Sementara itu pula di rumah Rusnanim, kedua orang tuanya sedang sibuk berbual sesuatu. Meja makan itu dijadikan tempat untuk membincangkan topik hangat mereka suami isteri. Masing-masing sibuk berkata-kata sesuatu.
“Jadi rancangan kita bang?,”tanya Puan Rohani mendapatkan kepastian.
“Setakat ini mengikut seperti yang dirancangkan,”suaminya menjawab ringkas.
Puan Rohani masih menanti makanan tengah harinya untuk dihidangkan. Kalau budak Indon itu buat hal lagi seperti tempoh hari, bukan setakat mulutnya saja bising-bising , dengan perik kuali pun akan melayang ke mukanya. Silap haribulan budak indon itu pula yang akan dikerat-keratnya. Buat lauk. Nasib baiklah ada dua tiga jenis lauk-pauk yang sudah terpampang di depan mereka. Hilang sedikit amarahnya.
“Jangan mengikut seperti yang dirancangkan je bang, awak pastikan betul-betul. Saya takut apa yang kita buat ini sia-sia. Awak juga yang rugi,”nada Puan Rohani kerisauan.
Puan Rohani terus melemparkan pandangannya jauh ke luar tingkap sambil menunggu Rusnanim turun dari bilik untuk makan bersama-sama.
“Awak tak perlu risau. Ini adalah permulaan yang baik untuk rancangan kita. Awak tunggu dan lihat,”Encik Mahmud berkata penuh yakin.
“Bagus. Saya tahu abang memang hebat. Tak sia-sia saya kahwin dengan awak. Lepas ni, semua impian saya akan jadi kenyataan. Dah lama saya idamkan hal sebegini,”Puan Rohani bersuara lagi. Dia tersenyum.
Puan Rohani menuangkan air sirap ke dalam gelas suaminya. Dia tahu suaminya memang suka di puji. Lebih-lebih lagi jikalau mengatakan suaminya itu nampak lebih muda dari usia sebenar. Padahal hakikatnya berbeza. Kulit orang tua itu sudah gelebeh sana sini.
“Sekarang baru awak tahu betapa hebatnya saya. Saya akan pastikan segala jerih perih saya sebelum ini akan jadi kenyataan. Ya, itu sudah semestinya,”janji Encik Mahmud lagi.
“Saya tahu awak hebat. Tapi jangan hampakan saya kelak”
“Saya tak akan hampakan awak. Awak percayakanlah saya”
“Saya bangga dengan awak,”kata Puan Rohani mendabik.
Perbualan mereka terhenti seketika tatkala Rusnanim turun dari biliknya. Kedua-dua pasang mata memandang anak dara mereka serentak. Kemudian melemparkan senyuman kambing.
“Anim kenapa lambat turun?,”tanya mamanya.
“A’ah Nim. Kenapa lambat sangat turun?,”sampuk Encik Mahmud.
“Anim tengok baju-baju tadi. Banyak sangat. Tak tahu nak pilih yang mana satu”
“Sayang, nanti mama tolong okey. Sekarang mari makan sama-sama dulu,”Puan Rohani menyogok anaknya.
Rusnanim berdiri belakang emak dan ayahnya. Memerhatikan lauk-pauk yang sudah sedia terhidang. Hidungnya bergerak-gerak menikmati bau yang sungguh enak.
“Wow…kegemaran Anim. Mesti ada apa-apa ni”
“Ada apa bendanya. Anim ini kan anak tunggal kami. Sebab itulah kasih sayang kami tak pernah berubah. Sutina! ke mari sekejap,”tengking Puan Rohani lantang. Pembantu rumah Indonesia itu berlari-lari anak mendapatkan majikannya.
“Iya bu,”katanya tergopih-gopoh keluar dari dapur.
“Ibu, ibu. Kau buat apa kat dapur tu? senyap semacam saja”
“Tidak ada apa-apa. Cuma bersihkan peti ais. Kenapa bu?,”tanyanya berani.
Sutina mengadap tuannya yang seperti singa lapar. Di tangannya masih ada kain buruk untuk mengelap peti ais tadi.
“Ambilkan anak aku pinggan. Itu pun tak reti-reti lagi. Lekas!,”arah Puan Rohani.
Rusnanim menggelengkan kepala melihat perangai mamanya. Encik Mahmud pula buat tak tahu. Dia sedang enak menjamah makanan tengah hari tanpa mempedulikan hal sekelilingnya. Kalau sudah dasar kebulur, orang lain pun tak ditunggu lagi. Entah-entah doa makan pun lesap ke mana.
“Duduk sayang”
“Terima kasih. Ma, berapa kali Anim cakap janganlah kasar sangat dengan Kak Sutina tu. Kesian dia”
“Orang macam itu jangan dimanjakan sangat Anim. Keras kepala nanti,”katanya geram.
“Tapi ma layan kasar sangat,”Rusnanim membantah.
“Sudahlah Anim, malas mama nak cakap pasal budak indon itu lagi,”Puan Rohani berputus asa.
Anak hingusannya itu kalau dilayannya buat sakit hati. Lebih baik dia mendiamkan diri. Sekurang-kurangnya telinganya taklah perit mendengar kata-kata kesian yang keluar dari mulut anaknya itu. Perangai Rusnanim memang banyak berubah sejak balik dari luar negara. Entah malaikat mana yang masuk dalam badannya dia sendiripun tak tahu.
“Anim, bagaimana esok? dah bersedia ke?,”Encik mahmud menyelah.
“Anim tak yakin sangatlah pa. Anim berat hati”
“Alah sayang. Tak cuba tak tahu lagikan?,”Puan Rohani mengenyit mata pada suaminya. Encik Mahmud tersenyum penuh makna. Rusnanim masih terkesima melihat kedua orang tuanya.
4 ulasan:
tok yg ni bkn adik iman kan.....
Teruknya Puan Rohani tu =.=
KUREKURE COMEL : Rusnanim tu bukan adik Iman. Tapi penah feeling kat Iman dulu2....
NOvelgurl : Huhu....
Catat Ulasan