Khamis, 2 September 2010

Cinta Semalam Episod 10

Hak Cipta Terpelihara 2007


“Anim, minum air ni dulu nak,”pelawa Puan Rohani.

“Terima kasih. Tenang kat sini kan ma?,”Rusnanim menghirup udara segar sehingga termampu ditampung oleh paru-parunya.  Kemudian menghembusnya dengan perlahan.  Sudah lama dia tidak menyedut udara di Malaysia, tanah tumpah darahnya.  Panorama semulajadinya  masih tidak berubah walaupun banyak bangunan pencakar langit berlumba-lumba di pasak untuk menjadi paling tertinggi.  Benarlah kata pujangga, seindah mana sekalipun negara orang, negara sendiri tetap tiada tandingannya.

“Tahu tak apa. Kat Malaysia ni damai. Anim jer yang tak nak duduk kat negara sendiri. Berkerja kat sini. Takda tempat yang lebih baik dari tempat sendiri tau,”bicara Puan Rohani seolah dapat menangkap bisikan hati Rusnanim.

Rusnanim menyandarkan belikatnya di tempat duduk besi di hadapan rumah. Puan Rohani mencuri pandang wajah anak suntinya. Kulitnya putih mulus. Wajahnya ayu.  Wataknya semakin lembut.  Air mukanya jernih, tenang, berseri-seri auranya.  Rusnanim benar-benar bahagia.

“Mama Anim rasa nak kerja saja kat butik mama. Sambil-sambil tu, dapat jugak tolong mama kan?,”katanya tiba-tiba. Rusnanim memandang muka mamanya yang berkerut seribu.  Ada petanda kurang setuju di situ.  Puan Rohani segera memproses ayat untuk mengelak anaknya bekerja di bawah telunjuknya nanti.

“Ish kamu ni. Ke situ pulak. Anim tu kan baru je balik dari luar negara. Tak sampai pun seminggu lagi. Rehat-rehatlah kat rumah ni dulu. Tapi, kalau Anim teringin nak kerja, nanti mama suruh papa carikan,”kata mamanya lagi.

Rusnanim mencorak senyuman. Helaian rambutnya halus bergerak mengikut rentak angin. Kadang-kadang helaian rambutnya menutup sebahagian dari mukanya. Rusnanim menyelaknya semula ke belakang telinga.Suasana taman di hadapan rumahnya memang menjanjikan kedamaian yang hakiki. Lebih-lebih lagi bunyi keasyikan air terjun buatan di situ mejadi lagu tema perbualan mereka anak-beranak.  Cukup menenangkan.

“Tapikan ma, dah lama Anim tak jumpa kawan-kawan lama. Rindu rasanya. Macam mana dengan Shamsuria?,”Rusnanim teringatkan kawan sekolahnya dulu.

Rakan semasa belajar di sekolah menengah juga rakan satu taman.  Budaknya sekepala dengan Rusnanim.  Masa hujung minggu selalu dihabiskan bersama.  Membeli-belah di pusat pakaian ternama.  Berbual panjang di bilik masing-masing.  Minggu ini di rumah Rusnanim.  Minggu berikutnya di rumah Shamsuria.  Pergi ke sekolah bersama-sama.  Meja belajarpun bersebelahan.  Mereka berdua ibarat belangkas.

“Ntahlah Anim. Dah lama dia tak datang rumah kita. Sombonglah agaknya tu sejak kahwin dengan anak Datuk. Malaslah mama nak cakap pasal dia lagi,”muka Puan Rohani mencuka semula.

“Ma…tak baik mama cakap macam tu. Ma kan tahu, dia sajalah kawan yang Anim ada. Dialah kawan baik Anim. Walau apa pun sikap dia, Anim tetap akan anggap dia kawan sejati Anim,”kata Rusnanim lembut.

Dia sedaya upaya ingin mempertahankan teman baiknya itu.  Kali terakhir dia berjumpa dengan Shamsuria seminggu sebelum dia berangkat ke United Kingdom dulu.  Kalau dia pulang ke Malaysia cuti semester, Shamsuria pula kerap tiada.  Ibunya ada juga maklumkan Shamsuria sibuk dengan aktiviti kesatuannya di Universiti Lim Kok Wing.  Sejak itu, mereka berdua seakan putus hubungan.

“Dia cuma kawan dengan Anim sebab dia nak mempergunakan Anim. Dia nak menumpang kaya dari Anim. Itu saja. Tapi sekarang dia dah dapat segalanya, apa guna lagi Anim untuk dia?,”suara Puan Rohani sudah berubah.

Suara asing yang penuh dengan kebencian.  Dia meluat apabila teringatkan perangai Shamsuria.  Dulu dia ada terserempak Shamsuria dengan seseorang di hotel terkemuka.  Tapi budak itu sedikitpun tidak menegurnya. Pandang pun tidak.

“Anim tak suka ma cakap macam tu. Kita cakap pasal lain jelah,”balas Rusnanim berputus asa.

Malas dia nak mendengar syarahan mamanya yang selalu memburukkan Shamsuria. Entah apalah salah Shamsuria di mata mamanya, dia sendiri pun tak tahu. Mungkin kerana Shamsuria datang dari keluarga yang agak sederhana. Tidak sepadan dengan keluarganya yang agak berada.  Barangkali sebab itulah mamanya sering mencari jalan untuk memisahkan keakrabannya dengan Shamsuria. Mungkin.

“Anim…kau ingat lagi dengan Iman? Kawan sepermainan kau dulu?,”tiba-tiba orang tua itu menyampuk.

Rusnanim mengerutkan dahi. Cuba mengimbas kembali nama yang tidak asing dalam lipatan minda.

“Iman Naim? Ingat lagilah mak. Mana mungkin Anim lupakan kawan-kawan lama. Kenapa dengan dia?,”soalnya lemah-lembut.

Rusnanim hampir saja tergelak apabila mamanya menyebut nama Iman Naim.  Empunya nama itu banyak terselit dalam sejarah kehidupan remajanya dulu.  Iman Naim nakal! Iman Naim suka mengusiknya.

“Dia sekarang dah jadi kontraktor tau. Kerja dengan ayahnya. Mak dengar dia sekarang semakin kaya, hensem, dah ada kereta dan rumah lagi,”lenggok bahasanya berubah semula.

Puan Rohani beriya bercerita.  Dari dulu lagi dia cukup berkenan dengan anak majikan suaminya itu.  Budaknya tak sombong. Baik.  Juga peramah.  Datin Rohanilah orang paling gembira di dunia jika Iman Naim menjadi anak menantunya kelak.

“Habis tu? Kalau dia ada semua tu sekalipun, apa kena mengena dengan Anim?,”dia menghidu bunga mawar merah yang kembang mekar disebelahnya.

“Habis tu, ma dengar dia masih bujang lagi. Single pulak tu. Apa Anim tak ada hati nak cuba-cuba ke?,”Puan Rohani cuba memancing.

Tiupan lembut sang bayu menyelak sikit skirt labuh yang di pakai Anim. Putih gebu kakinya yang tirus jelas kelihatan. Dia cepat-cepat menutup kembali skirtnya yang menganga sebentar tadi.  Rusnanim tidak mengendahkan sangat usikan mamanya. Dia terus terbuai dengan keasyikan panorama di halaman rumahnya.  Rusnanim sesekali berjaya menyentuh serangga yang sedang leka menghisap madu bunga-bunga yang tersusun disebelahnya.

“Mama…please. We have nothing special okey. We are just friend. Tak lebih dari itu. Lagipun dah lama Anim tak jumpa dia. Anim rasa dia tak kenal Anim lagi,”Anim cuba mengelak.

“Alah, nilah peluang Anim untuk hidup senang. Kalau Anim kahwin dengan Iman, Anim akan mewah tau. Keluarga diorang bukan calang-calang orang. Sampai bila-bila pun hidup Anim akan senang. Mama dan papa pun tumpang senang,”kata mamanya lagi seakan memujuk.

Rusnanim tersenyum sendirian. Zaman kanak-kanaknya selalu dibuli Iman menerjah kotak fikirannya sekarang.




≈ “Tak dapat. Wek…kejarlah, budak kecik,"ejek Iman Naim berbelas tahun dahulu. 

Masa itu keluarga Iman mengadakan majlis kesyukuran kerana ayahnya mendapat gelaran Datuk.  Datuk Ahmad sekeluarga menjemput jiran tetangga, semua kakitangan di pejabatnya serta saudara-mara untuk meraikan hari yang bermakna dalam hidupnya itu.  Golongan dewasa berada di dalam rumah manakala kanak-kanak sibuk bermain di halaman. 

“Kita bagitau mama kita. Janganlah lari…kita nak main gak!,”jerit anak kecil manja itu.

Teddy bearnya tidak lekang dari tangan.  Rambutnya di ikat kuda kiri dan kanan.  Comel.  Tapi lasak mengalahkan budak lelaki.  Rusnanim tidak putus asa. Dia nak juga turut serta dalam permainan itu.

“Itulah. Budak pompuan tak boleh main ngan budak laki. Budak pompuan tak kuat…,”ajuk Iman lagi.

“Janganlah buat kita macam ni. Nanti kita panggil mama kita baru abang Iman tau. Tak maulah lari lagi…,”rengek Rusnanim manja.

Kanak-kanak lingkungan enam tahun itu cuba meraih simpati. Nak mengejar budak lelaki yang telah pun melangkah alam persekolahan pada tahun pertama itu, dia tak terdaya.  Tapi dia ingin bermain sama.  Tidak ramai kanak-kanak perempuan yang hadir dalam majlis kesyukuran tersebut.

“Ha..tau pun tak kuat. Kalau dah tau diri tak kuat, janganlah ngengada nak main ngan kami. Kami budak kuat. Budak pompuan tak boleh main ngan budak laki. Budak pompuan lembik,”ceber Iman lagi.

Iman Naim memegang erat bola sepak plastik yang cuba di rampas oleh Rusnanim.  Namun tenaganya lemah jika nak dibandingkan dengan Iman Naim.  Rusnanim berputus asa.

“Janganlah macam ni. Kita takda kawan. Kawanlah dengan kita. Kita nak main gak,"rayu Rusnanim lagi.

“Hei, degil lah budak ni. Tak paham-paham cakap orang ke?”

“Tak kira gak. Kita nak main. Kita cakap kita nak main, nak mainlah. Nanti bagitau mama karang,”cembeng Rusnanim. Air mukanya berubah. Dia tidak berdaya merampas bola dari Iman lagi.

“Yelah yelah. Budak kecik. Mengada-ngada!,”usik Iman. Dia memandang Asrul. Budak lelaki itu memberi isyarat kepada adik sepupunya.

“Okey, Anim boleh main. Tapi kena jadi monyet,”arah Iman selamba.

Asrul yang sebaya Rusnanim ketika itu tergelak besar. Suka benar budak hingusan itu.  Badan tak sedar kecil tapi tergelak tak ingat dunia.  Agaknya dia suka melihat Iman Naim membuli Rusnanim.  Selalunya Rusnanim yang selalu membulinya.  Padan muka kau!

“Tak nak…kita tak nak jadi monyet. Abang jahat. Kita bagitau mama!,”rengek Rusnanim lagi.

“Ni nak main ke tak nak ni? Nak main kena jadi monyet gak. Anim diri tengah-tengah. Nanti kitorang baling bola. Kalau Anim tak dapat tangkap, jadilah monyet sampai bila-bila,’kata Iman memberi isyarat best kepada Asrul. Asrul membalasnya sambil tangan kirinya mengesat hingusan yang keluar dari hidung.

“Baiklah, tapi jangan baling kuat-kuat tau. Jangan main tipu. Nanti kita bagitau mama baru tau…,”Rusnanim cuba mengugut. Dia tahu Iman memang takut dengan mamanya.

“Okey, kitorang main betul-betul. Tapi nanti jangan nyesal. Asrul sedia!”

“Ala…janganlah baling tinggi-tinggi. Kita tak sampai!,”rengek Rusnanim.

“Banyak songeh betul budak kecik ni. Tak kasi main nanti baru tau”

“Ha! Kita dah dapat bola. Abang jadi monyet! Ye ye jadi monyet,”teriak Rusnanim riang. Bola plastik itu berjaya ditangkapnya.

“Tak nak mainlah gini. Tak aci. Bola senang, memanglah boleh tangkap”

“Mana boleh. Kita dah tangkap bola ni tau. Abang kena jadi monyet gak. Kita tak kira. Kita nak abang jadi monyet sekarang. Kalau tak kita panggil mama kita,”

“Panggillah kalau berani. Tak takutlah,”Iman mencabar. Asrul sudah lama menghilangkan diri. Samada takut mama Rusnanim keluar atau takut Iman menyuruh gantikannya jadi monyet.

“Jangan cabar kita!”

“Budak kecik. Mengada-ngada!”

“Mama!!!”

Rusnanim tersenyum lagi. Imbauan berbelas tahun lalu masih segar dalam ingatannya. Habis lintang-pukang Iman menyorokkan diri selepas itu.

“Apa sengih-sengih ni?,”kata Puan Rohani membawa kembali Rusnanim ke dunia realiti.

“Tak ada apa-apalah. Saja teringat peristiwa dulu-dulu,”Rusnanim mengelak.

“Ma…kalau kita pergi rumah abang Iman hari minggu ni nak tak? Dah lama tak jumpa diakan?,”kata Rusnanim tiba-tiba. Puan Rohani tersenyum lebar.

“Mak memang setuju sangatlah tu”




Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 9, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]

Tiada ulasan:

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih