Selasa, 9 November 2010

SuaraPeople[dot]com sangat Gempak


"Kontest tulis dan menang adalah sponsor by SuaraPeople[Dot]Com & Gempak[Dot]Org"


Dulu aku memang bencikan abah. Semua yang aku buat, semuanya tak kena pada mata abah.  Pernah dulu aku dicubit oleh cikgu matematik semasa di sekolah rendah hanya kerana tak bawa buku latihan.  Balik saja dari sekolah aku terus mengadu pada emak.  Aku perasan abah juga turut sama mendengar di ruang tamu tetapi aku buat-buat tak nampak. Esoknya abah datang ke sekolah, abah jumpa dengan cikgu matematik itu. Aku ingatkan abah akan memarahi cikgu tersebut. Namun sebaliknya abah memberikan rotan halus kepadanya. Katanya, kalau aku nakal lagi, jangan teragak-agak untuk merotanku. Diamengizinkannya. Sampainya hati abah. Aku bencikan abah!

Dulu aku memang bencikan abah. Pernah dulu sekolahku mengadakan hari sukan. Aku menyertai acara pecut 100 meter. Sebelum aku berlumba, aku sempat melihat ke bahagian penonton.  Emak, abang, kakak dan adik semua ada memberikan sokongan yang penuh padaku. Tapi abah? Di mana abah? Puas aku mencari di mana dia berada. Tapi bayangnya pun tak nampak. Sudahnya aku berlari juga dengan hati yang marah. Abah tak pernah bagi sokongan pada apa yang aku buat. Abah teruk. Aku bencikan abah!
 Dulu aku memang bencikan abah. Pernah dulu semasa usiaku menjengah 12 tahun, aku ikut jiran nenekku punya cucu ke sungai yang berhampiran.  Aku masih ingat lagi nama budak tu Rasyid. Kami merancang untuk mandi-manda dan kemudianmemancing sekali. Sampai saja di sana, Rasyid terus terjun ke sungai bagaikan penerjun Negara yang membuat aksi dalam Kejohanan Terjunan Sedunia.  Belum sempat aku menunjukkan aksiku pula, punggungku terasa pedih. Abah melibas sebatang ranting sebesar jari kelingking ke punggungku. Kayu pancingku juga turut dipatahkan. Aku menangis di situ saja. Abah panas baran. Aku bencikan abah! 
Dulu aku memang bencikan abah. Pernah dulu bila usiaku meningkat ke alam remaja, aku ada kawan yang paling baik sekali di dalam dunia. Hampir semua perkara kami lakukan bersama. Kami sekepala.  Hadi sukakan subjek Matematik. Begitu juga aku.  Hadi suka makan mihun. Aku pun suka juga. Hadi tak suka cara cikgu Bahasa Melayu kami mengajar, aku pun hampir-hampir juga tak suka sebab sering dipengaruhi Hadi. Apabila waktu petang selepas pulang dari sekolah, aku dan Hadi selalu merayaurayau di kawasan rumah kami dengan motosikal dan kemudian singgah ke rumah kawan-kawan kami yang lain. Suatu hari, Hadi datang ke rumahku untuk mengajak aku keluar, tak semena-mena abah menghalaunya balik. Apa salah Hadi? Kenapa pula angin abah tiba-tiba datang dan memarahi Hadi tak tentu pasal? Sejak hari itu aku dan Hadi langsung tak bertegur sapa. Hadi benci berkawan dengan aku.  Pandang muka akupun tidak sekali. Apa yang abah dah cakap pada Hadi? Abah tak berhati perut. Aku bencikan abah!
Dulu aku memang bencikan abah. Pernah dulu aku menyatakan hasrat pada emak untuk merantau ke selatan bekerja dengan Pak Cik ku di Johor. Tetapi abah tak izinkan. Abah mengongkong hidupku lagi. Semua hidupku dia nak kawal. Semua yang aku buat dia tak suka.  Abah menyuruhku melanjutkan pelajaran lagi. Aku tak minat belajar. Abah tak boleh paksa aku. Abah memang ego. Aku bencikan abah! Sehingga kini aku masih bencikan abah.  Abah memilih kasih. Semua permintaan kakak, abang dan adik, semuanya ditunaikan. Abah tak pernah pun memukul abang. Abah kerap kali memuji kakak. Abah selalu manjakan adik. Tapi aku? Aku bagaikan anak tiri yang menumpang kasih di rumah mereka. Malah aku rasakan lagi teruk dari status anak tiri itu. Aku rasa diriku ditindas. Persoalan itu sering bermain dalam fikiranku setiap hari.  
 Sehinggalah pada satu malam itu,

 aku merenung emakku yang sedang mengemas meja makan sebaik saja kami bertiga selesai makan malam. Masa itu aku masih lagi cuti penggal, manakala Kak Long di rumah suaminya, Abang bekerja di KL, Kak Lang sudahpun masuk tahun akhir pengajian dan adik ada di asrama. Inilah masanya. Aku nekad! Aku mesti dapatkan jawapan kepada persoalan yang selalu mengganggu aku selama ini. Aku menarik tangan emak yang masih basah lagi kesan baru selesai membasuh pinggan mangkuk tadi. Aku mengajaknya duduk di meja makan bertentangan denganku. Aku merenung anak mata emak yang jernih. Emak memang baik.  Emak sajalah yang selalu mendengar rintihan hati dan masalah aku. Emak sajalah yang sering memberikan sokongan pada hidupku selama ini.  Aku memang sayangkan emak.

“Kenapa ateh?,”emak ku menyoal dengan lembut.
Aku suka mendengar nada suara emak.  Lembut dan sopan saja. Kalau sebelum ini aku marah-marah dan mengadu masalahku pada emak, namun sebaik saja mendengar suaranya, marahku hilang serta-merta.
“Mak…ateh nak tanya mak sesuatu. Mak jangan bagitahu sesiapa ya. Ini antara rahsia kita saja,”balasku perlahan.
Emak memandang dengan pandangan bercahaya. Aku dapat rasakan naluri keibuan terlalu tinggi berada dalam jiwa emakku.  Aku mula menarik nafas dalam-dalam mengumpul kekuatan untuk memulakan perbicaraan. Kemudian mencari semula kedudukan anak mata emakku. Mata kami bertemu.
“Mak…kenapa abah tak sayangkan ateh? Kenapa selama ini, apa yang ateh buat abah tak ambil endah? Kalau tidakpun abah selalu berlaku tidak adil pada ateh? Sejak kecil mak…ya sejak kecil ateh perasan semua ni. Apa salah ateh mak? Kenapa abah selalu puji abang kakak depan ateh mak, tapi kenapa abah buka keburukan ateh depan abang dan kakak mak? Sebab ateh tak kacak atau lawa macam abang dan kakak, mak? Ateh sedar, dalam kalangan kami adik beradik, ateh lah yang paling tak sedap di pandang. Ateh pun sedar mak, kulit ateh hitam tak macam diorang putih-putih belaka mak. Ateh sedar ateh tak tinggi dan kacak macam abang, ateh sedar ateh tak ada hidung yang mancung macam kakak, ateh tahu ateh muka budak kampung. Sebab tu ke abah malu nak mengaku ateh ni anaknya sebab ateh tak seperti mereka? Ataupun….sebab ateh ni tak pandai macam kak lang dan adik? Semuanya gempak.  Kak Lang pernah masuk USM. Adik sekarang sedang menuntut di MRSM. Kak Long dan Abang pun tidak kurang hebatnya. Tapi ateh mak? Ateh hanya layak masuk Politeknik saja. Ateh tak pandai macam mereka. Ateh tak sebijak mereka sehinggakan kerap kali mendapat Dekan di Universiti dan Anugerah pelajar cemerlang di sekolah? Sebab tu ke mak? Sebab tu ke abah bencikan ateh? Aku pun mangambil peluang itu untuk menceritakan semua peristiwa yang pernah menghiris jiwaku selama ini kepada emak.

Mak menggeleng kepala. Dia mencapai tanganku kemudian menggenggam dengan erat.
“Ingat tak dulu yang abah datang ke sekolah dan kemudian menghadiahkan rotan kepada cikgu
matematik ateh? Sebenarnya abah bukannya saja-saja nak buat macam tu. Bukan bermaksud abah tak sayangkan ateh. Sebab abah sayangkan ateh lah, abah bagi rotan tu pada cikgu. Kalau tidak, sudah tentu ateh tak jadi orang. Tak pandai. Dah lama ateh tak sampai ke tahap ni. Dah lama ateh hidup susah sebab tidak ada pelajaran. 
Ingat tak dulu yang abah tak dapat datang ke acara lumba lari ateh? Sebenarnya abah bukannya
sengaja tak bagi sokongan pada ateh sebaliknya dia ke Gemas untuk belikan sesuatu yang sangat istimewa untuk ateh sebab abah tahu ateh akan menang acara itu.  Tapi apa yang berlaku? Balik saja dari sukan, ateh marah-marah sebab abah tak datang berikan sokongan.  Abah kecil hati nak. Sampai sekarang abah simpankan hadiah istimewa ateh tu. 
Ingat tak dulu yang abah pernah merotan ateh dengan teruk hanya sebab mandi sungai? Sebenarnya abah bukannya bencikan ateh sebaliknya abah tak nak ateh cedera atau lemas di sungai tu nanti. Abah pernah cerita pada mak, semasa zaman kecilnya dulu kawannya pernah mati lemas di tempat yang sama. Abah tak nak perkara yang sama berlaku pada kamu, nak. 
Ingat tak dulu yang abah menghalau balik kawan baik ateh tu? Sebenarnya abah bukannya nak melarang dengan siapa ateh berkawan sebaliknya abah tak mahu ateh lalai dan rosak semasa enak dibuai alam remaja. Hadi tu budak nakal. Baru dua hari lepas mak dapat tahu dia diberkas polis sebab terlibat dengan kes lumba haram dan ganja. Abah tak mahu ateh berkawan dengan orang yang tak senonoh.

Abah tak pernah membezakan kasih sayangnya pada anak-anaknya. Abah pernah ceritakan pada mak, ateh ni anak yang baik, mendengar kata dan tak pernah membantah pada keputusan yang abah buat. Ateh tak seperti adik beradik yang lain. Ateh tak pernah mengenal erti putus asa walaupun keputusan peperiksaan tidak memuaskan. Itu yang abah suka.  Abah kata lagi, atehlah yang paling kacak sebab muka ateh saling tak tumpah seperti mukanya masa muda muda dulu. Tak siapa pun yang malu mengaku ateh ni anak mereka sebab tak sedap di pandang. Tidak nak… Sebenarnya abah terlalu sayangkan ateh sebab mengingatkan dia pada zaman kecilnya dulu.
Mataku sudah merah menahan pilu. Air mata lantas bergenang di bawah mata. Aku memandang emak ku. Mana mungkin semua ini dusta belaka. Emak tak pernah menipuku. Emaklah orang yang paling aku percaya di dalam dunia ini.  Emak memandangku lagi seolah-olah memujukkusupaya meminta maaf dengan abah.
Aku segera mencari abah di ruang tamu.  Abah sedang menonton televisyen. Aku tatap wajah tua itu dari dapur. Mukanya sudah berkedut dimamah usia. Badannya juga sudah tidak segagah dulu.  Rambutnya hampir separuh dilitupi uban. Abah sudah tua! Aku tak perasan perubahan abah selama ini sebab aku hanya menanam jiwa kebencian saja dalam diriku. Aku langsung tidak mengambil endah tentang abah.  
Tanpa berlengah lagi aku terus mencari tangan tua abah dan mengucupnya dengan sepenuh hati. Air mataku sudah bercucuran jatuh ke lantai.  Aku takut abah akan fikirkan macam-macam atas perlakuanku. Mana tidaknya, sudah lama aku tidak bersua muka memandangnya, sudah lama aku tidak menyapanya. Ah! Aku tak peduli itu semua. Abah terkejut tidak berkata apa-apa. Dia hanya membiarkan saja tangannya basah dek air mataku. Aku mencium kedua belah pipi abahku yang kedut dan kecut. 
“Abah maafkan ateh, abah…..maafkan anakmu yang derhaka ni abah”
Abah menarik badanku mengadapnya.  Tangan kanannya menupang daguku. Abah mengucup dahiku! Itulah kali pertama aku melihat air mata abah jatuh berderai ke bumi. Aku memeluk abah seerat-eratnya.
“Anak abah ni tak pernah melukakan hati abah. Abah bangga dengan anak abah yang sorang ni,”kata-katanya itu bagaikan merentap jantungku.                                                            Selama ini abah tak pernah membenciku. Tetapi aku, anak yang derhaka ini yang salah anggap terhadapnya bertahun lamanya.
Aku memandang ke dapur, emak baru saja mengesat air matanya dengan hujung kain di lengan.  Dia juga turut terharu. Kemudian emak meneruskan kerja-kerjanya yang tertangguh tadi. Aku masih lagi menangis tanpa henti. Air mataku begitu susah sekali untuk berhenti.
“Abah, maafkan anak mu ini,”kataku lagi dengan sepenuh hati.
“Ateh tak pernah buat salah pada abah…..”katanya berkali-kali.

4 ulasan:

Adam Raqie berkata...

Citer betoi ke nih? Sedih plak rasa..

Suarapeople Dot Com berkata...

done :) thx for join

Unknown berkata...

@Asrol Mania
100% imiginasi + pengalaman...masa atok nulis pun nak rasa nangis

Unknown berkata...

@Ayie Suck Story
harap berjayalah
:-)

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis untuk berkongsi apo2 yolah dengan mereka di luar sana. Blog ini tidak mewakili mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri melainkan dinyatakan sumber diperolehi. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini. Terima kasih