Ahad, 1 Mei 2011

Cinta Semalam Episod 28



Sejak kemunculan Rusnanim, syarikat bertambah maju. Hubungan Iman dan Rusnanim pun bukan sekadar rakan sekerja lagi. Mungkin ada bibit-bibit perhubungan yang lebih serius antara mereka berdua. Namun masih di peringkat akal umbi.
            “Terima kasih,”ucap Rusnanim.
      “Untuk apa?,”tanya Iman pelik.
      Mereka berdua duduk bertentangan.  Menghadap antara satu sama lain.  Nyalaan lampu yang malap menghidupkan lagi  suasana romantik.  Alunan muzik sentimental berjaya menghidupkan suasana.  Susunan perabot restoren gaya Oriental mampu menyerlahkan impak yang mewah.  Rusnanim memandang ke dalam mata Iman.  Iman membalas pandangan Rusnanim.  Mereka berdua saling berpandangan.  Sudahnya Rusnanim terpaksa mengalah lantas mengalihkan pandangan ke tempat lain.
      “Terima kasih untuk dinner malam ni.  Terima kasih juga temankan Anim jalan-jalan tadi.  Anim seronok sangat.  Terima kasih tau,”bicaranya  tanpa memandang Iman lagi.  Pandangannya berat untuk bertentangan dengan jejaka yang tampan itu.
      Wanita itu nampak bergaya dengan baju T-shirt saiz badan dipadankan dengan seluar jin ketat.  Nampak ringkas tapi cocok sekali.  Rambutnya yang lurus dilepaskan bebas manakala spek mata hitam disisipkan atas kepala.  Iman pula menggayakan baju kemeja putih jarang dengan seluar jin lusuh.  Nampak kosong tapi bergaya.  Walaupun pada mulanya Rusnanim meminta untuk pulang saja kerana pakaian mereka tidak sesuai, tetapi usaha Iman berbaloi juga.  Memang mereka tidak merancang untuk makan di situ sesudah bersiar-siar sekitar KL petang tadi.
      “Tak apalah semua itu.  Lagipun abang seronok juga hari ni.  Dah lama tak keluar jalan-jalan”Iman menyatakan kegembiraannya.
      Rusnanim tersenyum.  Sesekali matanya menjeling tubuh sasa Iman.  Bajunya yang jarang menampakkan segala-gala di dalamnya.  Tapi kemudian dia berhenti menjeling apabila Iman sudah perasan dengan tindakannya tadi.  Mukanya merah padam.
      “Abang betul-betul romantiklah hari ni.  Patutlah ramai staff yang tergila-gilakan abang,”puji Rusnanim melambung tinggi.
      Itulah bab yang digemari Iman.  Pantang dipuji, pantang dicuit.  Mulalah nak kembang sana sini.  Iman memandang permukaan meja.  Barangkali malu dengan pujian Rusnanim.  Dia masih menundukkan mukanya.  Namun tulang-belulang ayam  yang nampak menjengkelkan memaksanya memandang Rusnanim semula.
      “Abang nak tanya sikit.  Tapi mungkin agak sensitif bagi Anim,”tiba-tiba dia bersuara.  Rusnanim mengangguk.
      “Anim tak kisah.  Apa dia?,”balasnya membetulkan kedudukan punggungnya.
      “Andaikata Anim diberi pilihan, suaminya yang macam mana Anim cari?,”mulut Iman gatal bertanya.
      Dia dapat rasakan sekarang kulit pipinya menambah setengah inci.  Tapi Rusnanim mungkin lebih dari itu.  Ah! buat apa nak malu.  Lagipun tak salah kalau dia bertanyakan soalan begitu.  Tak susahpun nak menjawabnya.  Untung-untung ada juga dua tiga ciri-ciri dirinya yang sama dengan suami impian Rusnanim.  Mana tahu.
      “Kenapa abang tanya?,”soal Rusnanim hairan.
      “Saja,”jawabnya ringkas.
      Walaupun jawapannya ringkas tapi dia tahu dirinya seperti orang dungu sekarang.  Dia memang tak ada alasan kukuh untuk menjawab soalan Rusnanim tadi.  Cuma ayat sekerat itu saja yang sempat difikirkan oleh otaknya.
      “Betul nak tahu ni?,”katanya mendapat kepastian.
      “Betul.  Sungguh!,”kata Iman mengangkat tangan.  Rusnanim menutup mulut takut gelak besarnya terkeluar.
      “Tak bolehlah.  Sebenarnya ini rahsia Anim,”ujarnya seperti serba-salah.  Bau Tomyam Songkhla tiba-tiba membangkitkan selera makannya semula.  Rusnanim hanya mampu melihat pelayan restoren menatang hidangan itu ke meja bersebelahannya.
      “Kenapa rahsia pulak?,”Iman sedikit kecewa.
      Dahinya berkerut seribu.  Memerhati Rusnanim dengan pandangan yang pelik.  Sesekali matanya liar memandang ke luar jendela.  Lampu-lampu neon semakin meriah menyinari kotaraya.  Orang semakin ramai kelihatan di sana sini.  Tak ubah seperti hari siang.  Bahkan lebih dari itu.
      “Kenapa jadi rahsia? benda itu jadi rahsia sebab Anim tak nak seseorang itu akan berlakon dalam proses untuk merebut hati Anim.  Maksudnya kat sini dia bukan diri yang sebenar.  Atau dengan kata lebih mudah, tak ada pendirian langsung!,”tegas Rusnanim tiba-tiba.
      Iman hampir terpelanting ke belakang.  Barangkali terkejut dengan ketegasan perempuan di depannya itu.  Dia buat muka selamba.  Seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.  Dia mengangguk perlahan.  Mungkin setuju dengan kenyataan Rusnanim tadi.  Ataupun mungkin dia sendiri tahu dia tidak menepati ciri-ciri idaman Rusnanim langsung.
      “Pernah tak sebelum ni Anim ada kekasih, yang betul-betul  menepati lelaki idaman Anim?,”hari itu mulut Iman memang ringan bertanya.  Pelayan yang membawa Tomyam Songkhla tadi pergi ke meja mereka untuk mengemaskan sisa makanan yang tertinggal.
      “Ada tu memang ada.  Tapi tak seratus peratuslah.  Manusiakan tak semuanya sempurna,”Rusnanim berkata ringkas.
      “Macam mana dengan abang,”Iman bersuara separuh berbisik.
      Dia nak sangat Rusnanim menilai tentang dirinya pula.  Mungkin tak seratus peratus sempurna.  Tapi mungkin mencapai peratusan yang agak tinggi barangkali.  Orang kata perempuan akan menilai dengan jujur.  Sebab itulah hatinya memberontak supaya menyuruh Rusnanim menilai dirinya.
      “Baiklah.  Tapi dengan syarat”
      “Syarat? apa dia?”
      “Tutup mata,”arahnya.
      Seperti orang kena rasuk Iman mengikut kehendak perempuan di depannya.  Dia menutup matanya rapat-rapat.  Iman pun tidak ada idea kenapa Rusnanim menyuruhnya berbuat sedemikian.  Barangkali nak mencium mulut agaknya.  Tak pun nak melarikan diri dari restoren itu sepantas yang boleh.  Kerana apa dia nak lari, itu dia tak dapat nak jelaskan.  Macam-macam persoalan yang menujah kotak fikirannya ketika itu.
      “Jangan buka mata tau,”kata Rusnanim mendapatkan kepastian lagi.
      Iman mengangguk.  Rusnanim tersenyum manis.  Buat pertama kalinya dia menatap wajah lelaki itu dari dekat dan terperinci.  Pertama sekali dia melihat rambut Iman dari jarak dekat.  Rambutnya yang ikal nampak kemas sekali.  Rambutnya yang bewarna perang tua nampak bermaya dan halus. 
      Kemudian Rusnanim beralih ke bahagian mata pula.  Keningnya lebat dan tersusun.  Membentuk satu garisan yang selari membahagikan antara dahi dan matanya. Kemudian matanya yang agak bundar disertakan bulu mata yang halus tersusun.
       Turun pula ke hidung.  Hidungnya mancung terletak dan membengkok ditengahnya seperti golongan bangsawan Inggeris masa dahulu.  Turun lagi ke bahagian bawah.  Bahagian mulutnya yang berbentuk dan berwarna merah seolah-olah memakai pewarna bibir.  Ada misai halus lagi. 
      Dan akhir sekali ke bahagian dagu.  Nampak berlekuk dan sejemput janggut halus.  Kemudian matanya merayap ke bahagian muka yang lain.  Licin.  Memang tidak ada kesan parut jerawat sekalipun.  Namun apabila matanya menerjah ke kawasan dahi terpampang satu jerawat.  Rusnanim tersengih.  Tua-tua begitupun masih ada jerawat lagi.
      “Dah ke Anim? Kenapa lama sangat?,”pertanyaan Iman sedikit mengejutkan Rusnanim.
      Serentak itu dia menjauhkan mukanya dari Iman.  Lagi jauh dari tadi.  Dia membetulkan kedudukan.  Kemudian menarik nafas panjang.
      “Okey. Sudah”
      Iman membuka mata.  Kemudian anak matanya dikecilkan.  Barangkali untuk menghalang cahaya yang berlebihan masuk ke dalam mata secara mendadak.  Iman mencari semula muka Rusnanim.
      “Kenapa lama sangat?,”tanya Iman.
      “Se…sebenarnya Anim nak nilai abang betul-betul.  Nilai dari pandangan Anim.  Itu yang lama sikit,”Rusnanim memberi alasan dengan tersekat-sekat.
      Seperti orang dungu, Iman mengangguk faham.  Padahal mukanya habis ditelanjangi wanita itu sebentar tadi.  Kini dia menanti keputusan penilaian Rusnanim pula.
      “Macam mana?,”tanya Iman.
      “Anim rasa abang seorang yang jujur, baik hati ,romantik ,happy go lucky dan yang pasti abang ni anak manja.  Tapi Anim nak abang tahu yang Anim suka dengan cara abang,”Rusnanim bersuara halus.
      Iman kaget.  Betul ke budak perempuan itu syokkan dia? cuma dia sahaja yang boleh jawab.  Tapi perasaannya ketika itu bercampur-baur.  Ada terperanjat ,bangga , takut, teruja ,suka.  Macam-macam ada.  Tapi dia rasa dia lebih kepada suka.
      “Ye ke?Apa yang Anim suka?”
      “Anim bukannya apa, tapi bila Anim bersama abang Anim rasa happy sangat.  Tak tahulah kenapa.  Mungkin abang ni baik, ambil berat, romantik.  Ataupun barangkali hensem,”Rusnanim berani mengusik.  Seolah-olah ada satu kuasa yang memberinya olah gerak untuk menuturkan kata-kata sedemikian.
      Iman teringin sekali berdiri di atas meja sekarang dan melonjak keriangan.  Dia teringin sangat bagitahu semua orang dalam restoren itu bahawa apa yang dikatakan Rusnanim tadi memang sifat semulajadinya.  Lebih-lebih lagi perkataan yang terakhir itu.  Hensem!
      “Sungguh?,”Iman mendapatkan kepastian.
      “Betul.  Tapi itu dari sudut pandangan Anim lah.  Tak tahulah sifat abang yang sebenar macam mana,”katanya perlahan.
      Jam tangan dijelingnya.  Malam masih muda.  Remaja di luar sana kelihatan melepak di segenap tempat.  Tidak terkecuali orang tua.  Barangkali pelancong luar yang ingin menikmati keindahan malam di negara yang memiliki bangunan kedua tertinggi di dunia ini.  Tapi yang pastinya masih mengekalkan status bangunan berkembar tertinggi di dunia.
      “Okey, sekarang abang nak nilai Anim pula.  Boleh?,”Iman gatal bertanya.
      “Nak buat apa?,”balas Anim manja.
      “Nak tengok samada Anim ni ada menepati ciri-ciri isteri idaman abang tak,”terpacul ayat lembu itu dari kedua bibirnya.
      Iman berlagak seperti biasa.  Buat-buat tak tahu.  Minta-minta Rusnanim tidak berprasangka lain.  Akhirnya Rusnanim mengangguk setuju.  Iman tersengih sendirian.
      “Tapi dengan syarat,”kata Iman tiba-tiba.
      “Nak kena syarat juga ke?,”rungut Rusnanim.
      “Mestilah kena.  Kalau Anim kenakan syarat, abang pun nak kenakan syarat jugak,”bicara Iman sungguh-sungguh.
      “Anim tahu.  Tutup matakan?”
      “Bukan.  Close your eyes
      “Samalah tu,”rengek Rusnanim manja.
      Dia mencubit lembut lengan Iman.  Iman cepat-cepat menarik tangannya dari menjadi mangsa cubitan Rusnanim.  Dia tersenyum lantas menutup matanya.  Kini giliran Iman pula yang akan menatap muka Rusnanim dari dekat. 
      Pertama sekali bahagian atas, iaitu rambut.  Rambutnya memang lembut mengurai semulajadi.  Bukan menggunakan teknik rebonding pada perkiraannya.  Agaknya syampoo yang bersesuaian.  Baunya sungguh harum.  Kemudian ke bahagian hidung pula.  Kecil dan mancung. 
      Turun lagi ke bawah, mulut Rusnanim yang nipis dan cantik.  Mulutnya menguntum senyuman.  Terbitlah dua lesung pipi di kedua-dua belah.  Memang manis.  Pipinya pauh.  Turun lagi ke bawah, dagunya yang bulat dan comel sekali.  Apabila hatinya memaksa melihat ke bahagian bawah lagi, Iman bertegas menggerakkan matanya ke kulit wajah Rusnanim pula.  Putih dan halus.
       Kini mukanya berada cuma beberapa inci dari Rusnanim.  Dia dapat merasakan nafas Rusnanim dari dekat.  Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang.  Semakin lama semakin laju.  Rentak jantungnya sudah tidak tersusun lagi.  Serentak itu Rusnanim membuka matanya.  Iman terpelanting ke belakang.  Air muka Rusnanim berubah.  Dia tertunduk ke bawah.  Iman masih lagi terkedu.  Rima nafasnya sudah bersepah-sepah.  Dadanya berombak.
      “So…sori Anim.  Abang tak bermaksud nak….Abang tak sengaja,”Iman memberi penjelasan tersekat-sekat.
     Rusnanim masih seperti tadi.  Mukanya semakin merah padam.  Dia tak berani sekalipun memandang Iman.  Nak berkata-kata pun susah.  Dia tahu Iman bukan mengambil kesempatan ke atasnya.  Padahal dia sendiripun membelek muka lelaki itu dari dekat tadi.  Dia rasa Iman tak buat salah apa-apapun.
      “Its okey.  Anim tak ambil hati,”akhirnya dia bersuara.
      “Betul?,”ombak nafas Iman  semakin susut.
      “Betul.  So, macam mana Anim? ada ciri-ciri tak?,”Rusnanim meleraikan perselisihan faham.
      Iman lega.  Dia ingatkan habislah lepas ini Rusnanim mengamuk habis-habisan.  Bayangan pinggan meja sebelah sudah terbayang hinggap ke mukanya.  Ataupun tulang-belulang ayam mereka habis disumbatkan ke mulutnya.  Dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan itu.  Tetapi sebaliknya Rusnanim tak berbuat sedemikian.  Bahkan bertanyakan ciri-ciri dirinya sendiri pula.
      “Pada pandangan abanglah Anim ni macam model, pandai bergaya, baik, menawan dan yang paling penting cantik sangat,”Iman berterus terang.
      “Nak ambil hati Anim lah tu,”katanya tersipu-sipu.
      “Eh betul.  Abang tak tipu.  Tapi…,”Iman tidak meneruskan kata-katanya.
      “Tapi apa?”
      “Anim ni kurus keding.  Tapi taklah sampai melidi,”gurau Iman.
      “Abang!,”Rusnanim menjerit.
      Tangannya cepat-cepat mencubit lengan Iman.  Namun Iman lebih pantas menarik tangannya.  Rusnanim beralih pula ke bawah.  Dia mencubit peha Iman dari bawah meja.  Iman mengaduh kesakitan.  Lantas dia menggosok pehanya laju-laju.  Barangkali menahan kebas cubitan. 
      Rusnanim tergelak keriangan.  Kedua-dua tangannya menekup mulut agar tergelaknya tidak terhambur.  Muka Iman masih lagi kelat menahan kesakitan.  Lelaki itu kemudiannya merenung Rusnanim  tepat.  Mukanya serius.  Matanya sedang menggoda Rusnanim.  Rusnanim berhenti ketawa.  Dia membalas pandangan Iman.  Namun dia tidak cukup kuasa melawan tenungan jejaka di depannya itu.  Akhirnya dia tewas.  Dia malu lalu tunduk memandang lantai.


Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 27, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]




8 ulasan:

Nurul EL-Huda berkata...

“Andaikata Anim diberi pilihan, suaminya yang macam mana Anim cari?,”

hikhik....
klaw cam at0k bley x.....???
c(:

at0k,j0m j0in.....

http://gad1ss0ypans.blogspot.com/2011/04/c0ntestdikau-yang-utama-b0nda.html

Mohamadazhan.com berkata...

terpena saya baca cerpen ni =)

faiz berkata...

bukan yg lepas citer ade org sakit ke atok?

KUREKURE COMEL berkata...

perhhh....kali ni penuh dgn jiwang...hehehe...



mesti lps ni kawen kn..hihihi

Unknown berkata...

| gad1s s0ypans | : Atok gigi dah lompong. Tak dop sapo nak ha...hihi

Unknown berkata...

Mohamadazhan hjDesa : Mesti tak paham kan...hihi

Unknown berkata...

faiz : Haah. Itu sketsa lain. Nanti ada sambungan sketsa tu

Unknown berkata...

KUREKURE COMEL : Haa...banyak lagi dugaan menanti

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih