Alhamdulillah, hari ini aku dan beribu-ribu adik-beradikku selamat dilahirkan di sebuah kilang. Akhirnya kami berjaya melalui beberapa frasa tapisan yang agak sukar bagi menjamin kualiti generasi kami. Menurut adik-beradik kembarku yang lain, kami keturunan yang agak berada. Menjadi satu kebanggaan kepada kami kerana dilahirkan dalam golongan yang berada.
Aku terdengar perbualan beberapa pekerja di kilang tersebut. Menurut mereka, batch kami akan terus dihantar ke kedai-kedai sedikit masa lagi. Aku tidak sabar-sabar menunggu detik itu. Aku ada mendengar bisik-bisik nakal kembarku yang lain, golongan kami pasti dibeli oleh orang yang ada-ada. Pasti kami bakal melalui saat-saat bahagia kelak.
Masa yang dinanti-nanti tiba juga. Setelah dipacking dan dimasukkan ke dalam kotak, kami diterbangkan ke KLIA untuk diagihkan ke pasaraya utama di ibu kota. Aku dan adik-beradik kembar yang lain berpisah. Sebelum berpisah, kami telah berjanji akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal tuan kami nanti bagi menjamin generasi kami terhormat.
Hari pertama di sebuah kedai,
aku begitu seronok sekali. Aku diletakkan di aras yang selesa dan nyaman sekali. Dindingku cermin. Semua orang yang lalu-lalang di kedai itu memuji aku. Aku bangga dengan keturunanku. Aku dilayan bak raja. Ada beberapa jenama kasut yang lain memandang sinis padaku. Aku tahu, korang mesti cemburu dengan kehebatan ciptaan aku yang terbaru di pasaran. Korang semua outdated dan bukan dari jenama baik-baik.
Sudah hampir seminggu aku dikedai itu. Akhirnya seorang budak beriya-iya menyaksikan kecantikanku di sebalik cermin luar. Ayahnya juga tersenyum melihat aksi anaknya. Tanpa membuang masa, ayahnya tadi membeliku untuk dihadiahkan kepada anaknya. Aku begitu seronok sekali. Tuanku anak orang kaya-raya. Tuan, aku berjanji akan memberikan kepuasan padamu. Itu janjiku.
Sebulan berlalu. Aku begitu bahagia dengan tuan baruku. Dia melayanku dengan baik. Setiap hujung minggu, pembantu rumahnya pasti akan mandikan ku. Aku dibersihkan dan diletakkan di rak yang cantik dan wangi. Setiap pagi, aku selalu ternanti-nanti tuan kecilku itu untuk menyarungk. Kami akan bersama-sama ke sekolah. Aku lihat tuan kecilku seronok apabila bersama denganku. Kawan-kawan sekelasnya juga turut memujiku. Kami bersama-sama setiap hari. Aku begitu bahagia.
Pejam celik pejam celik, tiga bulan pun berlalu. Masa berlalu begitu pantas. Aku perhatikan tuanku tidak melayanku seperti dulu lagi. Aku sering diperlakukan dengan kasar. Apabila balik dari sekolah saja, aku terus dicampakkan begitu sahaja. Aku tidak diletakkan di atas rak mewah lagi. Aku juga jarang dipakai ke sekolah. Kalau dulu setiap minggu pembantu rumah akan mandikanku, tapi kini sebulan sekali sahaja. Jika dulu aku cantik putih berseri-seri tapi kini aku semakin kusam. Warnaku juga hampir luntur. Ini gara-gara tuanku ada orang baru. Jenamanya lebih hebat dan mahal dariku. Aku selalu curi-curi lihat kemesraan tuan aku dengan kasut barunya. Kasutnya itu menjeling dengan pandangan sinis padaku. Aku begitu kecewa. Aku rindukan saat-saat bahagiaku bersama tuan.
Pada satu malam, belum sempat aku hendak melelapkan mata, aku terdengar perbualan antara tuanku dengan ayahnya. Hujung minggu ini mereka sekeluarga akan pulang ke kampung. Menurut kata ayahnya lagi, dia hendak memberikan aku kepada anak saudaranya di kampung memandangkan aku selalu dipinggirkan. Aku hampir menangis. Aku tak mahu ke sana. Itu kampung! Pasti banyak nyamuk dan jin bertandang! Aku cuba meraih simpati tuan kecilku. Namun, harapanku hampa belaka. Tuan kecilku bukan saja tidak menghalang, malah dia setuju sangat aku diberikan pada sepupunya di kampung itu.
Hari berganti-hari, akhirnya masanya sudah tiba. Tuan kecilku sendiri menghadiahkanku pada sepupunya di kampung. Namanya Azim. Azim memandangku dengan mata yang terbeliak. Walaupun umurku sudah menginjak ke 4 bulan serta kelihatan kusam, ternyata pandangan Azim berbeza sekali. Dia mengucapkan terima kasih banyak kepada tuan ku. Malam pertama aku di kampung, aku berasa sangat tidak selesa. Aku diletakkan bersama-sama kasut bola dan sukan yang busuk. Aku hanya tidur-tidur ayam sahaja.
Esoknya, pada hari ahad aku dikejutkan dengan kokokan ayam jantan. Rutin harianku berbeza sekali jika nak dibandingkan ketika di bandar dulu. Awal-awal pagi lagi ayah dan emak Azim pergi ke kebun. Azim dan adik-beradiknya yang lain sibuk menguruskan rumah. Ada yang mengemas rumah. Ada yang menyapu halaman. Ada yang masak untuk makan tengah hari. Ada yang basuh tandas dan bilik air. Adik-adiknya yang kecil pula sibuk bermain-main di halaman.
Azim memandangku dengan senyuman. Dia segera mengambilku kemudian meletakkanku di sebelah perigi. Akhirnya, setelah hampir dua bulan tak mandi, Azim memandikanku dengan penuh kasih-sayang. Azim menyabun badanku dengan bauan yang wangi-wangi. Selepas itu, Azim menjemurkanku di bawah sinaran cahaya mentari. Hasilnya, badanku berseri-seri seperti baru beli dulu. Hari pertama ke sekolah, kawan-kawan Azim terus memujiku. Kata mereka, aku sangat cantik dan bersih. Aku juga pasti dari keturunan yang mahal-mahal dan berkualiti tinggi. Azim berbangga dengan aku.
Kami bersama-sama bertahun lamanya. Walaupun Azim mendapat kasut baru, tapi Azim masih menyimpanku di dalam kotak khas. Katanya tidak ada mana-mana kasutpun yang setanding denganku. Kali ini aku percaya, tidak semua manusia seperti tuan lamaku. Habis madu sepah dibuang. Azim tidak! Dia begitu baik sekali melayanku walaupun dia sudahpun menginjak ke usia remaja.
Tahun berganti tahun. Pada satu petang, aku terdengar perbualan antara Azim dan keluarganya. Azim kelihatan begitu gembira sekali. Aku cuba memasang telinga untuk mendengar khabar gembira itu. Wah! rupa-rupanya Azim ditawarkan tempat ke Universiti! Tahniah Azim. Azim selalu memujiku kerana menurut katanya, kerana akulah dia mula bersemangat untuk ke sekolah dulu. Jika dulu dia berasa malu kerana kasut lamanya koyak-rabak. Selalu diejek rakan. Tapi kerana kemunculan aku, dia bersemangat untuk ke sekolah semula.
Walaupun sudah berjaya ke menara gading, Azim masih menyimpanku ke dalam lockernya. Dia tidak malu memperkenalkanku kepada rakan sebiliknya tentang diriku. Walaupun aku sedar, bentukku telah ketinggalan zaman, namun Azim pasti berbangga memperkenalkanku pada setiap kawan-kawannya yang singgah ke biliknya di asrama. Menurutnya, akulah kasut bertuahnya. Akhirnya, setelah masa bertahun berlalu, Azim berjaya menamatkan pengajian. Aku gembira melihat kejayaan Azim. Bagi aku, kegembiraan azim, kegembiraan aku juga.
Azim ditawarkan kerja yang bagus-bagus. Esok merupakan hari pertama Azim bekerja. Pada malam itu, Azim membuat persiapan awal untuk ke tempat kerja. Dia menggosok seluar baju, mengilatkan kasut kerja, menyediakan dokumen-dokumen penting untuk esok. Aku memerhatikan Azim dari jauh. Aku tersenyum seorang diri. Ternyata Azim seorang lelaki yang kacak dan berbeza dari dulu. Aku bangga dengan kau Azim.
Lebih tiga bulan bekerja, Azim bercadang untuk pindah ke apartment yang berhampiran dengan tempat kerjanya. Psssst, Azim pun sudah ada kereta sendiri tau. Baguslah. Baru saja kerja, sudah banyak kumpul harta. Azim mengemas semua barang-barang untuk pindah ke tempat baru. Semua barang telah dibungkus, kecuali aku. Azim memandangku dengan senyuman. Tapi senyumannya kali ini lain sekali. Dua tiga hari lepas, aku ada terdengar percakapan antara Azim dan teman wanitanya. Aku tidak tahu apa butir kata mereka berdua. Yang pasti aku tahu teman wanita Azim seakan tidak menyukai aku.
Dengan tidak teragak-agak, Azim terus mengambilku. Dia menjinjingku ke sebuah tempat yang tidak aku kenali. Mungkin Azim ingin membawaku bersama. Bisik hati kecilku. Namun, sangkaanku meleset belaka. Rupa-rupanya Azim terus mencampakkanku ke dalam tong sampah. Aku terkesima. Rupa-rupanya inilah kesudahan hidupku. Agaknya betullah kata teman-teman dahulu. Bila senang kita disanjungnya, bila susah kita dicampakkannya. Tak apalah, mungkin ini adat dunia. Yang baru akan naik tahta, yang lama pasti kecundang akhirnya.Itulah putaran dunia
Begitu jugak lah dengan kehidupan manusia. Sepasang kasut itu ibarat mak dan ayah. Jika dulu hidup susah, emak ayahlah selalu memberi dorongan pada anak-anak. Emak ayahlah yang selalu berkorban untuk masa depan anak. Semua perkara baik dijanji anak terhadap kedua orang tuanya. Janji akan jaga emak ayah bila sudah tua kelak. Janji hantar emak ayah ke Mekah jika sudah berjaya dalam hidup. Janji akan bahagiakan emak ayah. Namun, apabila kejayaan telah tercapai janji2nya yang gah dulu hilang ke mana. Emak ayah dicampak begitu sahaja. Malu pada teman wanita kononnya emak ayahmu itu orang kampung! kerja kampung! muka buruk!tak layak digelar emak ayahmu. Kamu kan orang yang berjaya. Kerja besar. Pangkat besar. Makanya tidak perlu lagi jasa orang tua kamu yang hina dan kekampungan itu. Itulah hakikat kita di dunia sebenarnya. Si emak ayah atau si kasut pasrah sahaja dengan ketentuan Illahi kerana.....
mereka hanya sepasang kasut buruk.....
1 ulasan:
important source designer replica luggage look at these guys blog my website go to my site
Catat Ulasan