Jumaat, 23 Julai 2010

warkah terakhir


Maimun Binti Rasol,
No 12 Kampung Jera,
16800 Pasir Puteh,
Kelantan


8 September 2009

Assalammualaikum,
       Kehadapan anak-anak yang mak kasihi, Munshi dan Zubaidah. Nak, di kesempatan ini mak menadah tangan penuh kesayuan berdoa kepada Allah supaya melimpahkan rezeki dan kesihatan berterusan kepada setiap anak-anak mak.  Sebelum mak melangkah lebih jauh, maafkanlah mak kerana mencuri sedikit masa along dan adik untuk membaca warkah buruk mak ini.  

       Anak-anak mak, mak terlalu rindukan kamu berdua.  Sudah lama kita tidak berkumpul sama-sama. Berbual-bual mesra.  Bersenda gurauan.  Hanya coretan ini sajalah yang menjadi pengikat perhubungan kita anak-beranak hari ini. Walaupun tidak pernah sepucuk surat balasan yang mak terima daripada kamu berdua, tapi naluri mak ini kuat mengatakan bahawa anak-anak sedang bahagia dengan kehidupan masing-masing.  Anak-anak mak tengah seronok membaca warkah buruk mak ni. Tak apalah nak, mak faham anak mak semuanya sibuk dengan keluarga dan tugasan seharian. Mak faham sayang.

   Anak-anak mak, kadang-kadang bila mak sedang menyapu halaman rumah, hati mak tiba-tiba menjadi sayu. Mak duduk dipangkin terkenangkan kamu berdua. Tanpa sedar air mata mak tiba-tiba mengalir.  Along dengan adik mesti terkenangkan mak jugak kan? Orang tua-tua kata, kalau sekali kita teringatkan orang tu, berpuluh-puluh kali orang tu ingatkan kita.  Mak rindu sangat dengan kehidupan kita dulu sayang. Mak rindu dengan sikap tanggungjawab along menjaga adik ketika mak turun ke bendang.  Mak rindu dengan sikap manja adik yang selalu menangis dibuli along. Mak rindu dengan kenakalan adik dan along mencucuk-cucuk perut mak. Mak tahu adik suka tengok mak melatah. Walaupun mak tak jadi buat kerja dibuatnya, tapi mak gembira tengok adik dan along ketawa.  Kita tiga beranak bahagia saat itu, sayang.

    Anak-anak mak. Tiba-tiba mak terkenangkan zaman kamu semua masa kecil dulu.  Bila dikenang-kenang, mak tersenyum seorang diri. Itu sajalah yang menjadi peneman kesunyian mak. Along.  Along ingat tak dulu,
 masa along meningkat remaja. Hari itu adalah hari pertama along masuk tingkatan satu.  Masa hendak melangkah ke sekolah pagi tu, along pegang tangan mak. Along cium tangan mak. Along cium pipi mak. Along tenung muka mak lama-lama.  Along bisikkan kat telinga mak, along nak jadi orang berjaya. Along akan mengubah nasib keluarga kita supaya lebih sempurna. Along akan jadi ketua keluarga gantikan tugas arwah ayah. Along tahu tak, masa itu mak hanya mengangguk mengiyakan permintaan along itu. Sebaik saja along melangkah pergi ke sekolah, air mata mak terus gugur sayang.  Mak bersyukur sangat kerana dikurniakan anak bertanggungjawab seperti along.  Sejuk perut mak mengandungkan along.  Sehingga kini mak tak pernah jemu mendoakan kejayaan along untuk mengeluarkan kita dari lubuk kesusahan.

      Adik pula, dah lama mak tak jumpa anak dara mak yang sorang ni. Mesti makin cantik dan manis sejak dah bekerja ni. Adik. Adik ingat tak dulu masa kecil-kecil adik demam panas? Adik tak lalu nak makan. Adik tak manja macam sebelum ni. Adik benar-benar buat mak risau, nak. Kejap mak turun ke bendang. Kejap mak balik rumah tengok adik. Kemudian ke bendang semula. Semua kerja mak pada hari itu tak menjadi. Fikiran mak asyik risaukan adik saja.  Kalau sebelum ini adik sentiasa senyum-senyum manis pada mak, tapi pada hari itu mak tak pernah nampak adik tersenyum. Mak tak mampu bawak adik ke klinik. Mak hanya mampu sejukkan kepala adik dengan air rendaman daun nona.  Adik ingat, masa tu mak buat-buat menyamar jadi misi adik? adik ingat? ...Nah, masa itulah terpancar senyuman lebar dibibir adik semula ibarat matahari baru muncul selepas hujan.  Masa itulah hati mak ni macam berbunga sayang.  Sejak hari itu, kalau mak yang demam, adiklah yang jadi misi mak.  Seronok kan masa tu sayang.
       Perkara yang paling bahagia dalam hidup mak, pada saat kedua anak mak ni berjaya ke menara gading.  Tak sia-sia mak membanting tulang mengumpulkan duit untuk masa depan anak-anak mak ni.  Air mata mak menitis lagi melihat along dan adik berjaya menggenggam segulung ijazah.  InsyaAllah, janji anak-anak mak untuk bawa perubahan dalam keluarga kita akan tercapai.
   
       Sekarang semua anak-anak mak sudah menjadi orang yang berjaya. Along sudah ada keluarga sendiri. Along CEO di syarikat besar.  Adik pun tak kurang hebatnya. Anak manja mak ini sudahpun bergelar doktor. Ha, adik pernah janji pada mak kan?  Kalau mak sakit, adiklah orang pertama yang akan merawat mak. Mak bahagia sayang. Setiap bulan along dan adik mesti kirimkan wang. Dah berapa kali mak pesan, tak perlulah kirim wang.  Selalu bawa diri pulang ke kampung pun sudah memadai bagi mak.  Mak tak pernah guna duit tu sayang.  Mak simpankan duit bulanan itu untuk kegunaan kamu nanti.  Memang betullah, anak-anak mak memang anak yang baik. 

      Namun, entah di mana silapnya.  Semenjak along mendirikan rumahtangga, along jarang pulang ke kampung.  Jika dulu setiap bulan mak pasti duduk  di tepi tingkap menanti kepulangan anak-anak mak. Anak-anak mak tak pernah sekalipun kecewakan mak. Tapi lama-kelamaan hanya dua tiga kali setahun.  Mak faham, mungkin anak-anak mak sibuk.  Kini, dah masuk lima tahun along dan angah tidak balik menjenguk mak.  Apabila takbir raya menjelang, mak duduk bersimpuh di tepi tingkap menanti kedatangan anak-anak, menantu dan cucu mak.  Mak tunggu dari pagi sampai ke petang sayang.  Tapi bayang-bayang anak mak seorang pun tiada.  Air mata mak jatuh tiba-tiba.  Lebih banyak mak kesat air mata itu, lebih banyak yang gugur sayang.  
      
      Berpuluh-puluh surat mak kirimkan tapi satupun tidak berbalas.  Mak cuba menelefon along, isteri along cakap along selalu outstation.  Menantu mak tu marah-marah mak kerana asyik selalu menelefon along.  Kecil hati mak sayang. Tak pernah anak-anak mak tengking mak macam tu sekali.  Adik.  Adik bila mak telefon, adik cakap ada pesakit sedang tunggu kemudian adik cepat-cepat matikan telefon. Emak pernah terfikir untuk pergi ke KL untuk melawat kamu berdua. Tapi kudrat mak tak seperti dulu lagi nak.  Tak apalah. Mak faham. Anak-anak mak semakin dewasa. Sudah ada kehidupan sendiri. Mak semakin hari semakin tua. Hanya menanti diusung ke pusara sahaja.  

     Jika pernah mak ada menegur sehingga menyebabkan along dan adik terasa hati, mak minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki.  Jika pernah mak ada buat silap, ampunkan lah mak sayang. Mak pernah terfikir. Mungkin ini adalah kehidupan anak-anak mak. Anak-anak mak tengah bahagia. Ini bukannya kehidupan mak.  Mak tak sepatutnya mengganggu kamu berdua.
       Anak-anak mak, mak bukannya inginkan wang harta. Mak hanya ingin menagih sedikit kasih sayang dari anak-anak mak sendiri.  Cukuplah dengan melawat mak.  Atau telefon mak bertanyakan khabar pun sudah memadai.  Sejuk hati mak.  Tapi kalau perkara sedikit itupun terlalu sukar bagi along dan adik untuk lakukan, tidak mengapalah. Mak faham.  Along. Adik. Maafkan mak sekali lagi jika hidup mak ini menyusahkan kamu berdua.

       Anak-anak mak yang mak sayangi. Setelah surat ini sampai kepada kamu berdua, mak telahpun pergi menyahut seruan Illahi.  Ketika mak menulis warkah buruk ini, mak sedang sakit. Bayang along pun tak nampak. Adik yang kata nak jadi orang pertama yang rawat mak pun tak nampak.  Akhirnya mak bertekad.  Hanya warkah terakhir ini saja yang mampu mak sampaikan kepada kamu berdua betapa sayang dan kasihnya mak kepada kamu. Betapa rindu dan kasihnya mak. 

       Pedih hati mak. Pilu hati mak menahan rindu pada kamu berdua sayang.  Mak benar-benar rindukan kamu berdua.  Mak terlalu rindukan kamu.

      Cukuplah sekadar ini saja luahan hati mak. Mungkin kehadiran warkan tua ini menganggu kehidupan anak mak berdua ni.  Mak minta maaf sekali lagi.  Akhir sekali, mak akan sentiasa mendoakan kesejahteraan hidup anak-anak mak selama-lamanya.  Sayangku, inilah warkah terakhir dari mak.

Wassalam...

4 ulasan:

Unknown berkata...

sedih bila bca ni...ibu mana tak pernah berhenti mendoakan anaknya walaupun anak sudah lupakan ibu dan ayahnya.....harta tidak mbwa apa2 makna dlm erti kata kasih sayang...harta hanya unt mlunaskan nafsu saja...harta hanya mprak perandakan jiwa yg murni dan suci dlm diri kita...

Unknown berkata...

Suhami to ekin_jommasak : Stuju!. Sedih tengok anak-anak sekarang buang ibu bapak. Kalau dulu campak je kat rumah orang tua, tp sekarang ni campak je tepi jalan. Ada gak kes cmtu.

angloko berkata...

sedeynya baca... nk terkeluar air mata...Ya Allah.. minta jauhla kita dari jadi anak yg lupe pada ibubapa ni...

Unknown berkata...

Suhami to angkolo : Masa time tulis entry ni,sy pasang lagu "sudirman_pelangi petang dan warisan_jasa bonda" amik mood.....confirm air mata nak terkeluar tu terus meleleh...huhu....Minta dijauhkan kita menjadi anak derhaka

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih