KUALA LUMPUR - Dua penunggang motosikal maut  dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer 5.7 Lebuh  Raya Persekutuan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pertama pada jam 7 pagi, motosikal  yang ditunggang mangsa, R Selaraseh, 19, dari Sungai Lui,  Raub, Pahang dipercayai terbabas setelah dilanggar sebuah  kenderaan sebelum dirempuh sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios yang gagal mengelak mangsa yang ketika itu terjatuh di tepi jalan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, Selaraseh berada di laluan kanan  lebuh raya dari Kuala Lumpur menghala ke Shah Alam dan  tidak menggunakan laluan motosikal ketika kejadian.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian  badan dan kepala maut di tempat kejadian,” katanya.

Selang dua jam selepas kejadian itu katanya, berlaku satu lagi kemalangan melibatkan motosikal di lokasi sama tetapi kejadian di laluan bertentangan.

Abdullah berkata, mangsa, Muhammad Amirul Mazlan, 19, penuntut Jurusan Diploma Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berasal dari Kampung  Baru Kerteh, Kemaman, Terengganu maut di tempat kejadian.

“Motosikal ditunggang Muhammad Amirul dipercayai  hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelum  terseret sejauh kira-kira 10 meter.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di  kepala maut di tempat kejadian dan siasatan mendapati dia  juga tidak menggunakan laluan motosikal.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala  Lumpur untuk bedah siasat.