijau dengan bantuan limpahan lampu jalan.  Masing-masing memeluk tubuh menahan kesejukan angin malam.
      “Mohlah kito masuk.  Sojuk kat luar ni macam ngalahkan kutub utaro pulak,”Nek Tomah melangkah masuk.  Maksu pula sibuk mengemas gelas dan piring yang berisi pisang goreng tadi.  Iman membantu Mak Su.  Kemudian mereka pun mengikut jejak Nek Tomah yang sudah masuk ke dalam.  Meninggalkan suasana malam di kampung yang sungguh misteri. Tinggallah bunyian mergastua yang masih lagi rancak berpesta.


Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 16, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]

4 ulasan:

zety berkata...

tu la dh lama sgt tak blk kmpng..kan dah touching dah org tua tu..

KUREKURE COMEL berkata...

bestnye duk dikelilingi suasana kg...rindu lak nk blik kg...huhuhu

Suhami Ahmad berkata...

zety : Hihi....kesian Nek Tomah

Suhami Ahmad berkata...

KUREKURE COMEL : Moh la balik...kampung tu indah =)

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih