Ahad, 15 Mei 2011

Cinta Semalam Episod 30






Silauan lampu kereta menyuluh tepat ke muka datin dan Mak Jah.  Perempuan itu menghalang cahaya tadi dengan tangannya.  Barangkali suaminya sudah pulang.  Mak Jah menyuruh datin membasuh mukanya.  Dia segera ke dapur untuk membersih muka agar dapat menyambut kepulangan suaminya dengan senyuman.
      “Mak mana, Mak Jah?,”tanya Iman di muka pintu.  Sangkaan mereka meleset belaka.
      “Ada kat dapur tu,”jawab Mak Jah.  Serentak itu juga Datin Asiah keluar dengan senyuman plastik.  Senyuman yang di buat-buat.
      “Kenapa ni mak?,”tanya Iman perlahan.
     Iman tiba-tiba muncul di depan Datin Asiah.  Entah bila anaknya pulang, dia sendiripun tidak perasan.  Barangkali silauan lampu tadi datangnya dari kereta Iman bukan suaminya.  Datin berlagak biasa.  Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
      “Eh, bila balik? mak tak perasan pun?,”ujarnya seolah-olah tidak mengerti.
      “Baru kejap tadi.  Apasal muka mak nampak lain,”tanya Iman lagi.
      Agaknya dia perasan muka datin sembab.  Seperti baru lepas menangis.  Datin membetulkan baju dan rambutnya.  Kemudian menguntum senyuman palsu semula.
      “Kenapa dengan muka mak? kan sama juga,”datin cuba berdalih. 
      “Memang sama.  Tapi…tak apalah, abaikan saja.  Mak, Iman ada surprise untuk mak,”Iman mengalih topik perbualan.
      Datin menarik nafas lega.  Mujurlah anak jantannya itu tak ambil peduli.  Kini dia tersenyum ikhlas.  Mak Jah pula sudah lama menghilangkan diri di dapur.  Barangkali mengambil minuman untuk anak majikannya itu.  Datin membetulkan kedudukan punggungnya.  Memerhatikan gelagat anaknya yang baru saja keluar dari berseronok mungkin.
      “Apa benda nak surprise kat mak ni?”
      “Tutup mata dulu?,”Iman memberi arahan.
      “Buat apa nak tutup mata.  Nak kasi mak hadiah ke?,”duga datin.  Perkara yang mengganggu emosinya tadi seperti sudah luput dalam memori.
      Kedua-dua tangannya menekup ke muka.  Mengikut arahan anaknya sebentar tadi.  Dalam kepalanya sudah berfikir bermacam-macam.  Apa kenalah anak bujangnya suruh dia tutup mata.  Agaknya nak kasi hadiah istimewa.  Tak pun nak hadiahkan rantai emas mungkin.  Datin menanti dengan sabar.
      “Sudah ke Man?,”datin menanti lagi.
      “Kejap……okey mak boleh buka mata sekarang”
      Datin membuka tekupan tangannya dari muka.  Dia terpaku.  Bukan kerana ada emas berlian di depan matanya.  Bukan kerana ada hadiah besar-besar.  Bukan kerana ada kek atau sebagainya, sebaliknya seorang wanita.  Sungguh cantik dan menawan.  Wanita itu kalau tak silap macam pernah di lihatnya sebelum ini.  Datin lantas mencapai spek matanya.  Dia mengukir senyuman lebar.
      “Inilah dia…Anim,!,”kata Iman gembira.
      Rusnanim melemparkan senyuman yang manis.  Seperti seorang puteri kayangan, Iman mempelawanya dengan penuh sopan  dan tertib.  Itulah buat pertama kalinya Rusnanim datang ke rumah Iman tanpa diikuti ayahbondanya, kaki penyibuk itu.
      “Anim, mari masuk ke dalam.  Apa yang tercegat lagi kat tepi pintu tu,”ramah datin.  Rusnanim mencapai tangan datin lalu menciumnya.
      “Masuk Anim,”kata Iman pula.
      “Mari duduk-duduk dulu.  Kamu berdua ni dari mana? dah lebih pukul 10 malam baru balik,”bebel Datin Asiah.  Namun bibirnya tidak lekang dengan senyuman.
      “Baru balik dari restoran kat bandar, auntie,”balas Rusnanim.
      Rusnanim memeluk tubuh.  Baju T-shirtnya yang agak nipis  tidak dapat menapis kesejukan malam dan pendingin hawa di rumah Iman.  Iman perasan dengan ketidakselesaan Rusnanim lantas bertindak  menutup suis pendingin hawanya.  Seketika kemudian Mak Jah muncul dengan sejug air panas dan beberapa jenis biskut.  Perempuan itu meletakkan hidangan tadi di atas meja tamu.
      “Ni apa cerita kamu berdua ni? pergi makan tak ajak auntie? merajuklah kalau macam ni,”gurau datin.  Mak Jah pula menjeling Datin Asiah.  Mereka berdua tersenyum sesama mereka.
      “Ish, kalau datin ikut sekali, potong stim lah,”Mak Jah cakap main lepas.
      Iman pula tersengih di hujung sofa.  Dia mengalihkan matanya kepada Rusnanim.  Namun Rusnanim tidak membalas pandangan Iman.  Sebaliknya tunduk malu memandang tangannya yang dirapatkan ke peha.
      “Mulut Mak Jah ni.  Tak ada insuranlah tu.  Tapi betul jugak apa yang Mak Jah cakap tu,”datin sudah mula mengatur tawa.
      Mak Jah pula segera meninggalkan mereka bertiga.  Agaknya takut gelak gajahnya terhambur ketika itu juga.  Dia juga yang malu nanti.  Sudahnya, tidak lama selepas itu, terbahak-bahak suara kedengaran di dapur.  Siapa lagi kalau bukan Mak Jah.
      “Jangan dengarlah cakap Mak Jah tu.  Dia tu bukannya betul sangat.  Ada je benda nak dijadikan bahan lawak,”pujuk Iman setelah menyedari Rusnanim tak naik-naikkan juga kepalanya dari tadi.
      “Gurau le Man.  Takkan ambil hati,”kata datin menghabiskan sisa tawanya tadi.
      “Tak adalah Mak.  Orang tahu mak gurau.  Kitorang  cuma makan-makan je.  Tak ada dating pun.  Kan Anim?,”tanya Iman kepada Rusnanim.  Rusnanim mengangguk setuju.
      “Hai..dari pagi tadi keluar.  Bukan dating ke namanya?,”usik datin lagi.
      Suara gajah tergelak di dapur kedengaran lagi.  Agaknya Mak Jah masih lagi curi-curi dengar di dapur dari tadi.  Semakin lama semakin kuat.
      “Malaslah nak layan mak.  Anim minum air tu.  Abang nak mandi kejap.  Lepas tu abang hantar balik okey,”kata Iman lagi.
      “Abang? amboi romantiknya…,”datin bergurau lagi.
      Kali ini bukan saja terdengar seperti gajah tergelak bahkan seperti bunyi king kong ketawa berdekah-dekah.  Kalau dinilaikan mengikut skala ritcher, agaknya satu gempa bumi dasyat akan berlaku.  Mak Jah tergelak besar lagi di dapur.  Kali ini Rusnanim pun turut sama ketawa.
      Auntie gurau Anim.  Jangan ambil hati pulak”
      “Tak apalah auntie.  Tak ambil hati pun.  Anim seronok.  Kelakar juga Mak Jah tu kan?,”Rusnanim berkata lembut.
      Datin mengangguk setuju.  Dia menatap muka Rusnanim dari dekat.  Memang cantik dan manis budaknya.  Kalaulah Rusnanim jadi anak menantunya tentu dia akan khabarkan berita gembira ini seluruh dunia.  Bahkan seluruh angkasa raya.  Dia memang berkenan benar.  Segala-galanya sempurna di matanya.
      “Minum air tu Anim.  Nanti sejuk pula,”pelawa datin dengan lembut.
      “Terima kasih.  Auntie minumlah sekali”
      “Tak apa, Anim minumlah,”datin menolak sopan pelawaan Rusnanim tadi.
      Rusnanim tersenyum manja.  Perbualan mereka terhenti seketika.  Mata Rusnanim liar memerhatikan keadaan hiasan rumah Iman yang kemas dan tersusun.  Unsur bunga tetap menjadi pilihan kepada tuan rumah.  Gabungan warna dinding dan kehadiran sumber cahaya mampu menghasilkan impak mewah kepada isi rumahnya.
      Hadiah-hadiah hari sukan zaman sekolah Iman masih tersergam tergantung di dinding.  Kemudian pandangannya beralih ke album-album gambar lama.  Rusnanim mengambil salah satu darinya.  Dia membelek satu persatu setiap helaian.  Kemudian tersengih seorang diri.
      “Itu gambar masa Iman berkhatan dulu.  Comelkan?,”ujar datin melihat telatah Rusnanim yang tersenyum seorang diri.
      “Ye ke? mesti abang Iman beranikan?”
      “Berani? mana ada berani budak tu.  Auntie masih ingat lagi masa dia nak berkhatan tu, dia lari dari rumah.  Habis satu kampung arwah datuknya mencari.  Rupa-rupanya menyorok tepi sawah.  Apalagi menjeritlah dia.  Tak nak…tak nak…,”tangan datin bergerak-gerak seperti melakonkan watak Iman.  Mukanya agak ceria.  Rusnanim tergelak kecil.
      “Ish..ye ke.  Yang sebelah dia ni siapa pula?,”Rusnanim menunjuk seorang budak lingkungan enam ke tujuh tahun.
      Matanya menancap tepat ke dalam gambar.  Dahi Rusnanim berkerut cuba untuk mengenalpasti wajah budak yang dimaksudkan tadi.  Dia macam kenal budak itu.
      “Arwah adik Iman.  Amir Naim.  Dia lagi berani dari abangnya.  Siap nak tawar diri jadi yang pertama berkhatan dulu.  Masa tu, auntie ingat lagi, badan Iman berpeluh-peluh.  Takut nak berkhatan,”ceritanya beriya-iya.
      Rusnanim mengangguk perlahan.  Dia masih lagi memandang gambar itu.  Kelihatan dua orang budak sedang berbaring dengan separuh badannya diselubung kain pelekat.  Kedua-dua kain mereka tergantung.  Muka Iman nampak sembab.  Agaknya baru lepas menangis.  Dan di sebelahnya mereka berdua pula ialah Datin Asiah dan Datuk Ahmad.  Tersenyum sambil mengusap kepala kedua-dua anak lelaki mereka.
      Uncle mana?,”tiba-tiba perkataan itu keluar dari mulut Rusnanim.
      Muka Datin Asiah yang pada mulanya ceria bertukar gelisah.  Dia kembali teringatkan cerita suaminya baru sekejap tadi.  Cerita yang kononnya suaminya itu keluar makan dengan seorang perempuan.  Yang kononnya suaminya itu main kayu tiga.  Akhirnya datin bersuara.  Tapi bernada agak sedih.
      “Tak balik lagi Anim.  Agaknya makan dengan kawan lagi,”ujar datin.
      Rusnanim memanggukkan kepala.  Dia terus membelek album lama tadi.  Dia tidak perasan sikitpun perubahan riak wajah Datin Asiah.  Tidak sekalipun.  Malah sedang kusyuk tergelak seorang diri  melihat telatah Iman semasa kecil.
      “Yang ni sapa?,”tanya Rusnanim tentang seorang budak perempuan di sebelah Iman.
      “Siapa?,”datin mendekatkan kepalanya pada gambar tadi.
      “Ini.  Yang rambut tocang ni”
      “Erm…itu Hasrina.  Adik kepada Asrul.  Kenal Asrul lagi tak?,”tanya datin. 
      “Berapa umur dia sekarang?,”Rusnanim tidak menjawab soalan datin sebaliknya bertanyakan umur pula.  Rusnanim nampak seperti cemburu.
      “Gambar masa umurnya darjah satu.  Umur dia sekarang 21 agaknya.  Belajar lagi di Politeknik Port Dickson.  Semester akhir.  Kenapa Anim tanya?,”soal datin pelik.
      “Tak Anim saja tanya.  Lagipun comel budak ni kan auntie.  Mesti sekarang dia dah jadi perempuan cantik,”kata Rusnanim yang masih lagi melayan fikirannya.
      Tak mungkin Iman memilih budak sementah itu sekalipun.  Mungkin budak perempuan itu sudah berpunya.  Mungkin dia anggap Iman itu sebagai abangnya sendiri.  Ah! kenapa harus aku cemburu? buat apa aku nak cemburu? Iman itu cuma kawanku.  Kawan sejak kecil lagi.
      “Kenapa senyap Anim? Anim cemburu ye…,”usik datin.
      “Ish auntie ni.  Ada-ada je.  Mana ada Anim cemburu.  Anim tak jealous sikit pun,”Rusnanim menyatukan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanannya.  Datin ketawa terkekeh-kekeh.
      “Yelah ni? nak sorok kat auntie lah tu?,”datin bergurau lagi.
      Serentak itu terhambur gelak tawa yang datangnya dari dapur.  Siapa lagi kalau bukan Mak Jah.  Datin agak pelik.  Macam manalah perempuan itu boleh mendengar perbualan mereka berdua.  Datin masih keliru. 
      Agaknya Mak Jah sudah memasang cctv di segenap ruang tamu rumahnya.  Sebab itulah semua benda yang kelakar dibualkan dia boleh tergelak terbahak-bahak di dapur.  Seketika kemudian Mak Jah keluar dari dapur.  Masih ada lagi sisa tawa yang tertinggal.
      “Kenapa Mak Jah? suka sangat kat dapur tu?,”tanya datin.
      “Tidak ada apa datin.  Si Iman ni buat lawak kat dapur tu.  Malas saya nak layan lagi,”jelas Mak Jah.  Tawanya masih berbaki.
      “Apa yang kau buat kat Mak Jah tu, Man?,”soal datin.
      “Tak ada apalah.  Gurau sikit je.  Mak Jah gelak lebih-lebih pulak,”balas Iman.
      Dia baru saja lepas mandi.  Masih lagi tersengih melihat perangai kebudak-budakan Mak Jah.  Dia lantas menuju ke ruang tamu mendapatkan Rusnanim dan emaknya.
      “Anim nak balik sekarang ke?,”tanya Iman kepada Rusnanim.
       Rusnanim tersenyum.  Dia menganggukkan kepalanya.  Tangannya masih memegang album lama tadi.  Iman baru perasan yang Rusnanim baru saja tengok gambarnya masa kecil.  Agaknya habis tembelangnya pecah diceritakan oleh datin.  Habis semua rahsia didedahkan.  Dan yang lebih dasyat lagi Rusnanim telah membuka helaian gambarnya yang tengah mandi di pantai bersama keluarga!Tanpa sehelai benang baju kecuali pakai seluar dalam saja.  Iman cepat-cepat mengalih perhatian Rusnanim.
      “Jom balik.  Abang hantarkan.  Nanti bising pula mama dan papa Anim,”kata Iman gopoh.  Rusnanim baru saja nak memandang gambar yang dimaksudkan tadi.  Tapi tak sempat.
      “Anim balik dulu auntie.  Dah lewat sangat ni,”Rusnanim meminta izin.
     Iman segera mengambil album lama tadi dari tangan Rusnanim.  Cepat-cepat dia letakkan di tempat asalnya.  Kalau gambar itu diambil masa dia budak hingusan lagi tak apa.  Tetapi diambil semasa dia berada di tingkatan dua.  Mahunya tak malu kalau Rusnanim ternampak gambar itu tadi.
       “Bawa kereta itu elok-elok.  Jangan main redah je,”nasihat Datin Asiah.
      “Baiklah mak sayang,”usik Iman.
      Jam sudahpun menunjukkan pukul 11 malam.  Iman segera menghidupkan enjin keretanya untuk menghantar Rusnanim pulang ke rumah.  Datin dan Mak Jah menunggu di pintu.  Melihat Iman dan Rusnanim yang nampak begitu mesra sekali.  Kemudian menghilang ditelan kegelapan malam.
      “Mak saya cakap apa pasal gambar tadi?,”Iman cuba memancing.
      Maknya itu bukannya betul sangat.  Silap-silap haribulan habis kisah masa silamnya yang memalukan diceritakan pada Rusnanim.  Dia masih lagi tak puas hati melihat Rusnanim dan emaknya tersengih-sengih sekembalinya dia dari dapur tadi.             Dia cuba untuk mengorek rahsia tentang apa yang digelakkan oleh mereka berdua.  Namun begitu tangannya masih cekap memandu.  Dia menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduan.
      “Saja suka-suka.  Tengok album lama abang.  Comel sangat,”kata Rusnanim lembut.
      Iman tak senang hati.  Entah-entah gambarnya masa berkhatan telah dibeleknya.  Gambarnya masa mandi pantai atau apa saja yang nampak seksi telah dilihat wanita itu.  Hatinya bertanya lagi.
      “Anim tengok gambar apa? masa abang sekolah ke?”
      “Masa abang berkhatan,”ujar Rusnanim pendek.
      Sah.  Habislah rahsia sulitnya terbongkar.  Habislah gambar seksinya telah diceroboh.  Dia menahan malu yang amat sangat.  Namun dikuatkan semangat untuk bertanyakan soalan yang lain pula.
      “Gambar lain?”
      “Tak sempat tengok.  Tadi pun abang dah ajak balik.  Tapi…,”ayat Rusnanim terputus.
      “Ta…tapi apa Anim? Anim tengok apa?,”Iman tak duduk diam.  Dia sempat menjeling muka Rusnanim.
      Kalaulah perempuan itu tertengok gambarnya hanya pakai seluar dalam saja, mungkin dia akan membuat pembedahan muka.  Biar orang lain tidak mengenalinya lagi.  Biar Rusnanim pun tak mengenalinya juga.  Dia malu yang amat sangat.  Bukannya apa, gambar itu diambil semasa dirinya mengalami revolusi yang ketara.  Bukannya badan macam kanak-kanak lagi.     
      “Tapi auntie ada ceritakan kisah abang masa berkhatan dulu.  Kelakar..”
      Iman menarik nafas lega.  Kalau tidak, dia akan menempah tiket ke Thailand dan akan membuat pembedahan muka segera.  Tapi apa yang kelakarnya masa dia berkhatan?
      “Kenapa tergelak bila tengok gambar tu pulak?,”soal Iman kehairanan.
      “Tak ada…Auntie cakap yang abang ni…,”kata Rusnanim putus lagi.
      “Ka…kata apa Anim.  Mak cerita tak elok ke?,”tanyanya risau.
      “Tak adalah.  Auntie cerita yang abang ni berani sangat.  Tak takut sikitpun dengan Tok Mudim,”Rusnanim menyembunyikan hal sebenar.
      “Hai, baru tahu ke?,”Iman tersengih.
      Padahal dia sendiri yang menyorok tepi sawah.  Sampaikan datuknya nak buat iklan terbuka untuk memberi hadiah kepada sesiapa saja yang menemui cucunya itu.  Rusnanim hanya tersengih bersendirian.
      “Okey.  Kita dah sampai,”kata Iman.
      “Terima kasih banyak-banyak ye”
      “Sama-sama.  Kirim salam kat mama dan papa Anim.  Kita jumpa esok okey,”Iman memerhatikan Rusnanim masuk ke dalam rumah.
      Hari ini adalah hari paling gembira dalam hidupnya.  Dia sendiripun tak tahu kenapa.  Agaknya Rusnanim telah menemaninya sepanjang hari itu.  Dia berasa seronok yang amat sangat.  Dia dapat melupakan Sufia buat sementara waktu.  Bayangan perempuan yang telah menghantui hidupnya sekian lama.  Perempuan yang selalu dilindunginya.  Perempuan yang pertama telah mengubah dirinya. 


Untuk membaca sinopsis, klik di [SINI]
Untuk membaca Cinta semalam episod 29, klik di [SINI]
Untuk membaca semua episod, klik di [SINI]

8 ulasan:

faiz berkata...

nmpknya iman semakin suka anim..

liyana berkata...

hmm..nmpknya bgitula..hehe

teacher bonda berkata...

x sempat2 TB nk baca novel atok ni...insyaallah bl ada kelapangan akan ku cuba try baca..:)

~Nabilah~ berkata...

x bce dri mula,so,x brape nk phm la...hehehe

Unknown berkata...

faiz : Haa....putik cinta kian berputik...hihi

Unknown berkata...

liyana : Frust ke liyana? erk

Unknown berkata...

teacher bonda : Hihi...ni baru 20% keseluruhan. Banyak lagi episod. hik hik

Unknown berkata...

~Nabilah~ : Ha...bacalah dari mula klu cmtu =)

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih