Khamis, 19 Ogos 2010

Cinta Semalam Episod 4

Hak Cipta Terpelihara 2007

“Iki, lepas ni mak angkat kau masuk!,” gurau Sufia.


Suara gelaknya yang dibuat-buat garau menguasai pelusuk kelas. Budak-budak lain tidak mempedulikan sangat karenah kedua sahabat karib tersebut. Bagi mereka masa yang terluang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Lebih-lebih lagi mereka bakal menghadapi peperiksaan PMR hujung tahun ini.

“Mak angkat aku mak tiri kau jugak,”balas Hakimi semula. Bayang Cikgu Zaiton yang terkenal dengan gaya guru ala-ala awal 80an menjadi topik perbualan hangat mereka berdua.  Dah macam gaya cikgu perempuan dalam cerita Adik Manja pun ada.

“Weh, mak jangan main-main okey. Aku sepak mulut tu karang,”Sufia seakan merajuk.

“Kau yang mulakan dulu,” Hakimi mempertahankan diri.

“Shhh!!!!! Mak angkat kau dah masuk!,”Sufia kelam kabut mencari buku teks sejarahnya. Walaupun Cikgu Zaiton secara fizikalnya nampak skema, tapi pada hakikatnya cikgu itu garang. Memang terlalu garang.  Sekali dia mengamuk, satu sekolah boleh dengar suaranya.  Jangan pandai-pandai cari fasal.

“Bangun! Selamat pagi cikgu,”jerit ketua kelas. Anak-anak buahnya mengikut kata ketua mereka.  Sufia dan Hakimi juga bangun dan memberi salam.

“Selamat pagi. Duduk pelajar sekalian,”muka Cikgu Zaiton serius. Matanya di sebalik spek mata yang tebal hampir terjojol memandang muridnya satu persatu.  Bagus, hari ini semua ada. Tak ada yang ponteng.

“Weh, anak buah Cikgu Suria tu!!,”Hakimi berbisik perlahan pada Sufia di sebelahnya.

Sufia buat-buat tak nampak. Padahal Iman tersenyum simpul memandangnya. Hanya Hakimi saja membalas senyuman Iman. Ada dua tiga orang pelajar perempuan menyiku sesama sendiri. Barangkali terpegun dengan kekacakan Iman yang jauh berbeza daripada kawan-kawan sekelasnya.  Budak bandar masuk kampung. Semestinya menjadi perhatian.

“Baiklah kelas, hari ini kamu
akan dapat seorang kawan baru. Lepas ni, sila beri tunjuk ajar pada kawan baru kamu ni. Iman, kamu nak cakap apa-apa?,”Cikgu Zaiton tersenyum. Jarang sekali pelajarnya melihat cikgu sejarahnya itu tersenyum begitu. Lebar sampai ke telinga pula tu! Ngeri pun ada bila ditenung lama-lama.

“Erm, assalammualaikum dan selamat pagi semua. Nama saya Muhammad Iman Naim bin Ahmad. Sebelum ni menetap dan bersekolah di KL. Sekarang tinggal dengan nenek. Saya harap kawan-kawan dapat menolong saya menyesuaikan diri di tempat baru ini,”ucap Iman dengan tenang.  Pandangannya hanya tertumpu pada satu arah saja. Hakimi dan Sufia, kerana merekalah orang pertama yang Iman kenal.

“Kena buang sekolah lamalah tu,”perli seorang budak lelaki. Semua terdiam.  Iman pun terdiam.  Masing-masing tidak tahu dari mana datangnya suara tersebut. Air muka Iman berubah.

“Siapa yang berani cakap tadi tu?,” Cikgu Zaiton mendongakkan kepalanya. Masing-masing tunduk memandang meja.  Senyumannya yang mekar bak bunga Rafflesia tadi tiba-tiba berubah masam.

“Iman, awak boleh duduk sebelah Lazan,”arah Cikgu Zaiton lagi. Iman hanya mengikut. Sebelum duduk, remaja itu sempat memandang Sufia. Sufia melemparkan pandangannya pada tempat lain.  Hanya Hakimi saja membalas pandangannya.

“Pehal duduk belakang aku pulak ni?,”bisik Sufia dalam hati. Lazan menghulurkan salam perkenalannya kepada Iman. Iman menyambutnya dengan senyuman.

“Baiklah kelas, kita teruskan pelajaran kita hari ini. Sila buka buku teks mukasurat 22,"sambung Cikgu Zaiton.

“Kau ni pulak kenapa?,”Sufia bertanya pada Hakimi. Muka Hakimi tiba-tiba pucat.

“Aku tak bawa buku!”

“Habislah kau!”






Hai kenapalah sejak dua menjak ni aku mengelamun je. Iman menyambung kerjanya semula. Dia meneliti fail-fail yang diberikan ayahnya di pejabat tadi. Tidak ada perkara yang menarik minat. Fail-fail tadi ditolak ke tepi. Tangannya mengalih pula ke komputer riba. Menyemak akaun e-mail. Angin malam dari luar menyusup dingin ke dalam bilik.

Datin Asiah menggeleng kepala. Dia telah lama berdiri di pintu bilik anak bujangnya. Minuman malam diletakkan di atas meja sudut bilik. Lantas merapati anak bujang terlajaknya itu disebelah.  Datin hanya melihat telatah Iman yang sibuk membalas e-mail dari tepi.

“Apa yang kau buat ni Man..? kau ni, tak ada keje lain ke?,”Datin Asiah menghenyakkan buntutnya di atas katil Iman. Bau harum lavender dari bilik anaknya itu menusuk ke dalam hidung.  Kemudian memberi isyarat kepada otak menghasilkan mood ketenangan.

Iman terkulat-kulat. Baginya memang tak ada benda yang dibuat masa kini. Nak disemak fail-fail ayah? bukan saja kucing bertanduk, dengan babun-babun bertanduk sekalipun dia tak ada mood nak menyemaknya.

“Macam mana ofis,okey?,” datin memandang anaknya semula.

“Macam biasalah mak…banyak keje yang tertangguh. Tu pun ada lagi satu projek yang Iman kena uruskan. Pasal projek pembinaan pasaraya kat Shah Alam,”Iman memuncungkan mulutnya ke fail-fail di tepi komputer riba. Iman masih sibuk membaca dan membalas e-mailnya.  Datin Asiah sempat menjeling sekejap.

“Mmm…ntahlah Man, mak bukannya reti sangat bab-bab macam ni,”katanya lagi. Dia lebih aktif kepada bidang pertanian. Dia sendiri sibuk menguruskan perusahaan tanaman orkidnya sejak berpuluh-puluh tahun dulu. Bagi dirinya, dia lebih suka melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti pertanian berbanding butik yang selalu dikaitkan dengan gelaran datin. Dia sendiri pun berasal dari kampung. Kesukaannya bertani itu telah menjadi darah dagingnya sejak dari kecil lagi.

“Iman sayangkan mak tak?,”duga Datin Asiah tiba-tiba.

Iman berhenti merenung skrin komputer. Kini matanya tertumpu pada datin. Angin tak ada ribut tak ada petir guruh-gemuruh tak ada, entah kenapalah tiba-tiba maknya cakap begitu.

“Mestilah mak. Tak ada sorang ibupun di dunia ni sebaik mak Iman. Penyayang, low profile, dan yang paling best mak ni sporting. Itu sebab Iman sayang sangat kat mak,”Iman melambung tinggi emaknya.

Datin Asiah tersenyum. Rasa-rasanya kerusi yang didudukinya sekarang tak dapat menampung punggungnya yang kembang mendadak. Datin mencuit lengan Iman.  Dia merapatkan bibirnya pada telinga Iman.

“Kalau gitu, carikan mak menantu. Mak nak sangat timang budak kecik. Tak kesiankan mak ke?,”perempuan pertengahan umur itu cuba memimik muka seposen.

Iman menarik nafas dalam-dalam. Angin segar dari luar yang melalui tingkapnya disulami haruman pewangi berlumba-lumba masuk ke dalam saluran pernafasannya.  Kemudian dihembus kuat.

“Okey…okey. Dah jangan buat muka macam tu lagi,”pujuk Iman.

“Betul tak mak cakap?,” datin tersengih.

“Mmm…betul jugak ye mak. Dah lama takde baby kecik dalam rumah ni,”kata Iman.

Datin tersenyum. Hatinya riang. Terbuka juga hati anaknya itu hendak berbini. Lepas ni, bolehlah dia menimang cucu.

“Kalau camtu, mak beranaklah sorang. Kesian Iman.Sorang je kat rumah ni. Kalau ada adik baru, best jugak mak kan?,”katanya menahan gelak.

Datin tersentak ke belakang. Teringin saja dia hempuk anaknya itu dengan komputer yang ada di depannya. Kalau tak kerana dia dah expired, sudah lama dia beranak lagi seorang. Tak payahlah dia nak menatang Iman seperti minyak yang penuh.

“Kau ni mengada-ngadalah Man. Malas mak layan,”muncung datin panjang.

“Okeylah…Iman gurau je. Baiklah, orang akan kahwin jugak satu hari nanti. Tapi dengan syarat,”ujarnya lagi.

“Apa dia…?,”mata datin terkebil-kebil.

“Tunggu Iman ada rumah, kereta idaman, kerjaya kukuh, ekonomi teguh, dan…”

“Ish…nak nangis mak dibuatnya kau Man. Kalau ikut peel kau ni, alamat sampai ketualah jawabnya. Samalah kau dengan si Im tu. Dah nak masuk kategori antertua”

“Apa benda pulak tu mak. Nama benua sebelah antartika jugak ke?,”usiknya lagi.

“Anak teruna tua. Bujang terlajak. Tak sedar-sedar lagi. Esok-esok kalau dah kerepot, dah berkedut, tak sapa lagi nak. Kalau berduit takpa,”jari-jemari datin seperti membilang duit.  Iman tersengih-sengih saja.

“Im mana satu ni mak? Dari hari tu orang asyik dengar nama tu je,”Iman cuba memujuk.

Datin Asiah mencuri jeling. Kemudian bibirnya menguntum senyuman. Hati Iman berbunga semula.

“Itulah dia. Asyik-asyik mak ni yang sibukkan hal dia. Tapi hidup mak, sikit pun tak ambil tahu,”datin memandang anaknya yang sedang menghirup minuman malam.

“Ok, orang salah. Tapi orang tak suruh mak sibuk-sibuk pasal Iman kan?,”Iman hampir tersedak kerana air yang diminumnya tadi terlalu panas.

Perempuan itu berputus asa. Nafasnya di hembus dalam-dalam. Dia berlalu dari situ. Lagaknya tak ubah seperti kanak-kanak yang kempunankan aiskrim. Iman menggeleng kepala. Dia tak peduli. Rajuk maknya hanya sekejap. Esok lusa eloklah.




Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 3, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]

Untuk baca SINOPSIS klik sini

4 ulasan:

SnowladieS berkata...

tengah cari episod 3 ni =.=" tak jupe

Unknown berkata...

Tak jumpa? cuba snowladieS klik kat label "Novel cinta semalam"
Dia akan view semua chapter

SnowladieS berkata...

ok da jumpe hee :p

Unknown berkata...

SnowladieS : ok, selamat mambaco yo SnowladieS...:-)

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih