Khamis, 19 Ogos 2010

Terima Kasih Banyak Apot

9 Januari 2002

Aku ingat lagi, masa tu aku masih belajar dalam tingkatan 5. Masa tengah balik dari sekolah, seekor anak kucing mengekori aku dari belakang. Kucing tu unik dan lain daripada yang lain sebab ada 3 warna. Hitam, oren dan putih. Orang-orang tua kata, kalau kucing ada 3 warna, kucing tu bawak tuah. Aku teringin nak bawak balik dan tunjukkan kat mak ayah. Tapi bila difikirkan semula, itu tak mungkin kerana mak aku cukup tak suka dengan kucing. Kucing kami yang dulu pun kena buang kat pasar sebab terberak dalam rumah. Sudah lama rumah kami tidak ada binatang peliharaan. Ah! tak ada gunanya kalau aku bawak balik kucing ni. Mesti mak dan ayah halau keluar. Aku terus langkah laju-laju tinggalkan kucing tu. Lagi aku laju, dia pun laju. Aku lari-lari anak, dia pun lari-lari. Last2 aku pecut. Kucing tu jauh tertinggal kat belakang.



10 Januari 2002

Aku tengah bersiap-siap untuk ke kelas tambahan Cikgu Anis. Entah macam mana hari tu hujan selebat-lebatnya. So, kesimpulannya aku duduk di rumah saja. Mesti ramai yang tak datang ke kelas Cikgu Anis jugak, menurut fikiranku. Masa tengah rehat-rehat di beranda rumah sambil membuat nota biologi, tiba-tiba aku terdengar suara anak kucing sayup-sayup dari jauh. Puas aku cari keliling rumah. Last2, aku nampak anak kucing yang ikut aku semalam ada bawah pokok pisang. Basah kuyup. Anak kucing tu kesejukan. Aku kesian tengok anak kucing tu. Aku pandang kiri kanan. Mak ayah tak ada kat rumah. Aku terus


ambik anak kucing itu dan bawak masuk ke dalam bilik. Aku
 keringkan badannya. Anak kucing itu menggigil kesejukan. Kesian kau. Manalah ibu kau ya. Kecik-kecik orang dah pisahkan kau dengan ibu kau. Anak kucing tu menggesel-gesel pada kaki aku seakan faham butir kata-kataku. Mulai saat itu, aku sorok anak kucing tu dalam bilik. Aku namakan kucing tu Apot. Apot anak kucing betina.




11 Jan 2002

Aku baru pulang dari sekolah. Mak aku sudah tunggu di depan pintu. Matanya terjegil. Kucing siapa ni? Aku terdiam. Mesti mak dah tahu aku sorokkan kucing tu dalam bilik. Mak suruh aku buang tahi kucing tu kat bawah sinki. Apot buat hal. Aku berasa geram. Aku bela kau baik-baik, taik kau kasi aku. Aku terus dapatkan Apot kat dalam bilik. Belum sempat aku nak halau dia keluar, aku nampak Apot tengah tido atas katil aku. Muka dia saat tu tak dapat aku gambarkan. Comel. Kesian pun ada. Nafasnya laju je. Mulutnya macam mengicap. Mesti Apot haus dan lapar sebab tak dapat susu ibu dia. Niat nak marah langsung tak jadi. Aku pergi ke dapur jumpa mak. Aku cakap ngan mak, aku nak bela Apot. Aku janji pada mak, Apot tak kan berak dalam rumah lagi. Apot tak kan cakar-cakar perabot dalam rumah. Apot hanya duduk dalam bilik aku saja. Akhirnya mak izinkan.



September 2002

Apot dah besar. Kehadiran Apot dalam keluarga aku seakan pelengkap kami sekeluarga. Kalau sebelum ini, aku kurang bertanggungjawab, tapi kini aku rasa sifat itu semakin menebal dalam diri aku. Aku bertanggungjawab bagi Apot makan. Aku bertanggugjawab pada Apot supaya tak buat hal dalam rumah. Mak pun semakin sukakan Apot. Apot selalu mengesel-gesel badannya pada kaki mak. Kadang-kadang Apot berlari-lari membuat aksi manjanya di depan kami. Telatahnya benar-benar menghiburkan.



Disember 2002

Apot semakin besar. Akibat rapat dengan kucing jantan depan rumah, Apot kini bunting. Apot makin tambun. Walaupun bunting, Apot masih manja macam dulu-dulu jugak. Kalau aku pulang dari keluar rumah, Apot mesti mengiow-ngiow depan pintu seolah-olah menyambut kepulangan aku seperti biasa. Walaupun bunting, Apot masih aktif lagi berari-lari. Tak lama lagi Apot bakal lahirkan anak. Hari demi hari akhirnya Apot pun beranak. Anak dia ada dua ekor. Sepasang. Yang jantan warna oren dan yang betina warna macam Apot. Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Jantan nama dia Apik, yang betina nama dia Fiona. Sejak hari itu, mak dan ayah aku makin suka dengan kehadiran Apot dan dua ekor anaknya. Adik-beradik aku pun suka. Makin meriahlah rumah kami. Kucing-kucing tu tak pernah buat hal dalam rumah. Yang mak aku paling suka, kalau kita balik je ke rumah kucing anak beranak ni mesti tunggu depan rumah seakan menyambut kepulangan. Lepas tu menggesel-gesel badannya pada kaki kami.



5 Febuari 2003

Apik dan Fiona semakin besar. Mereka selalu bermain di halaman rumah. Kadang-kadang Apot pun turut serta bermain dengan anak-anaknya. Kalau tak pun, Apik dan Fiona akan panjat belakang aku. Diorang suka main-main dengan rambut aku. Sudah menjadi kebiasaan, kalau emak ku pulang dari pasar, Apik, Fiona dan Apot akan berkejaran menghampiri emak. Nak nak lagi kalau mak beli ikan. Sukalah diorang. Lepas siang ikan, yang lebih-lebih tu mak kasi kat diorang. Apik, Fiona makan dengan lahap sekali. Apot hanya jamah sikit je. Yang lain dia kasi anak-anaknya makan dulu. Itulah kasih Apot walaupun hanya seekor binatang tapi tetap penyayang.


12 Febuari 2003

Seperti biasa emak baru pulang dari pasar. Fiona dan Apik terus berlari mendapatkan emakku. Sebelum itu, diorang syok bermain di halaman seberang rumah sana. Rumah papa diorang agaknya. Main nyorok-nyorok, pastu kejar-kejar. Bayang Apot tak nampak. Apot tengah tidur dibilikku. Dia memang suka tidur. Kami sekeluarga bahagia dengan kehadiran Apot dan anak-anak. Semenjak kehadiran Apot, hubungan kami sekeluarga lebih rapat. Apot dan anak-anak selalu menghiburkan kami sekeluarga.



19 Febuari 2003

Pada tanggal tarikh ini, aku sedang duduk di depan rumah membaca akhbar. Macam biasa Fiona dan Apik bermain di halaman jiran sana. Pagi itu emak baru pulang dari pasar. Fiona dan Apik terus berlari ke arah emak macam biasa. Entah di mana silapnya, tiba-tiba sebuah motor meluru laju ke arah Apik dan Fiona di tengah jalan. Fiona sempat mengelak tetapi Apik......Apik dilanggar! Apik terpelanting. Aku terus berlari ke arah Apik. Mak pun berlari anak ke sana. Dada Apik berombak. Nafasnya laju. Fiona datang sambil menjilat muka abangnya. Ya Allah! mulut Apik keluar darah! Aku lihat muka emak ku. Mak pun cemas. Belum sempat kami bagi rawatan, tiba-tiba kaki Apik menggigil menahan sakit. Dalam masa yang sama juga Apot keluar dari rumah. Dia mencari anak-anaknya. Apot terpaku melihat Apik. Apot terus berlari dan menjilat muka Apik. Apot cemas. Apot tak reti duduk diam. Kejap ke hulu kejap ke hilir kejap jilat Apik. Apik semakin lemah. Nafasnya semakin perlahan. Akhirnya, Apik dah takde! Apik dah mati! Apot menjilat Apik lagi, tapi Apik sudah tak benyawa. Apot mengiow tak henti-henti seolah-olah tidak dapat menerima kehilangan anaknya. Fiona sesekali menyentuh kaki abangnya ajak bermain tapi Apik sudah tidak bergerak. Petangnya kami kebumikan Apik di belakang rumah. Apot dan Fiona pun ada sekali. Apot tak henti-henti mengiow.



20 Febuari 2003

Ibu dan Fiona nampak sugul. Kesian Fiona, teman sepermainannya dah mati. Fiona dah takda kawan lagi. Hari demi hari Fiona semakin tak aktif. Dia tak nak bermain-main lagi. Hanya duduk dalam rumah saja. Dia pun jarang nak makan. Lima hari selepas pemergian Apik, kini Fiona pula yang menyusul kerana sakit. Aku tempatkan persinggahan abadi Fiona bersebelahan dengan kubur Apik yang masih lagi baru.  Kini, hanya tinggal Apot saja. Apot pun jarang pulang ke rumah. Selalunya Apot suka tidur dalam bilik aku. Pada satu hari tu, aku panggil Apot makan. Puas aku cari. Dapur takda. Ruang tamu takda. Keliling rumah pun takda. Masuk hari ini sudah 3 hari Apot tak pulang ke rumah. Akhirnya aku dapat menerima hakikat bahawa Apot tak kan kembali ke rumah kami lagi. Mungkin di rumah itulah yang menyimpan kenangan manis bersama-sama kami sekeluarga dan anak-anaknya. Dia sendiri tidak mahu mengingati kenangan itu lalu pergi meninggalkan kami entah ke mana. Terima kasih Apot. Terima kasih Apik. Terima Kasih Fiona kerana singgah dalam kehidupan keluarga kami. Walaupun hanya sementara....................................................

:-'(



2 ulasan:

nurathirahkaman berkata...

sweetnya kucing kaamu...
tapi sayang saya geli dengan kucing...

Unknown berkata...

@nurathirahkaman
hehehe...mekasih. Cuba try test usik sekali, mesti x geli kucing dh

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih