Hak Cipta Terpelihara 2007
Deruman enjin motokar menguasai malam yang dingin itu. Datuk Ahmad baru pulang dari makan malam dengan kawan-kawannya. Di bilik, Iman masih lagi sibuk dengan emailnya.
“Baru balik bang…”,Datin Asiah sudah lama terjegul di tepi pintu. Suaminya cuma mengangguk. Seketika kemudian pembantu rumahnya datang menghidangkan minuman. Datuk Ahmad menyorot keletihan perilaku pembantu rumahnya.
“Mana Iman?,”lelaki berbadan agak gempal itu mengeliat panjang. Tangannya didepakan seluas-luasnya. Badannya disondol ke belakang sofa. Datin terus mencapai baju kot suaminya yang diletakkan di tepi sofa.
“Dalam bilik,”jawab datin ringkas.
“Dia buat apa? teliti projek kat Shah Alam tu ke?,”Datuk Ahmad melepaskan lelahnya panjang.
Kening datin hampir berlaga. Seketika kemudian barulah dia teringat fail-fail yang diberikan Iman sebentar tadi. Dia sendiri malas nak masuk campur dengan urusan dua beranak tersebut. Lebih-lebih lagi yang melibatkan Iman. Dia dah nekad tak mahu melibatkan diri dengan perkara yang berkaitan dengan Iman.
Pada masa yang sama, Iman masih lagi mengelamun di dalam biliknya. Badannya yang sasa dihempaskan ke katil. Tangannya di lipatkan ke belakang kepala. Zaman persekolahannya menujah fikirannya kembali.
Pagi itu mesyuarat Agung bagi persatuan dan kelab diadakan di sekolah. Semua pelajar di minta berkumpul dalam persatuan masing-masing dan ditempatkan di tempat yang ditetapkan. Kali ini semua pelajar berkumpul untuk pemilihan kuasa tertinggi dan ahli jawatankuasa. Tidak terkecuali Iman yang pada ketika itu mendaftarkan diri sebagai ahli Pengakap Junior.
“Saya Latifah dari tingkatan 3 mencadangkan cadangan di tutup,”kata seorang budak perempuan seraya menguntum senyuman kambing. Ada dua tiga orang budak lelaki menjerit tanda sokongan.
Senarai nama tiga orang pelajar untuk calon jawatan Pengerusi telah pun ditetapkan. Nama Iman termasuk dalam senarai Pengerusi sekali. Dia tak tahu macam mana pencadang namanya itu kenal dirinya. Dia bukannya bersekolah sini dulu. Macam mana dirinya dikenali dia sendiri pun tak pasti. Dan keputusannya, dia dilantik sebulat suara sebagai Pengerusi Persatuan Pengakap.
Mesyurat Agung pagi itu telah pun berakhir. Semua ahli-ahli kuasa tertinggi berkumpul. Perancangan aktiviti sepanjang tahun tersebut dirancang secara kasar. Lebih mengejutkannya, budak yang mencatitkan minit mesyuarat agong yang pertama itu ialah budak yang duduk di depan mejanya di dalam kelas. Kalau tak silap Ben namanya. Budak yang mencatitkan minit mesyuarat tadi tak sedar Iman sedang merenungnya. Iman tersenyum. Dia sempat menjeling ke kertas yang baru di tulis oleh Ben. Ketika dia sedang khusyuk membaca profil AJK itu, tanpa disedari pandangan Sufia tepat memandangya. Matanya dikecilkan.
“Weh, tak pernah tengok orang menulis ke?!,”kata Sufia tiba-tiba.
Iman terkulat-kulat. Dia berasa malu sangat. Kulit pipinya menebal tiba-tiba. Kemudian dia mendapat idea untuk menutup malunya.
“Er, pernah. Mestilah pernah tengok orang menulis. Tapi tak pernah tengok monyet menulis!,”balasnya dengan berani.
“Kurang asam punya budak! Awak jangan ingat awak datang dari KL awak boleh berlagak. Awak tak kenal lagi sape Ben,” ujar Sufia berbaur ugutan. AJK-AJK lain tidak mengambil kisah hal mereka. Malah mereka lagi malas hendak masuk campur dengan urusan yang melibatkan Sufia. Ataupun terkenal di sekolah mereka sebagai Ben si kaki buli.
“Sape Ben tu? Adakah Presiden Mongolia yang baru dilantik?,” Iman menahan gelak. Dua tiga orang budak yang masih berada di situ turut tergelak kecil. Sufia menjeling mereka yang turut tergelak. Dengan serta-merta budak-budak tadi senyap. Ada yang menutup mulut. Yang terus pergi dari situ pun ada juga.
“Cikgu, kalau tak ada apa-apa lagi, saya masuk kelas dulu,”Sufia cuba mengelak. Minta-minta impiannya diperkenankan.
“Tak boleh,”tegas Cikgu Intan.
Sufia di dalam perangkapnya sendiri. Dia memandang wajah Iman kali kedua. Budak itu tersenyum lagi. Dia teringin saja melepaskan satu tumbukan padu ke muka budak lelaki itu. Biar berterabur semua giginya. Biar tak senyum-senyum lagi.
“Kecuali awak bawa balik kertas ni , bertaip…dan serahkan pada saya pagi-pagi esok,”kata Cikgu Intan memujuk tatkala melihat riak muka pelajarnya itu berubah. Sufia tersenyum puas. Dia menjeling Iman dengan pandangan yang tajam. Lidahnya diceberkan.
Amboi….dah nak terjojol bijik mata tu. Hati Iman mengusik. Sufia melangkah laju keluar dari kelas tersebut. Dia harus keluar dari situ segera. Lagi lama dia berada di situ, dia boleh jadi gila dengan perangai loyar buruk si Iman. Tambahan pula, Hakimi tidak ada bersamanya kerana kurang berminat menyertai Persatuan Pengakap.
“Nanti kejap!,”jerit Cikgu Intan dari belakang.
Kaki Sufia terpaku pada lantai bumi. Kemudian dia menoleh ke belakang semula.
“Spacing 1.5,” Cikgu Intan tersenyum.
Sufia meneruskan langkahnya. Lenggoknya tak teratur. Kakinya di hentak-hentak. Jalannya bersepah. Iman tersengih lagi.
***********************
“Nantilah papa. Sampai masanya Anim balik okey,”pujuk Rusnanim lagi. Encik Mahmud menahan amarah.
Dia memandang isterinya. Riak muka perempuan itu pun sama juga. Mereka berdua sedang menahan geram dengan perangai anak tunggal mereka.
“Papa tak sihat . Anim tak sayangkan papa ke?,”Encik Mahmud cuba meraih simpati.
“Tapi Anim…”
“No reason. Papa nak Anim balik dalam bulan ni jugak,”ganggang telefon diletak kasar. Encik Mahmud merungut lagi. Dia memandang isterinya yang juga turut berperasaan sama.
“Macam mana ni bang. Kalau Rusnanim tak balik rosaklah rancangan kita. Sia-sialah usaha kita selama ni,”terbit riak kerisauan pada wajah Puan Rohani.
“Awak diam. Tahulah saya nak buat macam mana,”nafas Encik Mahmud laju.
“Tapi peluang hanya sekali bang...,”katanya lagi.
Encik Mahmud memandang isterinya. Apa yang dikatakanya betul. Peluang hanya sekali. Dia perlu berusaha dengan lebih gigih selepas ini bagi memastikan semuanya berjalan seperti yang mereka suami isteri harapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan